Dan Calonnya Adalah 2 lakonan Aaron Aziz

Atas sambutan yang memberangsangkan pada musim pertama, siri original popular ‘Dan Calonnya Adalah’ kini kembali pada musim kedua di portal video No. 1 Malaysia, Tonton. Menariknya, drama komedi romantik ini menggandingkan buat julung kalinya aktor dan aktres popular, Aaron Aziz dan Zara Zya.

“Ini kali pertama saya berlakon dengan Zara Zya dan kami tidak ambil banyak masa untuk mendapatkan keserasian. Saya terima tawaran ini kerana ia merupakan tawaran pertama saya untuk drama online. Selain itu, saya juga tertarik dengan skrip serta jalan cerita kerana ia sangat menarik dan seronok,” ujar Aaron Aziz.

Dan Calonnya Adalah 2 lakonan Aaron Aziz

Berkongsi mengenai watak, Aaron memberitahu dia memegang peranan sebagai Aris, seorang lelaki kaya yang kaki perempuan. Aris merancang mahu mengahwini teman wanitanya, Yasmin namun perkara itu tidak dipersetujui oleh ibunya, Datin Zana. Ibunya meletakkan syarat di mana Aris perlu berpacaran dengan 12 wanita lain terlebih dahulu sebelum meneruskan niat untuk memperisterikan Yasmin.

Sepanjang berada di set penggambaran drama 20-episod ini, Tonton Extra dapat melihat kesungguhan Aaron menjayakan wataknya biarpun dalam keadaan leher serta bahunya yang sakit. Malah, menurut kru serta pengarah, Aaron turut melakukan beberapa aksi dalam drama ini sehingga tidak mempedulikan kecederaan yang dialami.

“Itulah masalah saya, terlalu taksub dengan babak sehingga terlupa kecederaan yang saya alami. Selepas membuat babak tersebut, baru saya terasa sakit. Watak Aris adalah watak ‘gila-gila’ di mana lakonan serius tidak banyak sangat. Jadi, saya perlu ada mood untuk membawa watak sebegini. Tidak dinafikan bila kesakitan ini berlaku, ia sedikit sebanyak membuat saya terganggu,” jelas Aaron.

Dalam perkembangan lain, Aaron memberitahu dia bakal menjalani penggambaran filem bersama pengarah Osman Ali pada April depan. Tambahnya, dia mempunyai dua hingga tiga filem lagi selepas ini yang akan melihat dia bertanggungjawab sebagai pelakon serta pengarah. Selain itu, dia masih dalam perancangan untuk terlibat dengan sebuah drama episod terbitan Global Station.

Aaron membawa watak Aris, seorang yang ‘gila-gila’ dalam ‘Dan Calonnya Adalah 2′
Bagi yang ingin melihat gandingan hebat Aaron dan Zara, jangan ketinggalan untuk menonton siri original Tonton, ‘Dan Calonnya Adalah 2’ yang dijadualkan tayangannya bermula 4 Mei depan. Anda hanya perlu mendaftar akaun Tonton secara percuma menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet (peranti Android dan iOS) untuk menonton drama ini pada bila-bila masa dan di mana jua. Ikuti Tonton menerusi Facebook, Twitter dan Instagram (@tontonMY) untuk berita dan perkembangan terkini. ~ Tonton

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top