Amanah baru Hanez Suraya

Cinta adalah anugerah amat suci yang lahir daripada lubuk hati paling dalam bersifat ikhlas tanpa paksaan dan kerana rasa cinta itulah yang membawa pasangan ini meniti ranjau dan duri sehingga akhirnya berjaya ke jenjang pelamin.

Setahun lebih ‘dihalang’ kemunculannya di kaca televisyen sejurus satu sidang media menyangkal dakwaan bekas isteri (yang ketika itu masih isteri) kepada Romie Razin Adilha Abd Jais, 35, pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, melalui hari-harinya dengan penuh kedukaan.

Bukan saja hilang mata pencarian bahkan Hanez bersedih tohmahan sebagai ‘perampas’ turut terpalit ke wajah orang tuanya. Lantas hatinya merintih sambil mempersoalkan mengapa harus ibu bapa dan keluarganya diseret dalam masalah peribadinya. Pernah juga timbul dakwaan, Hanez dan Romie memutuskan hubungan tidak lama selepas sidang media itu kerana tidak tahan dengan tekanan.

Namun, ikatan pertunangan yang diikat pada 3 Januari lalu, membuktikan kesungguhan Romie memperisterikan Hanez yang kini sah menjadi miliknya pada 14 Mac lalu apabila mereka dinikahkan di Masjid Putra, Putrajaya. Dengan ikatan suci itu maka terlerailah segala derita. Ternyata jodoh itu adalah rahsia Allah SWT.

Izin Suami

Memenuhi undangan majlis resepsi yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Ahad lepas, jelas terpancar keceriaan pada wajah raja sehari khususnya Hanez yang pernah dirundung duka.

Anggun dengan gaun meleret rekaan Fizi Woo, Hanez berkata, dia mahu melupakan segala yang pernah berlaku dan berharap orang ramai tidak mengungkit lagi apa yang pernah terjadi.

Ditanya, apakah dia bersedia kembali berlakon sekiranya diberi tawaran, akui Hanez meski cintanya terhadap lakonan tidak pernah padam namun dengan status barunya sebagai isteri, segalanya mestilah mendapat keizinan daripada Romie.

“Tetapi adakah yang mahu ambil saya berlakon? (berseloroh). Tengoklah macam mana, saya perlu berbincang dengan Romie. Kalau tawaran itu bagus dan tidak melanggar batas seorang isteri, insyaAllah saya terima.

“Cuma saya sendiri memikirkan apabila sudah bergelar isteri sekarang, saya ada amanah baru iaitu menjaga suami, anak-anak suami dan keluarga saya. Tentunya tidak boleh aktif seperti mana zaman solo dulu,” katanya.

Romie pula yang kelihatan romantis di samping Hanez berkata, dia berharap tiada lagi cerita yang tidak enak ditimbulkan selepas ini dan berharap mereka dapat menjalani kehidupan rumah tangga seperti pasangan suami isteri lain, bahagia bersama sehingga ke akhir hayat.

“Saya sudah membuktikan saya ikhlas memperisterikan Hanez. Adakalanya, kita tidak boleh jelaskan secara terperinci permasalahan yang berlaku sebelum ini kerana ia terlalu peribadi dan tidak molek untuk dikongsi dengan umum.

“Apapun, keyakinan saya untuk menikahi Hanez kerana dia bukan saja menerima saya seadanya tetapi seorang mengambil berat dan prihatin terhadap anak-anak saya yang masih kecil. Dia juga tenang dan sabar,” kata Romie yang mempunyai dua anak, Putera Adreeshah, 9, dan Putera Rayqarl, 3, hasil perkahwinannya terdahulu.

Romie menambah, dia tidak mahu menghalang Hanez berlakon tetapi sebagai suami dia akan memberi pendapat dan nasihat sebelum sesuatu tawaran diterima Hanez.

Tanah suci

Mengakui belum merancang destinasi berbulan madu, Hanez berkata dia dan suami akan mengerjakan umrah dulu.

“Alhamdulillah kenduri kahwin di kedua-dua pihak sudah selesai. InsyaAllah saya dan suami merancang mengerjakan umrah dan pada saya dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci adalah hadiah yang lebih bermakna daripada berbulan madu.

“Apatah lagi, saya memang teringin sangat ke sana iaitu sebelum bertunang lagi tetapi saya dinasihatkan pergi umrah selepas berkahwin ditemani suami kerana wanita yang mahu ke sana mesti ada mahram.

“Syukur segalanya dipermudahkan dan kami berdua akan berangkat ke Makkah bulan depan. Berkenaan destinasi bulan madu, ikutkan hati saya mahu ke Maldives,” katanya.

Melanjutkan perbualan, Hanez berharap pemergiannya ke Makkah bakal membawa perubahan yang baik dan dibukakan pintu hati untuk berhijab kerana itu juga menjadi harapan Romie.


Menitipkan memori indah sepanjang majlis resepsi yang mendapat sentuhan perancang majlis perkahwinan Sanggul, wakil keluarga kedua-dua pihak turut membSerikan ucapan istimewa.

Romie diwakili adiknya begitu juga Hanez. Manakala ibu kepada pelakon itu sempat berpesan kepada Hanez menjaga rumah tangga sebaik mungkin sekalipun perlu membukakan stokin untuk suami, selain berterima kasih kepada Romie dan keluarga kerana sudi menerima Hanez sekeluarga seadanya.

Persandingan memilih gabungan putih dan kuning itu menampilkan Awal sebagai pengacara yang turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular antaranya Scha Al Yahya, Fasha Sandha, Iqram Dinzly, Nora Danish, Fiza Kader, suami dan adiknya, Ieedah dan Sharifah Shahora. ~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top