Lufya kini berhijab, tak mahu menyanyi lagi

Lufya nekad untuk bertudung sempena meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada 2 Februari lalu.

Bagi pelakon dan penyanyi Lufya Omar, itulah permulaan yang baik untuknya sebaik pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihidapi pada penghujung tahun lalu.

“Saya berasa diberi peluang kedua untuk hidup oleh Allah SWT. Semuanya selepas saya diuji dengan terlantar sakit selama dua bulan dan sakitnya seperti hendak mati,” kata bekas peserta program realiti Akademi Fantasia ini.

Menurut Lufya, ketika menderita sakit berat badannya turun 10 kilogram dalam masa tiga hari.

“Saya dan keluarga tidak dapat mengesan penyakit itu. Mereka juga membawa saya berubat cara perubatan Islam.

“Selain menjaga solat lima waktu dan membaca al-Quran sepanjang rawatan, saya juga banyak muhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya sebak.

Bercerita lanjut mengenai perubahan imejnya itu, kata Lufya, dia percaya sudah sampai masanya untuk dia berhijrah menjadi Muslimah yang lebih baik di sisi agama.

“Sebenarnya, saya sudah lama memendam hasrat untuk bertudung, tetapi belum kuat untuk melakukan kerana terikat dengan karier lakonan dan nyanyian.

“Namun, ibu sering memberi dorongan mengenai rezeki yang sudah ditetapkan Allah.

“Saya juga berdoa setiap hari untuk menjadi muslimah yang lebih baik. Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati saya untuk bertudung selepas sembuh sepenuhnya. Ibulah yang paling gembira dengan perubahan saya ini,”katanya.

Lufya bagaimanapun enggan mengulas mengenai dia terkena buatan orang atau penyakit misteri.

“Saya minta maaf dan tidak mahu menuduh sesiapa. Saya tidak mahu kenyataan yang diberikan akan mengundang fitnah pula nanti.

“Bagi saya apa yang berlaku adalah ujian Allah untuk menguji keimanan setiap hamba-Nya. Apa yang penting, saya sudah kembali sihat sekarang,” katanya.

Tidak mahu menyanyi lagi

Selepas bertudung, Lufya merancang untuk membataskan watak yang ditawarkan supaya lebih sesuai dengan penampilan barunya sekarang.

“Saya percaya pengarah dan produser faham dengan batas yang ditetapkan apabila mereka menawarkan watak pada pelakon yang sudah bertudung.

“Bukan saja dari segi watak, saya juga pastikan tidak ada babak bersentuhan dengan pelakon lelaki selepas ini,” katanya.

Lufya juga meminta semua pihak menghormati perubahan imejnya ini dan tidak menyebarkan gambar dia tidak bertudung di laman sosial seperti Instagram dan Facebook selepas ini.


“Sesuai dengan imej baru ini, saya juga putuskan untuk tidak meneruskan karier nyanyian lagi. Mungkin saya akan mencipta lagu untuk artis lain pula selepas ini.

“Saya juga akan mempertimbangkan tawaran untuk menjadi pengacara dalam program keagamaan pula nanti,” katanya. ~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top