Perkahwinan tidak halang karier
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR dan ihsan JAG ENTERTAINMENT & DESIGN
 |
SERASI… Michael Buble bersama bakal isterinya, Luisana Lopilato.
|
BIARPUN sibuk dengan konsert jelajah dunianya ketika ini, Michael Steven Buble atau lebih dikenali dengan nama pentas, Michael Buble tidak melupakan persiapan perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Luisana Loreley Lopilato de la Torre atau Luisana Lopilato dalam satu majlis sederhana pada 2 April ini di Buenos Aires, Argentina, Buble mengakui dia memang teruja menantikan hari bersejarah itu dan mahu menghabiskan seumur hidupnya bersama belahan jiwanya itu. Malah, penghibur kacak kelahiran British Columbia, Kanada ini memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk menjadi seorang bapa dan mahu memiliki ramai anak.
“Memang sudah lama saya menantikan saat bahagia ini untuk menjadi seorang suami dan bapa kepada anak-anak saya. “Apabila sudah bertemu dengan orang yang sesuai, maka tiada alasan lagi untuk saya menunggu bagi menyempurnakan hasrat saya itu,” ujar Buble dalam nada yang cukup ceria tentang perkahwinan yang dijangka dihadiri seramai 350 orang itu.
Penghibur berusia 35 tahun itu berkata demikian dalam sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur minggu lalu. Kehadiran Buble ke negara ini merupakan kali kedua selepas tahun 2003 dan kali ini, kehadiran Buble di Malaysia sempena konsert jelajah Crazy Love Tour yang bermula sejak Mac tahun lalu. Buble dan Lopilato bertemu pada tahun 2008 dalam satu parti di Buenos Aires anjuran syarikat rakamannya. Bermula detik itu, mereka mula berkenalan selama setahun sebelum mengikat tali pertunangan dengan wanita kelahiran Buenos Aires itu pada November 2009. Bukan itu sahaja, tunangnya itu juga pernah muncul dalam muzik videonya, Haven’t Met You Yet yang merupakan salah sebuah lagu popular dari album keempat Buble, Crazy Love. Sebelum ini, Buble pernah menjalin hubungan dengan aktres terkenal, Emily Blunt pada tahun 2005 sebelum masing-masing mengumumkan perpisahan selepas tiga tahun berpacaran.
Kepuasan
Dalam sidang akhbar itu juga, Buble mengumumkan akan mengadakan sebuah lagi majlis resepsi di kampung halamannya pada 20 Mei ini yang akan dihadiri keluarga dan teman-teman rapatnya. Buble menjelaskan, biarpun sudah berkahwin dan akan memiliki keluarga sendiri, dia tidak melihat itu sebagai satu halangan untuknya meneruskan karier sebagai seorang penghibur. Bagi anak kepada pasangan Lewis Buble dan Amber Santaga ini lagi, soal populariti juga bukan satu perkara yang serius buatnya.
Ini kerana dia cukup sedar, apa sahaja yang dilakukan adalah tentang bakat dan hasil kerja yang dinilai oleh peminat dan bukan kerana soal status. “Terus-terang saya katakan, saya cukup berpuas hati dengan perjalanan seni saya setakat ini. Saya akan menjadi lebih bimbang seandainya saya tersungkur dalam waktu ini. “Malah, saya pernah mengalami depresi kerana perpisahan saya dahulu dan bingkas bangkit meneruskan perjalanan. “Saya telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran sebelum mencapai impian untuk menjadi seorang penyanyi seperti mana hari ini.
“Apa yang saya miliki hari ini adalah berkat usaha saya sendiri dengan bantuan pihak dan individu yang percaya dengan kebolehan saya. “Menceburi bidang seni merupakan kehendak saya sejak kecil dan apabila sudah mendapat peluang itu, saya harus serius dan tidak boleh main-main. Selagi terdaya, selagi itulah saya akan terus menyanyi dan menghibur khalayak. “Saya juga akan tetap menghasilkan album yang berkualiti demi peminat yang banyak menyokong selama ini,” ikrarnya yang juga sempat mencuri masa untuk melunaskan rakaman album Krismas bersama mentornya, David Foster.
0 ulasan:
Catat Ulasan