Muzik besi Sweet Charity-Blues Gang
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
|
RAMLI SARIP namanya terus harum di hati peminat. |
SEBUT sahaja Sweet Charity dan Blues Gang pasti ramai di kalangan kita yang mengenali dua kumpulan otai yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air.
Biarpun membawa aliran muzik berlainan genre (Sweet Charity dengan irama rock manakala Blues Gang dengan lagu-lagu blues), mereka berkongsi matlamat.
Tanyalah kepada Ramli Sarip atau Ito, matlamat mereka ialah memberi hiburan berisi, bukan kosong kerana cara itu sahaja mereka dapat mendekatkan diri dengan peminat.
Sebenarnya, kedua-dua kumpulan itu pernah bernaung di bawah satu syarikat rakaman, Brothers.
Hari ini, masing-masing membawa haluan sendiri tetapi yang sinonim antara mereka ialah Ramli dan Ito masih mampu menggamit peminat menerusi lagu-lagu malar hijau dendangan mereka.
Sweet Charity dan Blues Gang, masing-masing pernah menghasilkan lapan album. Kekuatan dan pengaruh mereka juga masih tebal dalam kotak memori peminat setia dua kumpulan itu.
Jika Sweet Charity kekal popular menerusi lagu Jangan Tunggu Lama-Lama, Teratai dan Kamelia, Blues Gang pula terkenal dan tetap segar menerusi lagu Apo Nak Di Kato dan Oh Mama Saya Mahu Kahwin.
Sebagai dua kumpulan yang berbeza, Sweet Charity dan Blues Gang yang merupakan artis seangkatan tetapi berlainan genre muzik itu sebenarnya bertapak selama 40 tahun dalam industri muzik Malaysia.
Puluhan lagu Sweet Charity dan Blues Gang selama empat dekad yang telah dihasilkan, tetap menjadi siulan peminat mereka dari dahulu sehingga sekarang.
Bahkan kehebatan dua kumpulan ini mampu menambah bilangan peminat yang terdiri dari generasi muda hari ini, dikagumi dan dihormati oleh rakan artis lain.
Bukan mudah bagi anak seni ini merentas zaman mereka dan seterusnya muncul menjadi ikutan generasi baru.
Keutuhan Sweet Charity dan Blues Gang selama berpuluh tahun membuktikan bahawa aura mereka tidak pernah hilang ditelan zaman.
Bait-bait lirik lagu-lagu lontaran Ramli dan Ito tetap menusuk kalbu kerana di sebalik kekuatan vokal dua insan seni terbilang ini, terselit mesej dalam lagu-lagu nyanyian mereka.
Tidak kiralah mesej yang terselit itu berkaitan dengan putus cinta, pujaan dan pujian terhadap makhluk ciptaan Tuhan (wanita) atau pun berunsurkan ketuhanan (memuji pencipta hambaNYA).
Ketika dilontarkan kepada Ramli dan Ito, apakah rasa hati mereka hari ini kerana masih ada ramai peminat?
Begini bunyi jawapan yang diberikan untuk dikongsi bersama pembaca setia Mega minggu ini:
"Alhamdulilah, ini semua adalah berkat doa para peminat yang sentiasa menyokong kami dari dahulu sampai sekarang.
"Andai mereka tiada (peminat), tidak mungkin Sweet Charity masih diingati sampai ke hari ini. Biarpun saya telah bergerak solo, namun peminat masih tetap mengingati Sweet Charity yang ditubuhkan 40 tahun lalu," jelas Ramli Sarip kepada Mega ketika ditemui, baru-baru ini.
Kata-kata luhur yang diluahkan oleh penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock itu disambut oleh Ito Blues Gang yang sependapat dengannya.
Tambah Ito, bukan mudah bagi seseorang penyanyi itu untuk bertahan jika tidak disokong oleh para peminat.
Baginya, kehadiran peminat banyak membantu dalam melalui liku-liku kehidupan sebagai anak seni.
"Jika tidak ada peminat, tiadalah kami di sini. Apa yang kami sampaikan adalah untuk peminat yang tidak jemu-jemu dengan kehadiran dan nyanyian kami.
"Insya-Allah, selagi ada sokongan peminat, selagi itulah kami akan terus berada di landasan seni tanah air," ujar Ito.
0 ulasan:
Catat Ulasan