Dokumentari mengenai penyanyi wanita paling popular di Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin disiarkan Astro melalui saluran History malam ini.

Program selama sejam, yang disiarkan pada hari lahir Siti yang ke-33 itu mengisahkan kejayaan beliau selama 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni — bermula dari bawah sebagai penyanyi pada majlis perkahwinan hingga ke puncak kejayaan dan kemudian menceburi bidang perniagaan.

Dikenali sebagai penyanyi bersuara emas, berpewatakan menarik dan sopan, Siti memulakan karier nyanyian pada usia 16 tahun dan terus mengembangkan bakatnya dengan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan.

Kejayaan mula berputik selepas beliau memenangi Bintang Hiburan Minggu Ini iaitu pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1995.

Dokumentari Siti Nurhaliza

Siti juga menjadi artis pertama Malaysia yang membuat persembahan di Royal Albert Hall di London, di mana beliau digelar sebagai “Celine Dion Asia” oleh akhbar-akhbar Britain.

Selain menguruskan karier nyanyiannya, Siti turut menceburi bidang perniagaan dengan menubuhkan empayar kosmetik SimplySiti.

Siti Nurhaliza ialah personaliti tempatan keempat dan paling muda pernah dipaparkan dalam dokumentari siaran saluran berkenaan. Siti juga merupakan artis muda yang masih hidup diberikan peluang tersebut. Sebelum ini saluran History pernah menerbitkan dokumentari mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Hj Arshad.

Selain rakaman temubual bersama rakan artis, pemuzik, jurusolek, pereka fesyen dan media, program selama sejam itu turut memaparkan beberapa rakaman serta gambar menarik, termasuk klip video pada awal pembabitannya dalam bidang nyanyian serta konsert Siti di luar negara.

Antara yang diwawancara termasuk komposer Adnan Abu Hassan, personaliti televisyen terkemuka, Najip Ali, wartawan hiburan kanan, Zainal Alam Kadir, Jennifer Thompson dan Michael Ong.

Dokumentari “Siti Nurhaliza” akan ditayangkan pada 11 Januari 2012 pukul 10 malam di saluran History (Astro 555). Ia akan diulang tayang pada 12 Januari (8 malam), 14 Januari (6 petang) dan 15 Januari pada pukul 9 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top