Anuar Zain
"Doa saya pada 2012 adalah kita semua diberikan keselamatan yang berpanjangan. Bagi saya sendiri, saya berharap agar dilimpahi rezeki yang bertambah dan tidak pernah putus, juga kesihatan yang baik untuk terus bekerja, insya-Allah. Saya mahu lebih dekat dengan peminat saya yang setia menyokong selama ini dan terima kasih."
Shaheizy Sam
"SAYA ingin 2012 lebih baik dari 2011 dari sudut apa sekalipun. Mungkin akan melangkah ke arah bidang penerbitan drama pula. Mengenai pencapaian 2011, saya banyak diberi penghargaan dan pengiktirafan daripada penganjur majlis dan juga peminat. Justeru pada 2012, saya ingin memastikan penghargaan dan pengiktirafan itu bukan satu kesilapan. Dari segi penerbitan pula, saya akan buat sendiri dan pada masa sama, saya akan banyak buat projek usaha sama dengan kakak, (Zizie Izette) yang kini sudah bergelar produser."
Fasha Sandha
"2012 tahun paling bermakna buat saya. Pada tahun baru ini juga, saya terbabit dengan penggambaran filem seram Penanggal, drama bersiri TV3 berjudul Seindah Sakura dan akan bercuti bersama peminat ke Jakarta dan Bandung bersama pengajur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Syukur atas kejayaan dikecapi pada 2011.
"Azam 2012 pula, saya ingin menjadi manusia yang lebih baik, meningkatkan prestasi lakonan, memperbaiki kelemahan dan kesilapan pada tahun ini. Saya juga mendoakan cita-cita dan angan-angan saya termakbul untuk menambahkan cawangan Chinta Salon di Johor Bahru kerana Chinta Salon di Wangsa Link, Kuala Lumpur mendapat sambutan baik. Saya bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih pada pelanggan dan peminat."
Norliana Samsudin
"AZAM tahun baru saya ialah hendak meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti produk 'Yana'. Saya juga tidak sabar hendak mempromosikan lima filem baru lakonan saya yang bakal masuk pawagam pada 2012 nanti.
"Filem itu ialah Adnan Sempit 2 (23 Februari), 3 Temujanji (5 April), Aku Ada Kau Ada (24 Mei), 8 Jam & Minyak Dagu. Insya-Allah, saya juga bakal mengarah filem terbaru juga pada 2012."
Syamsul Yusof
"SYUKUR alhamdulillah, segala yang diusahakan saya berhasil pada 2011. Azam baru 2012 pula, saya nak siapkan dua filem baru secepat mungkin iaitu KL Gangster 2 dan KL Tak Gangster. Selain itu, untuk mempromosikan filem ketujuh, Jalan Kembali: Bohsia 2.
"Pada masa sama, azam baru saya juga ingin menjaga kesihatan dengan baik kerana tidak cukup rehat sebab sibuk dengan kerja. Selain itu, saya juga ingin mengumpul idea terbaik untuk skrip filem akan datang serta melabur dalam bisnes pula selain penerbitan filem dan televisyen."
Alyah
"KARIER seni saya sepanjang 2011 memang ada peningkatan dari segi populariti dan saya bersyukur dengan sokongan dari peminat itu terutama sambutan memberangsangkan pada lagu Kisah Hati.
"Justeru, saya juga merancang untuk tampil dengan bingkisan album penuh pula pada 2012 yang juga impian saya dalam karier seni selama ini. Walaupun, penyanyi sekarang suka dengan single, saya tetap mahu hasilkan album sebagai kepuasan diri dan peminat yang menyokong selama ini.
"Pada masa sama, saya mahu mencari wang lebih banyak untuk syarikat saya, Like Music Entertainment supaya dapat berkembang maju. Maklumlah, saya sudah keluar bajet yang banyak termasuk menggilap artis baru saya Chocolate. Selamat Tahun Baru buat semua!"
Datin Paduka Shuhaimi Baba
"SEBAGAI karyawan, azam tahun baru saya adalah ingin membantu rakan karyawan filem memecah kebuntuan mengenai isu hak pencipta kreatif. Kita perlu iklim baru di mana ciptaan kita diiktiraf sebagai harta intelek kita. Ini yang kami perjuangkan selama ini.
"Apabila hak ini tidak diiktiraf, harapan untuk berkongsi kekayaan industri kreatif hanya menyebelahi mereka yang ada kuasa saja. Sistem ekonomi yang maju dan masyarakat melindungi yang lemah turut memastikan pemikiran dan karya kreatif adalah harta dan aset penciptanya.
