Elfira Loy bertudung di hari jadi

Niat pelakon Elfira Loy menutup aurat sudah lama dipendam sebenarnya. Tetapi kekuatan untuk membulatkan keputusan itu sesekali tenggelam timbul sebelum ini ditambah dengan komitmen seninya.

Bersempena sambutan hari lahirnya yang ke-21 jatuh pada hari ini (8 Mac), hasratnya untuk bertudung itu akhirnya menjadi kenyataan.

Perubahan ini ada kaitan dengan keterangan gambar Instagram yang dimuat naik beliau pada bulan lalu.

Bagaimanapun ketika itu, keterangan gambar berkenaan yang dimuat naik ketika berlangsung Anugerah Meletop ERA (AME) 2015 bertulis "A little fun at #AME2015, chill okay... ini mungkin yang terakhir mengundang pelbagai spekulasi dan andaian sejuta pengikutnya di situ.

Elfira Loy bertudung

Ada yang mengandaikan ayat ... ini mungkin yang terakhir itu sebagai isyarat bahawa si genit berbulu kening tebal itu akan berkahwin dengan jejaka yang digosipkan dengannya iaitu Baim Wong. Malah tak kurang juga yang menganggap Elfira akan bersara dari lakonan.

"Andaian itu semua tak benar. Saya sebenarnya pernah cakap kepada mama bahawa angka 21 tahun ini sebagai ruang terbaik untuk mengotakan apa yang saya pernah hajati ini. Perasaan mahu bertudung itu sudah lama.Tapi bila belum bersedia sepenuhnya, saya belum berani menetapkan hati untuk ini. Jadi 8 Mac (hari ini) saya nekad bertudung sebagai simbolik seperti kelahiran semula.Jika ada anggap angka 21 itu sebagai kunci kebebasan dan bagi saya pula adalah sebaliknya.Ia jadi kunci untuk saya terus memperbaiki dan mengubah diri. Insya-Allah menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya," katanya.

Ketika ini, Elfira belum mahu berfikir apa saja kemungkinan yang bakal terjadi selepas beliau bertudung.

"Saya hanya jalani kehidupan macam biasa. Malah ada juga syarikat produksi yang saya sudah maklumkan mengenai perubahan ini. Jadi tak ada masalah.

"Saya pun kini lebih banyak fokus kepada perniagaan, kerja pengacaraan dan tugasan sebagai penyampai radio ERA FM.

"Saya sejak Januari lalu mengikat kontrak selama enam bulan. Pada masa yang sama ini tahun akhir saya belajar di Kolej Damansara Utama (KDU), Glenmarie Shah Alam dalam jurusan seni hiburan," katanya yang mengacarakan program Mad Markets di TV9.

 ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top