Rosma dan Khai buka kafe CoffeRich Cafe 

Keputusan Khai dan Rosma membuka kafe iaitu CoffeRich Cafe bukan disebabkan kerjaya seni mereka semakin suram.

Khai yang juga suami kepada Rosma memberitahu, sejak dahulu lagi mereka berdua sangat berminat untuk menceburi bidang perniagaan namun hasrat itu terbantut kerana sibuk dengan bidang nyanyian dan baharu kini impian itu terlaksana.

"Sejak keluar daripada Akademi Fantasia lagi kami sudah memasang angan-angan untuk menceburi bidang perniagaan tetapi ketika itu sibuk dengan aktiviti seni membuatkan perancangan itu tergendala.


"Keputusan buka kafe ini kerana minat dan bukannya disebabkan oleh kami sudah tidak popular.

"Kami masih lagi aktif dalam bidang seni dan biarpun tidak tampil dengan produk baharu tetapi undangan nyanyian masih ada seperti dahulu," katanya

Pasangan itu ditemui pada majlis pelancaran kafe berkenaan yang terletak di pusat beli-belah AEON Cheras Selatan di sini pada Ahad.

CoffeRich Cafe beroperasi sejak 15 Januari lalu menjual 26 jenis minuman 'ice blended' selain seleksi makanan seperti nasi lemak, sandwich dan sosej.

Dalam pada itu, Khai berkata, menariknya mengenai minuman kopi yang dijual di kafe tersebut, dia menggunakan sepenuhnya produk keluaran tempatan iaitu Kopie Satu yang dijamin bermutu tinggi dan halal.

"Saya dapat bekalan itu daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan terkejut kerana kualitinya sangat baik setanding dengan jenama antarabangsa dan dijamin halal.

"Alhamdulillah maklum balas daripada pelanggan juga rata-rata menyukai kopi yang kami gunakan," katanya.

Sementara itu, Khai berkata, dia menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan CoffeRich Cafe berbentuk kiosk pada masa hadapan selain turut mengajak peminat atau orang ramai yang berminat untuk membuka perniagaan sepertinya.

"Buat permulaan saya ingin stabilkan kafe pertama kami dan Insya-Allah jika sambutan baik kami memang berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa hadapan.

"Malah kami turut mengalu-alukan usahawan Bumiputera yang ingin melabur membuka cafe seperti ini dan kami akan uruskan operasi kedai berkenaan," ujarnya. ~mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top