"Saya juga berharap yang terbaik pada filem terbaru yang juga genre sejarah, Tanda Putera Negara yang masih dalam fasa 'final cut' dan peringkat ketiga kesan visual. Selain itu, fasa untuk buat beberapa ujian 'grading' dan hendak dapatkan 'look' & 'feel' yang menarik."
Stacy
"SAYA bersyukur dengan apa dianugerahkan tuhan kepada saya sepanjang tahun ini. Terima kasih juga atas sokongan keluarga dan peminat dari awal pembabitan saya dalam industri hiburan.
"Dengan terhasilnya album kedua saya, sudah pasti misi saya pada 2012 untuk menghasilkan album ketiga pula. Saya ingin memberikan yang terbaik buat peminat saya.
"Walaupun berdepan dengan gosip liar, saya sangat berharap keceriaan saya berdepan dengan masalah seperti itu dapat saya teruskan. Walaupun baru berusia 22 tahun pada 2012, tetapi saya berharap agar saya lebih matang."
Akim AF
"MUNGKIN sejak akhir-akhir ini peminat sudah jarang mendengar mengenai perkembangan saya. Namun, saya masih lagi aktif dengan kerjaya saya. Tidak mahu berada pada skala yang sama, saya mengharapkan tahun depan adalah tahun yang lebih bertuah buat saya.
"Saya mahu lakukan sesuatu pada kerjaya sekarang. Saya memohon kepada Allah SWT agar dapat menghasilkan sebuah album baru pada tahun depan dan berlakon dalam sebuah filem. Tidak salah, mencuba bidang lain untuk mencabar bakat yang ada pada diri sendiri.
"Selain itu, saya juga menghasilkan beberapa lirik lagu dan tidak menolak kalau ada penyanyi yang meminta saya untuk menulis lirik lagu mereka."
Elfira Loy
"BERMULA tahun depan, saya ingin menjadi lebih berdikari dan bijak menguruskan kerjaya saya, ingin menjadi seorang yang berpendirian tetap kerana saya ini senang dipujuk dan mengubah keputusan yang sudah dibuat.
"Satu sikap buruk saya terutama apabila melakukan sesuatu, saya akan menjawab 'nanti'. Saya sedar ia akan memudaratkan diri sendiri sebab itu saya mahu buang sikap bertangguh itu agar lebih banyak perkara yang dapat saya jalankan dan tidak membuang masa.
"Mengenai kerjaya pula, saya berharap masyarakat memandang tinggi lakonan dan tidak mengambil remeh hasil kerja keras saya selama ini. Saya juga ingin mencuba bekerja di bawah arahan pengarah lain dan watak yang pelbagai."
Rozita Che Wan
"SAYA mahu melupakan peristiwa pahit sepanjang tahun ini dan memulakan tahun baru dengan perkara-perkara yang baik dan dapat membantu menaikkan kerjaya sebagai pelakon.
"Sebagai seorang pelakon sudah pasti, azam tahun baru saya agar Allah SWT memperluaskan rezeki buat saya dalam bidang lakonan dan tidak ketinggalan saya ingin mencuba bidang baru seperti pengacaraan kalau diberikan peluang.
"Pendek kata, tahun depan adalah tahun untuk saya sepenuhnya memberikan perhatian kepada lakonan dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan."
Aizat
"BANYAK perancangan yang ingin saya lakukan bagi memajukan diri sendiri dan mewarnai industri muzik di Malaysia tapi kalau buat semuanya secara serentak, saya takut nanti semuanya terbengkalai.
"Projek pertama saya sepanjang 2012 adalah untuk menyiapkan studio rakaman saya sendiri bagi memudahkan saya menghasilkan lebih banyak lagu sebagai hadiah buat peminat dan penyokong saya.
"Insya-Allah, saya juga diberikan peluang sekali lagi untuk mengadakan konsert jelajah di serata negeri. Itu adalah salah satu tanda saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan saya.
Eira Syaziraa
"TERLEBIH dulu saya ingin bersyukur kepada Allah SWT kerana masih berikan kesempatan kepada saya untuk menjalani kehidupan seharian sebagai pelakon dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Sebagai pelakon, saya sememangnya mengharapkan karier seni saya berjalan lebih lancar dan rezeki melimpah ruah pada 2012 nanti.
"Impian saya ingin menjadi seorang usahawan dan terus berjaya dalam apa juga bidang diceburi. Bagaimanapun, impian terbesar saya ialah ingin memberikan hadiah paling berharga untuk suami saya iaitu anak. Saya juga berharap agar dapat memperbaiki kelemahan diri."
