Pertarungan enam penjuru

hi011


BIAR PUN lagak mereka mesra seperti teman karib yang sudah lama tidak bertemu, namun jauh di sudut hati masing-masing, keenam-enam peserta program realiti Mentor musim kelima mempunyai misi tersendiri yang perlu dijalankan.

Menyifatkan diri mereka sebagai cukup bertuah berbanding ribuan peserta yang gagal terpilih di luar sana, Salma, Ayish, Ratnah, Shiha, Aiman dan Iqa seboleh-bolehnya tidak mahu peluang keemasan yang hadir dalam hidup mereka lebur begitu sahaja.

Justeru, keyakinan dan bakat dalam diri dihimpunkan agar menjadi lebih padu dan jitu untuk terus-terusan memberikan cabaran antara satu sama lain di pentas Mentor pada setiap minggu.

Pengalaman awal

Ketika ditemui semasa sesi fotografi di Kosmo! kelmarin, semua protege yang hadir dilihat mempunyai kelas yang tersendiri daripada segi pembawakan diri, cara berkomunikasi dan juga lontaran pendapat.

Sebagai protege yang paling dewasa, Ratnah ketika ditemui memberitahu, tatkala terpilih sebagai protege kepada Afdlin Shauki, hatinya berbunga-bunga dan seperti tidak percaya dengan peluang yang diberikan kepadanya.

“Ramai yang menjalani sesi uji bakat untuk menjadi protege Afdlin iaitu kira-kira 900 orang, jadi apabila dipilih antara beratus-ratus peserta yang hadir, saya seperti tidak percaya.

“Pengalaman beraksi di pentas pada konsert pengenalan Ahad lalu menaikkan lagi rasa teruja saya dan saya semakin tidak sabar untuk beraksi lagi,” katanya yang mengakui mempunyai kelebihan pada aspek tarian.

Terus berkongsi pengalaman, Aiman yang merupakan protege kepada Rahim Maarof tekad untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

“Saya terima ini sebagai cabaran dan pada masa yang sama, saya tidak mahu mengecewakan mentor saya. Peluang ini akan saya gunakan dengan baik dan yang paling penting, saya mahu timba ilmu dalam dunia seni,” ujarnya.

Aiman yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perakaunan di Kolej Universiti Sunway memutuskan untuk menangguhkan pengajian untuk memberi laluan kepada Mentor.

Bagi Ayish, dipilih menjadi protege kepada Noh Hujan diibaratkan umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

Baginya, Noh merupakan seorang penghibur yang bekerja keras untuk meningkatkan popularitinya menerusi lagu selain berjaya menaikkan imej kumpulan indie di negara ini.

“Ini pengalaman pertama saya menyertai sesi uji bakat dan saya memang sudah sasarkan untuk menjadi protege Noh, jadi kini tugas saya ialah untuk membuatkan dia bangga dengan saya,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, protege kepada Datuk Sharifah Aini, Shiha mengakui gusar dan bimbang bernaung di bawah penyanyi malar hijau itu kerana baginya, mentornya bukan calang-calang penyanyi.

“Menang saya akui tugas saya amat mencabar, tetapi saya tidak akan sesekali patah semangat. Saya akan terus cabar diri sendiri dan akan banyakkan berlatih,” tuturnya yang mengakui meminati biduanita itu sejak sekian lama.

Tidak terkecuali Iqa, dia turut bersaing dengan ratusan peserta lain semata-mata mahu mendapatkan tunjuk ajar daripada artis serba boleh iaitu Edry.

“Saya mengetahui uji bakat Mentor melalui televisyen. Di sana, saya melihat kriteria Edry sedikit sebanyak terdapat dalam diri saya iaitu mempunyai stail tersendiri, unik dan berbeza daripada yang lain.


hi012

ENAM bakat baru yang memburu impian yang sama untuk bergelar penyanyi terkenal tanah air.



“Mungkin faktor itu dengan ditambah dengan ton suara saya yang unik menyebabkan saya terpilih. Begitupun, saya tidak akan tertumpu kepada pop rock sahaja, tetapi akan berusaha untuk menjadi versatil,” katanya.

Berbeza dengan kisah rakan-rakan yang lain, Salma hampir terlepas peluang untuk menyertai sesi uji bakat Mentor kerana gilirannya sudah terlepas, namun atas budi bicara, dia diberikan satu lagi peluang.

“Saya terlepas satu giliran, namun mungkin sudah rezeki, saya diberikan satu lagi peluang dan akhirnya berjaya protege kepada Erra Fazira,” bicaranya.

Medan pertarungan

Usai berlalunya konsert pengenalan pada Ahad lalu, keenam-enam mentor dan protege telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A (Afdlin-Ratnah, Datuk Sharifah Aini-Shiha dan Noh-Ayish), sementara yang selebihnya berada di kumpulan B.

Setiap kumpulan akan mengadakan sebanyak empat persembahan secara berselang-seli untuk tujuan pengumpulan markah.

Protege yang mendapat markah terendah dalam setiap kumpulan akan disingkirkan dan empat peserta terakhir akan bergabung semula di peringkat separuh akhir dan akan membuat persembahan selama dua minggu sebelum berentap di peringkat akhir.

Juara Mentor musim kelima akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 (mentor dan protege) dan sebuah kereta Chevrolet Cruze tajaan Chevrolet untuk protege.

Sementara, mentor dan protege di tempat kedua akan membawa pulang wang tunai RM30,000 dan sebuah vespa LV150 tajaan Naza World untuk protege.

Struktur program

Dalam perkembangan lain, Mentor kali ini masih mengekalkan Ally Iskandar sebagai pengacara program, jurnal Mentor dan jurnal Protege.

Selain itu, Nas Ahmad pula bertindak selaku pengacara bersama pada setiap konsert untuk berkongsi kisah-kisah di belakang tabir dan di belakang pentas.

Pada masa yang sama, tiga individu penting diberi tanggungjawab untuk melontarkan pendapat mengikut kekuatan masing- masing iaitu Ajai selaku penasihat vokal, Adam sebagai penasihat persembahan dan Faizal Uzir pula menggalas tugas sebagai pengarah muzik.

Buat julung-julung kalinya juga, Mentor pada kali ini memperkenalkan seorang juri tetap iaitu Datuk Ramli MS yang akan bergandingan bersama seorang lagi juri jemputan.

Untuk musim kelima juga, Mentor terus mengekalkan format pemarkahan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus daripada juri awam.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top