PENGURUS Saluran Astro Prima, Nizam Sani (depan, kanan) bergambar bersama Man (depan, kiri), dua anggota R2 iaitu Rahim (tengah) dan Ridhzuan (paling kanan) serta dua anggota kumpulan Balas, Fandi (belakang, kiri) dan Muhammad Shukri (belakang, kanan).
BARU sahaja diumumkan sebagai juara, namun dia akan kembali memasuki gelanggang pertandingan! Pada 1 April nanti, bermulalah episod baru seorang juara pelawak yang baru sahaja dilahirkan daripada program realiti lawak popular anjuran Astro, Raja Lawak musim kelima Raja Lawak 5) dikenali sebagai Man.
Ini kerana sebagai juara Raja Lawak 5, Man atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, 33, secara automatik telah melayakkan dirinya untuk turut bertanding dalam sebuah program realiti baru berjudul Maharaja Lawak yang bakal disertai hampir kesemua finalis Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima.
Maharaja Lawak yang bakal bersiaran di saluran Astro Warna dalam Pakej Mustika pada setiap Jumaat, pukul 10 malam itu, bermula 1 April ini menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM300,000 untuk sang juara!
Sehubungan itu, petugas di pejabat Pos Shah Alam yang membawa pulang hadiah kemenangan juara Raja Lawak 5 iaitu wang tunai RM100,000, barangan elektrik selain trofi sumbangan Astro itu melahirkan keterujaan dirinya kerana layak memasuki Maharaja Lawak.
"Saya mahu memberi fokus kepada persaingan di gelanggang Maharaja Lawak dan akan berbincang dengan pihak majikan dan Astro tentang perjalanan karier saya selepas ini," ujarnya.
Mampukah Man menjuarai Maharaja Lawak dan bersaing dengan peserta lain yang termasuklah empat juara Raja Lawak musim terdahulu iaitu juara Raja Lawak musim pertama, Yus (yang akan bergabung dengan Tauke), juara Raja Lawak 2, Nabil, juara Raja Lawak 3, kumpulan Sepah dan juara Raja Lawak 4, Kecik (yang akan bergabung dengan Idlan), selain finalis Raja Lawak yang lain antaranya Jihan, Amir dan Alex?
Sesungguhnya ia suatu perkembangan yang menarik untuk diikuti.
Ini kerana kemenangan Man pada final Raja Lawak 5 yang berlangsung Jumaat lalu sebenarnya suatu kejutan memandangkan dia berada di tangga ketiga berbanding dua lagi finalis iaitu kumpulan R2 (yang dianggotai pasangan adik-beradik Rahim dan Ridhzuan Mat Ali) dan kumpulan Balas (dianggotai Mohammad Shukri Mohamed Sahar dan Fandi Muhammad).
Pilihan ramai.
Pada pertandingan akhir yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menyaksikan Man yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus, sementara R2 di tempat kedua undian 32.5 peratus dan di tempat ketiga ialah Balas dengan undian sebanyak 22.5 peratus. Tidak pulang dengan tangan yang kosong, R2 dan Balas masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, selain barangan elektrik serta trofi. Pertandingan akhir pada malam itu dihakimi oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Afdlin Shauki, sementara keputusan pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tidak dinafikan, Man telah menjadi pilihan ramai peminat yang mengundinya berdasarkan kedua-dua persembahan mantap menerusi tema bebas dan muzikal komedi yang telah ditetapkan.
"Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya memang tergamam dan seperti tidak percaya dengan kemenangan tersebut. Saya anggap kejayaan yang diperolehi ini seperti satu keajaiban.
"Namun saya juga tetap bersyukur kerana setelah lima musim mencuba, barulah kali ini berjaya dan saya sangat berterima kasih kepada keluarga dan pengundi yang menyokong," ujarnya.
Sementara itu, bagi kumpulan R2 pula mereka tetap berpuas hati meskipun sekadar muncul naib juara kerana ini adalah percubaan pertama mereka sebagai kumpulan.
Menurut Rahim, dia juga sama seperti Man sebelum ini yang pernah mencuba sejak dari musim pertama lagi sebagai peserta solo sehinggalah adiknya, Ridhzuan mengajaknya bergandingan bersama untuk musim ini.
"Pada saya ini adalah kejayaan tertinggi kami berdua setakat ini. Malah, saya sangat terharu dengan keberanian adik saya yang mengajak kami berdua bergandingan kerana saya tidak sangka dia turut mempunyai bakat melawak," jelasnya.
Sementara Shukri yang mewakili Balas berkata: "Kami sangkakan akan muncul naib juara, tetapi apabila nama kumpulan R2 yang diumumkan sebagai pemenang naib juara, kami sudah mengagak yang kami hanya sekadar berada di tempat ketiga.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan