Sohaimi Mior Hassan ingin tampil pula dengan single duet bersama Erra Fazira.


Mahu berkongsi perasaan mengenai alam rumahtangga, kata Sohaimi, Erra Fazira, baginya merupakan calon yang paling sesuai untuk bergandingan dengannya.

"Saya bercadang nak buat lagu berbentuk humor berjudul Dalam Rumahtangga. Jadi saya perlu mencari pasangan duet yang sudah berkahwin. Saya rasa penyanyi yang paling sesuai adalah Erra Fazira kerana dia sudah pun berkahwin dan suaranya juga rasanya sesuai untuk menyanyikan lagu ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran album barunya, Kalau Berpacaran...The Album di Redbox, The Gardens, Kuala Lumpur, semalam.

Menyambung perbualan kata Sohaimi Mior Hassan, dia juga telah bertanya kepada penyanyi jelita tersebut dan respon yang diterimanya juga amat positif.

" Saya dah berbincang dengan dia secara lisan, dia pun bersetuju tapi kenalah fikir juga komitmen masing-masing kerana dia juga berada di bawah syarikat rakaman yang berbeza dengan saya. Maka beberapa perbincangan perlu dilakukan bersama yang lain," katanya lagi kepada murai.com.my.

Bercerita tentang album kelimanya itu, jelas pelantun lagu Epilog Cinta ini, ianya dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminatnya dan ianya kini telah pun berada di pasaran hasil edaran Warner Music Malaysia.

Album terbitan sendiri itu memuatkan 12 buah lagu termasuklah tiga lagu lama iaitu Epilog Cinta, Ros dan Apabila Cinta Jadi Nafsu (nafas baru) serta satu minus one Kalau Berpacaran.

Malah dalam album tersebut juga turut menampilkan dua versi lagu Kalau Berpacaran iaitu nyanyiannya bersama Ana Raffali dan Atlimet serta versi asal nyanyiannya bersama Altimet sahaja.

"Sebenarnya, waktu mula-mula saya buat lagu Kalau Berpacaran itu, sepatutnya saya berduet dengan Altimet sahaja. Kemudian, dia memberi cadangan agar tampilkan suara wanita. Itu yang kita ajak Ana sekali. Jadi dalam album ini saya muatkan kedua-dua versi lagu itu.

"Selain itu tiga lagu lama yang saya suntik nafas baru, serta lagu Kalau Berpacaran, saya tampilkan enam lagu baru antaranya Cinta Pertama, Demokrasi , Seru dan Surat Dari Seberang," katanya proses rakaman lagu kebanyakkannya telah pun bermula sejak tahun 2008 lagi.

Dalam pada itu penyanyi kelahiran Perak ini, turut membuka cerita, meskipun telah menghasilkan lima buah album, namun dia akui memang kurang gemar untuk tampil membuat persembahan secara terbuka.

"Memang dari dulu saya tak suka turun buat promosi . Apalagi, bila dah tua-tua ini lagilah. Saya rasa tak selesa nak nyanyi di hadapan orang dengan usia begini. Pernah saya nyanyi di sebuah persembahan dan ianya dimuat turun dalam laman sosial.

"Ada orang memberi komen penyanyi ini kelihatan seperti orang tua yang gatal. Anak saya beritahu saya tentang perkara itu dan dia cakap pada saya abah tak payahlah nyanyi lagi macam itu. Kalau nyanyi kat makan malam saya tak keberatan untuk terlibat," kata Sohaimi Mior Hassan lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top