ADI PUTRA
Saya tidak putus-putus berdoa moga dikurniakan cahaya mata tahun ini. Itu azam besar saya selepas isteri empat kali keguguran. Mudah-mudahan tahun ini rumah tangga kami diceriakan dengan kehadiran anak kecil.
Selain itu, saya mahu kembangkan kelab peminat Hotlovers di serata dunia. Setakat ini, kelab peminat disertai penyokong saya dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Mesir dan London.
Saya merancang bertemu peminat, bermula dengan majlis pertemuan di Singapura diikuti London dan Paris. Harapnya dengan pertambahan ahli dari negara lain, ikatan silaturahim Hotlovers dapat diperkukuhkan.
Saya sedar, tanpa sokongan peminat, karier saya tidak akan ke mana-mana. Merekalah tulang belakang saya dan kerana merekalah saya berada di tahap sekarang. Justeru, budi baik dan doa mereka sangat saya hargai.
Tahun ini juga filem lakonan saya iaitu KL Gangster 2 dan Langgar akan ditayangkan. Saya juga bakal sibuk dengan penggambaran beberapa filem lagi dan diharap persembahan saya lebih berkualiti daripada sebelum ini.
SCHA ALYAHYA
Pada 2011 saya tidak capai tahap piawaian kesihatan yang diinginkan, jadi tahun ini saya kena pastikan azam itu dapat dicapai. Bermakna saya kena lebih banyak keluarkan peluh dengan bersenam.
Sebagai anak, saya berazam bawa ibu bapa menunaikan umrah tahun ini dan kerjaya pula saya mahu pelbagaikan watak. Tahun lalu saya banyak ditawarkan watak klise, harapnya tahun ini saya dapat tampilkan sisi Scha Alyahya yang belum pernah penonton lihat.
Saya teringin hidupkan watak berat dan air mata, tetapi barangkali penerbit atau pengarah belum yakin dengan kemampuan saya.
Apapun, saya kena buktikan dan perlu mencari peluang untuk menunjukkan kebolehan sebenar. Tahun ini saya kena pandai bawa diri supaya hasrat ini kesampaian. Sesuai dengan peningkatan usia, saya mahu jadi lebih tenang.
Sebelum ini serba serbi laju, malah saya boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Saya mahu menikmati usia 29 tahun dengan penuh rasa gembira.
Insya-Allah, saya akan menamatkan zaman bujang dengan Awal Ashaari tahun ini. Biarpun tidak tahu bagaimana hala tuju hidup saya selepas bergelar isteri, saya berdoa yang baik-baik saja. Ikut perancangan asal, kami mahu melangsungkan perkahwinan pada Mac depan tetapi terpaksa menunda tarikh kerana tempat yang kami suka semuanya penuh.
Untuk memastikan lokasi dipilih muat dengan kapasiti tetamu, kami kena cari tarikh lain dan masih membincangkannya.
Kalau boleh paling lambat pun pertengahan tahun, tetapi kami hanya merancang, Allah menentukan. Apabila ada ketetapan tarikh, baru kami akan mula melakukan persiapan.
OSMAN ALI
Tahun lalu meninggalkan memori indah buat saya apabila diangkat sebagai Pengarah Terbaik dalam Anugerah Skrin menerusi filem Cun, di mana dalam acara itu Nadia Nisa dan Remy Ishak turut mendapat pengiktirafan.
Saya juga bangga apabila filem Ombak Rindu mencecah kutipan RM11 juta selepas hampir sebulan ditayangkan di pawagam seluruh negara. Mana yang tidak berkesempatan ke pawagam, bolehlah menonton filem ini di Astro First.
Kejayaan itu membuka mata saya untuk melihat aspek kehidupan daripada sudut positif. Setiap kegagalan tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Biarpun Cun tidak mendapat sambutan di pawagam, Ombak Rindu adalah sebaliknya apabila melepasi sasaran saya. Azam saya, mudah-mudahan dapat menghasilkan karya lebih berkualiti.
Dalam simpanan saya ada beberapa skrip genre drama tetapi tidak ada penerbit berani menerbitkannya. Mereka menyifatkan karya saya tidak memenuhi kehendak pasaran dan selera penonton, tetapi selepas melihat kejayaan Ombak Rindu persepsi mereka terhadap genre drama mula berubah.
Ada yang suarakan rasa berminat menerbitkan karya itu dan perkembangan positif ini dapat membuka lebih ruang kepada saya untuk menyampaikan penceritaan secara lebih matang. Itulah azam saya dan harap dimakbulkan Ilahi.
Azam peribadi pula saya mahu jadi manusia lebih positif dan menjaga insan yang saya sayangi dengan lebih bertanggungjawab.
ANZALNA NASIR
Sejak lima bulan lalu, hidup saya mula berubah. Kalau sebelum itu saya tidak bekerja, tetapi kini hasil titik peluh berlakon, saya boleh capai impian beli kereta. Saya tidak ada lesen memandu, kalau nak ke mana-mana kena minta orang hantarkan.
Jika boleh memandu dan ada kereta sendiri, urusan hidup saya pasti lebih mudah. Jadi azam tahun baru saya adalah membeli kereta dan insya-Allah ia jadi hadiah paling indah ulang tahun saya ke 24 pada 9 Januari ini. Seronok rasanya bila dapat beli kereta dengan duit sendiri.
Sebelum ini hati saya tersentuh setiap kali mendengar cerita mereka yang tidak bernasib baik dan pernah ada impian mahu menghulurkan sumbangan kepada golongan ini, tetapi tidak kesampaian kerana tiada pendapatan. Insya-Allah hasrat ini dapat saya laksanakan dan ia menjadi satu daripada azam penting saya tahun ini.
Selain itu, saya mahu mantapkan mutu lakonan dan membintangi lebih banyak drama dan filem. Setakat ini saya menjayakan dua filem iaitu Sepah The Movie dan Tyickoouns.
Saya juga mahu beranikan diri bawa watak utama. Selama ini ada tawaran tetapi saya tidak yakin dengan kemampuan diri. Alhamdulillah, selepas beraksi dalam beberapa drama dan dua filem, saya mula yakin dan akan berusaha melakukan yang terbaik andai ada peluang selepas ini.
Drama lakonan saya, Gemersik Kalbu untuk slot Akasia TV akan mula ke udara esok dan diharap ia menjadi pembuka rezeki saya tahun ini. Dalam waktu terdekat, saya akan menjalani penggambaran dua drama untuk TV3.
MIERA LIYANA
Pengalaman lalu banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Saya berazam jadi insan lebih baik tahun ini dan lebih berhati-hati dengan apa yang saya pakai. Insya-Allah, saya akan ubah mana yang patut dan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.
Selama ini, cerita kontroversi saya lebih diperkatakan daripada kerjaya. Ramai cakap saya hanya bergantung dengan publisiti, aspek lakonan tidak ada apa yang boleh dibuktikan. Tahun ini adalah tahun untuk saya buktikan tanggapan itu salah.
Empat filem lakonan saya iaitu Apocalips X, Jangan Pandang-Pandang, Rentas dan Pecah akan ditayangkan tahun ini. Dengan adanya filem ini di pawagam, diharap persepsi masyarakat terhadap saya berubah. Tahun ini juga banyak drama lakonan saya akan bersiaran di beberapa saluran TV. Saya mahu orang nilai bakat dan kemampuan saya bukan apa yang saya pakai. Cukuplah kontroversi sebelum ini.
Kalau ikut perancangan tahun ini, saya dan Shah Jazle merancang mahu mendirikan rumah tangga tetapi memandangkan jadual penggambaran kami padat sepanjang tahun, mungkin hasrat itu tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Shah mahu menghantar rombongan meminang, tetapi perlu menunggu ibunya pulang ke tanah air terlebih dulu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk tidak tergesa-gesa. Kalau ada jodoh, tak akan ke mana, jadi buat masa ini biar kami fokuskan perhatian terhadap komitmen kerja. Bulan depan kami akan menjalani penggambaran drama 40 episod untuk Astro.
ZAHIRIL ADZIM
Saya kini bergelar suami kepada wanita yang saya cintai, Shera Aiyob. Saya berazam menjaga ikatan suci ini dengan baik dan mendalami ilmu rumah tangga serta agama. Apabila tanggungjawab bertambah, saya kena mantapkan ekonomi, justeru kena bekerja lebih kuat.
Selain menajamkan skil lakonan, saya mahu menceburi bidang lain yang boleh menambah pendapatan. Mungkin mencari peluang mengusahakan bisnes. Setidak-tidaknya apabila tawaran berlakon semakin kurang, saya sudah ada persediaan. Bak kata orang lama, hidup kita ini umpama roda. Ada ketikanya di atas dan ada masanya di bawah, jadi kena sediakan payung sebelum hujan.
