Selepas melahirkan empat qari berwibawa dalam empat musim berturut-turut, juara Akademi Al-Quran terus kekal menjadi milik qari bagi musim kelima. Penuntut Universiti Malaya, Mohd Syahriansyah Apin dinobatkan sebagai Juara Akademi Al-Quran musim kelima (AQ5) pada malam kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Mohd Syahriansyah Apin, 25 tahun, Sabah
Peserta dari Sandakan, Sabah ini turut bersaing dengan tiga orang lagi peserta lain iaitu Mohamad Husaini Mahmur, Muhamad Nasir Mohamad Salleh dan Suhailah Zulkifly. AQ5 yang disiarkan secara langsung di TV9 ini turut dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Media Prima Berhad, Ybhg Datuk Johan Jaafar.
"Syukur kepada Allah SWT atas kemenangan ini. Sejujurnya, saya tak pernah menjangkakan untuk menjadi juara. Bagi saya, banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang perlu saya perbaiki lagi," ujar Syah mengakui berdebar pada malam itu sehingga tertinggal satu ayat.
"Saya dikehendaki membaca surah An-Nur ayat 32-36, namun saya tak sempat baca ayat yang terakhir. Saya rasa gementar tak tahu nak cakap apa. Saya cuba juga untuk mempercepatkan bacaan tapi bila atas pentas macam-macam boleh berlaku."
Dengan kemenangan tersebut, Syah membawa pulang hadiah wang tuani berjumlah RM30,000 sumbangan TV9, Al-Quran bertinta emas berharga RM35,000 sumbangan Yayasan Restu, yuran pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah oleh Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Pakej Haji oleh Gemilang Travel Sdn Bhd dan Pakej Umrah oleh Al-Fajr Travel & Tours Sdn Bhd.
Selain itu, Syah turut menerima lawatan VIP ke Bumi Syria oleh Hiraq Marketing, songket oleh Wan Manang, barangan perabot jati berjumlah RM20,000 dari Jatimas serta trofi tajaan TH Global, anak syarikat milik penuh Tabung Haji.
Menurut penuntut Fakulti Pendidikan Islam yang berusia 25 tahun ini, beliau bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajiannya pada Oktober tahun ini.
"Jika diberi kesempatan dan peluang, saya nak melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam jurusan Al-Quran. Kalau boleh nak pergi ke Mesir kerana di sana, pembesaran Al-Quran begitu memberangsangkan.
"InsyaAllah, saya ingin ketengahkan imej yang saya bawa dalam AQ5. Saya nak seru remaja di luar sana agar mendalami Al-Quran agar mereka tidak terpesong dengan onak dan duri dunia.
Tiga juri yang bertanggungjawab mengadili empat peserta di peringkat akhir ialah Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat), Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum), Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar yang memantau tajwid dan fasohah.
0 ulasan:
Catat Ulasan