Datuk Aznil Nawawi dilantik Ikon Cinta Malaysia 

Datuk Aznil Nawawi dilantik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai Ikon Cinta Malaysia yang antara lain bertanggungjawab menyebarkan mesej kasih sayang kepada negara, termasuk menyuntik pemahaman rakyat berhubung kepentingan cukai.

Aznil berkata, semangat cintakan negara perlu sentiasa dipupuk tanpa mengira usia dan harus bermula sejak kecil supaya rakyat membesar dengan jati diri dan nilai peribadi tinggi.

"Saya berbesar hati diberi mandat ini kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial. Malah, bukan hanya di bawah program Cinta Malaysia, mesej mengenai cinta terhadap negara juga akan disampaikan jika saya diundang ke mana-mana acara.


"Berdasarkan perancangan, saya akan mengikuti siri jelajah sekolah, institut pengajian tinggi (IPT), syarikat korporat dan melawat ke kawasan luar bandar untuk kempen ini," katanya selepas sambutan Hari Hasil ke-19 dan pelancaran Hasil4U di ibu pejabat LHDN di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Eksekutif LHDN, Tan Sri Mohd Shukor Mahfar.

Aznil berkata, beliau sedia menjadi 'jambatan' yang menghubungkan rakan artis dan LHDN dalam membincangkan pelbagai isu berhubung percukaian.

"Mungkin ada artis yang belum menyelesaikan tunggakan cukai pendapatan selama ini dimomokkan dengan kaedah pengiraan yang tidak betul.

"Sedangkan daripada pengalaman saya, semuanya mudah dengan bantuan pegawai LHDN yang mesra dan terlatih," katanya.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top