Selain itu saya berazam berhenti minum nescafe. Kalau ikutkan ini azam tahun lalu, ramai suruh saya berhenti minum nescafe dan banyakkan minum air putih. Insya-Allah, saya akan pastikan ia dapat direalisasikan tahun ini.
Satu lagi, saya rindukan watak jahat. Harapnya tahun ini ada yang sudi tawarkan karakter antagonis kepada saya. Selepas Kami The Movie saya ada bawa watak hitam, tetapi ia tidak ekstrem. Saya mahu cabar diri dengan melakonkan watak sebegini.
SARI YANTI
Tahun ini saya akan luangkan lebih masa dengan anak. Saya baru habis berpantang dan menyesuaikan diri dengan komitmen ini. Saya mahu jadi ibu terbaik. Tidak dinafikan memang mencabar apabila ada anak kecil, apatah lagi zuriat sulung saya, Barr Al Aliy baru berusia 16 bulan. Dia masih belum puas bermanja, tiba-tiba ada adik. Alhamdulillah, dia dapat menerima kehadiran Basit Al Haq, bahkan dia sangat sayangkan adiknya.
Walaupun ada pembantu di rumah, urusan menjaga anak saya lakukan sendiri. Saya seronok melihat perkembangan mereka dan tidak kisah berjaga malam atau berpenat kerana itu adalah perjalanan hidup seorang ibu.
Jika ada tawaran berlakon, saya akan tengok keadaan anak. Andai Basit sudah boleh berenggang dengan saya, mungkin tawaran yang datang akan saya pertimbangkan. Saya merancang mengusahakan perniagaan secara on-line tetapi belum ada ketetapan. Tengoklah, jika ada idea nanti, mungkin akan saya laksanakan. Seronok juga kalau dapat bekerja dari rumah.
AZLAN TYPEWRITER
Azam saya mahu mengukuhkan ekonomi, membeli rumah dan perbaiki diri. Rabu lalu, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.8 kilogram di Hospital Lourdes, Sentul, Kuala Lumpur.
Zuriat yang sangat dinantikan ini saya namakan Laurra Lutfea. Alhamdulillah, ibu dan anak sihat. Saya menemani isteri sepanjang proses bersalin dan selepas berhempas pulas, Laura selamat dilahirkan pada jam 9.03 malam. Pengalaman berada dalam bilik bersalin tidak mungkin saya lupakan. Perasaan takut, gembira dan kasihan bercampur-baur. Ia secara tidak langsung buat saya rasa insaf dan terfikir banyak perkara.
Saya berazam menjadi suami dan bapa yang baik dan akan berusaha meninggalkan tabiat tidak elok. Antaranya, saya mahu kurangkan tidur dan merokok. Saya juga akan jadi insan lebih bertanggungjawab. Saya sedar perubahan tidak boleh secara drastik, jadi saya akan ubah perlahan-lahan.
Kerjaya pula, saya gembira dengan pencapaian Azlan & Typewriter dan akan berusaha menghasilkan lagu lebih berkualiti tahun ini. Kini saya sibuk dengan proses rakaman single yang dijangka keluar April depan. Kali ini konsep diketengahkan lebih moden dan harap dapat diterima peminat.
JACLYN VICTOR
Memandangkan usia kian meningkat, saya kena berusaha lebih keras untuk melunaskan beberapa azam yang belum kesampaian. Untuk memastikan perjalanan karier dan kehidupan peribadi lancar, perkara pertama perlu saya utamakan adalah kesihatan.
Justeru, saya berazam untuk lebih prihatin soal penjagaan kesihatan, termasuk daripada segi pemakanan dan banyakkan bersenam. Amalan sihat ini juga bagus untuk mengekalkan tubuh badan langsing.
Tahun ini juga saya berazam menunjukkan sisi berbeza Jaclyn Victor menerusi album baru yang bakal menjengah tidak lama lagi. Sudah tujuh tahun saya dalam industri, kena cari kelainan jika mahu terus maju. Saya berharap sangat album ini berada di pasaran sebelum pertengahan tahun dan diharap peminat suka kelainan ditampilkan.
Ada yang bertanya bila saya mahu berumah tangga, jawapannya belum tiba masanya. Tunang saya berada di United Kingdom dan merancang mencari pekerjaan di sini, tetapi bukan dalam waktu terdekat. Tidak dinafikan hubungan jarak jauh sangat mencabar tetapi setakat ini kami dapat tangani segala dugaan itu. Barangkali sudah lima tahun bertunang, jadi masing-masing faham dan saling percaya.
Selamat Tahun Baru 2012!
0 ulasan:
Catat Ulasan