Dengan markah undian hanya melayakkannya berada di tempat ketiga, ketika bermulanya tirai akhir Raja Lawak musim lima (RL5), Jumaat lalu, peluang untuk Man atau atau nama sebenarnya Abd Rahman Kassim, 33, untuk menang kelihatan tipis.


Namun, ketentuan Allah mengatasi sangkaan manusia apabila kemenangan berpihak kepada Man yang akhirnya dinobatkan juara RL5 dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Man yang menyambut kemenangan itu dengan linangan air mata, terus kehilangan bicara. Siapapun yang berjaya ke peringkat akhir tentu mengharapkan kemenangan dan ternyata malam itu adalah milik Man.

Kemenangan Man itu sekali gus menewaskan dua lagi 'lawannya' iaitu kumpulan R2 yang dianggotai pasangan adik-beradik, Rahim Mat Ali (Aim), 40, dan Ridhuan Mat Ali (Lopez), 21, dan Balas (Fandi Muhammad, 25 dan Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 24).

R2 dan Balas yang menang tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000. Di samping itu ketiga-tiga pemenang juga mendapat barangan elektrik dan trofi Raja Lawak.

Man yang ditemui selepas tirai RL5 berlabuh berkata, walaupun sudah sah juara malam itu, dia masih tergamam dan terkejut.

"Terima masih kepada semua yang menyokong saya selama 10 minggu berada di gelanggang RL5 terutama keluarga yang memahami minat saya. Sejak RL1, saya mencuba, namun hanya pada tahun ini saya berjaya dan seterusnya bergelar juara.


"Inilah hasil pengorbanan saya yang tidak pernah berputus asa. Kalau buat apapun, saya mesti bersungguh-sungguh. Kemenangan ini adalah satu keajaiban dan amat bermakna sekali.


"Saya bukanlah orang yang luar biasa, tetapi biasa-biasa saja. Saya suka melawak dengan kawan-kawan," katanya.

Man yang berkerja dengan Pos Malaysia berharap majikannya itu dengan Astro boleh berbincang dengan baik demi masa depannya dalam bidang seni.

"Berilah saya peluang untuk mengembangkan bakat kerana tidak mahu ia terkubur begitu saja. Saya berjanji melakukannya dengan sebaik mungkin," katanya.

Mengeluarkan pendapat mengenai kumpulan Balas dan R2, katanya, sama ada menang di tempat pertama, kedua atau ketiga, apabila layak masuk ke peringkat akhir, mereka semua adalah pemenang. Nombor itu hanya angka. Pun begitu, menang tempat pertama adalah bonus.

"Saya akan menggunakan wang kemenangan ini untuk menyelesaikan hutang dan menabung untuk masa depan keluarga," katanya yang mendapat sokongan padu majikannya.

Pos Malaysia mengirim e-mel kepada semua kakitangannya di seluruh negara untuk menyokong Man.

Menceritakan perasaannya apabila pada awal pembukaan RL5, undiannya paling rendah, kata Man, dia hanya tumpukan pada persembahannya dan bukan undian yang dia dapat.

"Saya akan terus buat yang terbaik dan soal undian terpulang kepada rakyat Malaysia. Apabila juri memberikan komen yang memberangsangkan, ia terus menyuntik semangat saya," katanya.

Pada segmen pertama gaya bebas, Man membawa cerita kongsi gelap dan segmen muzikal komedi pula dia berpidato dengan kisah Mat Rempit.

Persembahan Man pada segmen pertama agak longgar, namun untuk segmen kedua, Man berjaya membawanya dengan baik sehingga mendapat 'standing ovation' dariPADA juri tetap program itu, Afdlin Shauki, Saathiya dan David Teo.

Kata Afdlin, orang susah hendak buat muzikal komedi. Bahkan pelawak profesional pun payah untuk melakukannya, tetapi Man sudah buat yang terbaik.

"Mesej Man sangat jelas dan sampai kepada penonton. Inilah kali pertama saya melihat muzikal komedi yang paling baik," katanya.

Aim dari R2 berkata, dia juga sama seperti Man menghadiri uji bakat RL, sejak musim pertama lagi, namun rezekinya untuk menjadi peserta program itu hanya datang tahun ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top