Selepas sembilan minggu beraksi, akhirnya Kumpulan Balas kecundang selepas diumumkan tersingkir oleh juri tetap Ahmad Idham pada minggu kesembilan program tersebut, Jumaat.

Kumpulan yang terdiri daripada Fandi Muhammad,25, dan Mohd Shukri Mohd Sahar, 24, terpaksa akur dengan keputusan tersebut kerana mengakui persembahan pada malam itu tidak sehebat peserta-peserta lain.


"Kami agak kesal apabila disingkir dengan meninggalkan persembahan akhir yang teruk dan bukannya persembahan yang terbaik.

"Ini semua kerana kekurangan latihan yang secukupnya memandangkan kami kini sibuk dengan beberapa lakonan dan kami tahu di peringkat sebegini, jika persembahan tidak bagus, secara automatik pasti kita ajan disingkir terus," kata Fandi yang ditemui selesai pertandingan tersebut di Studio Finas, Ulu Kelang.

Tambah Shukri pula, dia bersama Fandi kini menjadi artis residen Metrowealth (MIG) dan berharap agar kumpulan balas dapat kekal hingga akhir hayat.

Balas mendapat markah terendah iaitu sebanyak 35 peratus (%). Kumpulan jambu pula meraih tempat pertama dengan mengumpul markah sebanyak 56% diikuti dengan Jozan (53%), Nabil (50%) Sepah (49%) dan R2 (40%).

Pada malam pertandingan tersebut, peserta dikehendaki membuat persembahan bersama pelawak profesional undangan seperti Sathia yang bergandingan dengan R2, Bell Ngasri (Balas), AR Badul (Sepah), Sharifah Shahira (Nabil), Kenchana Devi (Jozan) dan Acong (Jambu).

Selepas tamatnya acara penyingkiran, pengacaranya, AC Mizal membuat pengumuman khas di mana persembahan peringkat akhir tidak akan berlangsung pada minggu hadapan dan akan ditangguhkan selama tiga minggu.

Justeru itu, pada minggu hadapan, persembahan Maharaja Lawak akan berlangsung di Penang International Sports Arena, Pulau Pinang diikuti dengan minggu seterusnya (10 Jun 2011) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan dan pada 17 Jun depan pula akan berlangsung di Dewan Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor.

Menurut pengurus Astro Prima, Nizam Sani, penangguhan selama tiga minggu itu diputuskan kerana ingin membuat acara siaran langsung di luar Kuala Lumpur.

"Sebenarnya ia telah dirancang lebih awal dan hal ini disebabkan untuk memberi peluang kepada pelanggan Astro Warna di luar bandar turut merasai kehangatan ketika berada di tempat rakaman secara langsung.

"Sebab itu kami pilih tiga lokasi ini dimana ia dapat memuatkan lebih daripada 2500 orang penonton.

"Pada hari pertandingan tersebut, beberapa acara karnival turut diadakan di sebelah petang," katanya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top