Mahu anak lima orang

hi 01.1

SARI YANTI mengaku tidak mengamalkan konsep perancangan keluarga.


BARU sahaja mendapat bentuk asal tubuh selepas tujuh bulan melahirkan Barr Al Aliy Eddy Casmady, 10 bulan, Sari Yanti, 27, disahkan mengandung anak kedua pula.

Pemilik nama sebenar Sari Yanti Mohamad Nazari itu bagaimanapun tidak terkejut dengan berita tersebut, malah menerimanya dengan limpahan kesyukuran.

"Saya memang tidak merancang dan tidak kisah mengandung pada bila-bila masa. Selagi masih muda saya mahukan anak seramai mungkin," katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama terbaharu terbitan Astro, Suria Di Cordoba, di Alexis Ampang, Kuala Lumpur.

Katanya yang membawakan watak Suria di dalam drama tersebut, apa yang penting dia kena mendapatkan dahulu bentuk badan asal sebelum mengandung anak yang seterusnya.

Sari yang menginginkan anak sehingga lima orang itu memberitahu, jika tidak dapat bentuk asal badan dan seterusnya mengandung, sukar untuk seseorang wanita itu memperoleh bentuk badan yang ideal selepas melahirkan anak nanti.

"Semasa mengandungkan Barr, berat badan saya naik mendadak sehingga 25 kilogram dan selepas bersalin saya kena ambil masa selama tujuh bulan untuk kembalikan bentuk badan saya," katanya yang mengamalkan pantang secara tradisional.

Kandungan Sari yang kini masuk empat bulan itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang masalah.

Berbeza dengan keadaannya sewaktu mengandungkan anak pertama, Sari menerima alahan yang teruk.

"Masa mengandungkan Barr saya alah sampai lima bulan. Makan sahaja muntah sehinggakan dalam sehari saya muntah sebanyak empat kali. Tawaran berlakon yang datang pada masa itu juga terpaksa ditolak.

"Berbeza dengan kandungan kedua ini. Saya cuma alah pada waktu pagi sahaja," katanya yang rancak menerima tawaran berlakon termasuk drama yang menjalani penggambaran di Sepanyol itu.

Rezeki anak kedua

Bagi pelakon bermata cantik ini, tawaran lakonan yang datang mencurah-curah ketika dia mengandungkan anak kedua ini adalah rezeki. Bagaimanapun, pelakon yang terkenal dengan drama Kisah Kaisara itu mempunyai pendirian untuk tidak berlakon di luar negeri apatah lagi di luar negara.

Katanya, dia enggan berlakon drama yang melibatkan penggambaran luar daripada Kuala Lumpur disebabkan tidak sanggup berpisah dengan Barr.

Atas sebab itu, Sari pada mulanya menolak tawaran drama Suria Di Cordoba di Madrid, Sepanyol itu biarpun memegang peranan utama.

Namun, selepas mendengar kata-kata nasihat daripada ibunya dan mendapat keizinan daripada suami, Sari menerimanya.

Sari juga memberitahu, tawaran drama daripada syarikat produksi milik Datin Zaiton Mohd. Jiwa itu begitu besar dan cabaran untuk membawakan watak Suria .

hi 01.2

SARI YANTI mengaku rezeki lakonannya bertambah selepas mempunyai anak.


Bercerita tentang cabaran sepanjang menjalani penggambaran di negara orang, Sari memberitahu, ketika itu kandungannya baru sahaja berusia sebulan dan dia sukar untuk mencari makanan halal dan sesuai di sana.

Malah, katanya, cuaca di sana juga sejuk sehingga mencecah sembilan darjah selsius.

"Ketika menjalani penggambaran sepuluh hari di sana saya masak bubur serunding untuk mengisi perut. Memang susah hendak cari makanan halal di sana. Saya juga tidak sangka cuaca begitu sejuk sedangkan saya tidak membawa kasut yang bertutup. Jadi, terpaksa beli kasut bertutup di sana," katanya yang menceritakan pengalamannya semasa menjalani penggambaran di luar negara.

Sari juga turut menjalani penggambaran untuk drama lain di bawah produksi yang sama semasa di Madrid, Sepanyol berjudul Cinta Dari Madrid.

Cinta Dari Madrid masih mengekalkan pelakon yang sama seperti dalam drama Suria Di Cordoba iaitu Adi Putra dan Fahrin Ahmad.

Sari juga tidak menolak jika selepas ini dia mendapat tawaran melakonkan watak perempuan mengandung pula.

Pembantu rumah

Selama beberapa bulan lebih tidak berlakon, Barr dijaga sepenuhnya oleh Sari tanpa bantuan pembantu rumah. Bagi anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sanggup menolak tawaran drama dan filem yang datang demi membesarkan anak dan keluarga.

"Memang saya tidak suka ambil pembantu rumah. Bagi saya, biarlah anak dijaga sendiri oleh saya. Keluarga menjadi keutamaan. Biar tidak berlakon asalkan keluarga dijaga dengan sempurna," katanya yang akan menerima tawaran mengikut kesesuaian masa dan jalan cerita.

Bagaimanapun, akhirnya Sari terpaksa mengambil pembantu rumah disebabkan ibunya. "Saya terpaksa ambil pembantu rumah sebab sudah mula berlakon dan emak pun kurang sihat untuk menjaga Barr.

"Namun, saya akan pastikan Barr tetap diuruskan oleh saya manakala pembantu rumah hanya melakukan kerja-kerja rumah sahaja," katanya yang tidak kisah jantina bayi dan tidak sabar menunggu kelahiran anak keduanya yang dapat memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sari yang sudah mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu turut bersyukur kerana suaminya, Eddy Casmady sangat memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top