"Saya berjumpa dengan Encik Sheares kerana beliau pernah mengajar saya. Ia adalah satu kunjungan mesra. Tetapi ia (pertemuan itu) bukannya semasa saya berjumpa Perdana Menteri (Lee Kuan Yew) dalam lawatan pertama saya,” katanya ketika diminta membuat penjelasan oleh seorang wartawan asing.
Wartawan dari The Straits Times, Singapura itu, menyatakan rekod akhbarnya menunjukkan bahawa pada masa itu, Sheares telahpun meninggal dunia, dan beliau (Dr Mahathir) sebenarnya mengadakan pertemuan dengan Presiden lain iaitu Devan Nair dalam satu majlis makan tengah hari.
Catatan mengenai pertemuan dengan Sheares itu terkandung dalam buku kisah hidup Dr Mahathir berjudul ”A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad” yang dilancarkan minggu lepas dan mendapatkan sambutan hangat.
"Bahagian pertama (bab berkenaan) adalah mengenai pertemuan saya dengan Lee Kuan Yew, dan bahagian kedua, saya juga pergi (berjumpa Sheares), bukan pada hari yang sama atau lawatan yang sama.
"Yang pasti, saya bertemu Encik Sheares. Saya pergi bersama isteri saya dan beliau boleh mengesahkan sama ada ia benar atau tidak,” kata Dr Mahathir.
Ketika diminta menyatakan tarikh sebenar beliau bertemu Sheares, beliau berkata : “Saya tak dapat ingat secara khusus perkara sekecil seperti itu.
“Manusia kadangkalanya terlupa. Saya tak dapat ingat apa yang yang saya lakukan pada 21 Mei 1931. Anda bolehkah?"
Wartawan itu menjawab : “Saya belumpun dilahirkan.”
“Anda belum dilahirkan? Sekurang-kurangnya anda boleh ingat yang anda belum dilahirkan,” kata Dr Mahathir. – Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan