Kieran berkongsi minat dengan anak
|
CUCI… Kieran luangkan masa mencuci kereta Mitsubitshi AirTract kesayangannya bersama putera sulungnya, Adam. |
MELAYAN kerenah dan telatah Mohammad Adam, 2, dan Mohammad Iman, enam bulan, hati Kieran rasa terhibur selepas seharian berkurung dalam konti.
Baginya, kehadiran dua anaknya itu membuatkan alam rumah tangga yang dibina bersama Yang Azlinyang Mohd. Yunus selama tiga tahun, menjadi lebih bermakna.
“Walaupun penat, apabila melihat telatah anak-anak, semua itu terus hilang dan seketika, saya terlupa rasa penat bekerja,” ujar Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran ketika S3 berkunjung ke rumahnya di Klang, Selangor.
Jelas Kieran, sebagai seorang ayah, dia tidak mahu terlepas detik melihat anak-anaknya membesar.
Justeru, kata anak campuran Pakistan dan Jawa ini, dia akan memastikan anak sulungnya berkongsi minat yang sama dengannya.
“Adam walau pun baru berumur dua tahun, dia sudah menunjukkan ciri-ciri seorang pemain bola sepak.
“Memang itu adalah minat saya dan saya gembira kerana dia mengikut jejak langkah saya. Harapan saya, apabila dia dewasa kelak, minat itu akan menjadi kerjaya baginya,” luah Kieran.
Kata Kieran lagi, setiap kali dia membawa anak-anaknya bersiar-siar, Adam akan merengek jika tidak dibelikan bola.
“Pantang nampak bola, mesti dia nak saya beli. Kalau ikutkan kehendak dia, mahu satu rumah ini penuh dengan bola.
“Kalau Adam menyepak bola dalam rumah, mak dia akan bising kerana takut pecah barang-barang dalam rumah.
“Jadi, kami tak boleh leka. Pernah sekali bola yang dia sepak, terkena kipas syiling dan melantun ke dinding. Mujur tak ada barang kaca yang pecah,” cerita Kieran sambil ketawa.
Kieran akui, dia berangan-angan untuk menghantar anaknya itu ke akademi bola sepak.
“Apa yang saya hajatkan ini tidak akan menjadi satu paksaan. Manalah tahu, apabila Adam dewasa minatnya berubah.
“Tetapi sekarang ini, saya tengok Adam agak cenderung kepada bola sepak dan itu menaikkan lagi semangat saya untuk mendedahkan dia dengan dunia bola sepak.
“Mungkin selepas ini kami sama-sama boleh duduk menyokong Manchester United (MU),” kata penyokong tegar MU itu.
Walau pun manja dengannya, Kieran cuba menerapkan disiplin dalam diri anak-anaknya. Oleh itu, dia tidak sekali-kali memanjakan anak-anak secara berlebihan.
Baginya, manja itu ada hadnya dan sekiranya anaknya melakukan kesilapan pasti rotan menjadi habuan mereka.
“Saya tidak mahu mengajar anak menjadi manja keterlaluan. Kalau mereka salah, rotan tetap rotan sebagai pengajaran agar mereka tidak mengulangi kesilapan.
“Bukan untuk mendera tetapi sekadar mendisiplinkan mereka. Umpama pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Esok, andai kata anak sudah meningkat remaja, lagi susah untuk kita membentuk keperibadian mereka,” kata Kieran.
0 ulasan:
Catat Ulasan