'Rock Bro!' Kisah 'Rock' Terakhir Mamat Khalid

Sejarah yang mula dicipta pada tahun 2005 bakal merekodkan entri terakhirnya di dalam buku sejarah perfileman tempatan, hampir sedekad selepas ia berjaya memenangi hati pengunjung wayang tempatan. Ketika itu, tidak kurang yang skeptikal dengan konsep yang diketengahkan pengarah bervisi, Mamat Khalid yang juga pengarang filem berkenaan – sebuah komedi muzikal yang cuba merakam sedikit sebanyak sejarah warna-warni muzik dan budaya rock tanahair. Namun karya itu berjaya mengatasi para pengkritiknya sehingga sebuah sekuel, ‘Rock Ooo’ dihasilkan pada tahun 2013.

Idea asal Mamat untuk riwayat kumpulan fiksyen Rimba Bara sejak awali adalah untuk mengabadikannya sebagai sebuah trilogi. Enggan menunggu terlampau lama untuk memberi penutup kata kepada kisah Jijoe, Zack, Slash dan Zul Kapan, kerja-kerja penggambaran sudahpun dimulakan semalam untuk ‘Rock Bro!’ dan dijangka berlanjutan sehingga bulan depan. Lokasi penggambaran mengambil latar Ipoh dan Taiping, Perak selain Kuala Lumpur. Dari segi pemainnya, Mamat berjaya mengumpul line-up asal kecuali Que Haidar yang membawa watak Amy Mat Piah.


“Que tidak ada sebab dia mempunyai komitmen lain tetapi kali ini, kita dapat pula Hasnul Rahmat. Ketika ‘Rock Ooo’ dulu, ramai yang mengeluh bila Hasnul tak ada. Ini adalah kisah ‘Rock’ yang terakhir daripada abang. Ramai lagi pembikin lain yang ingin sambung hal-hal rock kapak dengan jenama ‘Rock’ ini tetapi untuk abang, ini adalah penutupnya.

‘Rock Ooo’ mendapat sambutan sebab ramai merasakan apa yang ditonjolkan itu keadaan sebenar pada waktu itu dan topik itu relevan kepada rakyat Malaysia,” kata Mamat yang turut memberitahu beberapa watak baru akan diperkenalkan seperti Ella dan Jojie.

“Watak mereka akan dihidupkan oleh Jihan (Muse) dan Kaka (Azraff). Saya memilih mereka berdua kerana mereka sememangnya memiliki characteristic keanak-anakkan. Jep Sepahtu pula membawa karektor Cik Not, adik kepada Cik Man (lakonan Kamarool Hj Yusoff).

‘Rock’ ada pengikut setianya dan kali ini kita cuba untuk menarik minat penonton muda dengan harapan dapat memperkenalkan mereka kepada sejarah perkembangan rock tempatan. Memandangkan ini adalah penutupnya, saya perlu memastikan ia dua kali ganda lebih hebat dari sebelumnya. Yang pasti, cabaran buat diri saya adalah untuk menghasilkan sebuah naskah sebagus ‘Rock Ooo’ yang berjaya mendapat pencalonan dalam kategori Lakon Layar Terbaik di Anugerah Skrin 2013.” ~ Tonton

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top