KMJ menguji ‘cinta’ Dafi dan Ana

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR & SYADILA AMARI (Pelatih Politeknik Johor Bahru)


hi 02.1

Rey memujuk Rose yang sedang merajuk.



SELAMA ini Dafi dan Ana Raffali sering beraksi di pentas untuk menghiburkan para peminat dengan lagu-lagu mereka.

Bagaimanapun kali ini kedua-dua penyanyi muda itu, menampilkan sisi seni mereka yang berbeza iaitu beraksi di pentas sebagai pelakon menerusi teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa…60an (KMJ).

Ternyata Dafi dan Ana mempunyai bakat yang boleh diperkembangkan untuk dijadikan barisan pelakon pelapis walaupun tumpuan utama mereka adalah nyanyian.

Dafi yang pernah muncul dalam drama Hotel Mania dan Kau Dan Aku, berjaya menjiwai watak sebagai Rahman atau Rey, tahun 60-an yang menjalin hubungan dengan Rosnani atau Rose, lakonan Ana Raffali.

Menurut Dafi, beliau berpuas hati dengan persembahannya (malam prebiu) dan berharap mampu memberi komitmen yang sama sehingga selesai persembahan.

“Secara peribadi saya gembira kerana dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk tontonan semua. KMJ merupakan teater pertama lakonan saya dan berharap mendapat sokongan daripada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar malam prebiu untuk wartawan, Rabu lalu.

Sementara itu, Ana yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku dilihat begitu menjiwai watak Rose untuk era 60-an.

Sifat gedik yang ditonjolkan Ana menerusi watak Rose begitu menyerlah dan ia amat menghiburkan tatkala Rose berinteraksi dengan kumpulan pelajar nakal yang diketuai oleh Munir lakonan Arja Lee.

“Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan ketika ini. Bagi saya ini adalah satu pengalaman indah kerana berpeluang melakukan sesuatu yang baru.

“Sepanjang bersama produksi teater ini saya banyak belajar daripada pengarah dan barisan pelakon lain. Teater ini juga mengajar saya dunia lakonan dan tarian,” katanya.

Selain itu, pujian juga perlu diberi kepada Arja yang membawa watak Munir setelah Gambit Saifullah digugurkan daripada produksi yang diterbitkan oleh Belbis Sdn. Bhd.

Gelagat Munir bersama rakan-rakannya,Sham( Zulfahmi Marzuki), Joe (Azrul Raja Lawak), Bob (Jamal Mohamad Equash ) dan Tahir (Ahmad Rafiandi Awang ) yang berlagak sebagai samseng kolej amat melucukan.

Munir yang suka mengusik Rose itu hanya berani dengan wanita tapi bila bersemuka dengan pelajar lelaki, dia akan mengarahkan Joe untuk ke depan.

Kumpulan Munir sering bertelagah dengan kumpulan Murni yang diketuai oleh Nani, lakonan Baby Erin. Lain-lain anggota kumpulan Murni adalah June (Norhana Othman), Rogayah (Siti Nor Khatijah ), Ita (Nur Arina) dan Induk (Molly).

Teater KMJ, arahan dan skrip oleh Lokman Ghani itu yang dipentaskan bermula 27 Mei hingga 5 Jun ini, bukan sekadar menonjolkan jalan cerita cinta terhalang antara Rey dan Rose, tapi turut mengetengahkan barisan lagu popular 60-an.

Lagu-lagu itu disampaikan oleh penyanyi asal iaitu Datuk Ahmad Jais (Bunga Ku Puja Dipetik Orang), A.Halim (Kisah Dan Tauladan), A. Rahman Onn (Cincin Emas), L.Ramli (Dara Pujaan), Fatimah M.Amin (Oh Teruna), J.Sham (Surat Untuk Mu), Hussein Ismail (Poniah) dan A.Rozainie (Kenangan Mengusik Jiwa).

Kata Lokman, lagu-lagu tersebut merupakan kesinambungan jalan cerita bagi menggambarkan senario pemegang watak ketika itu.

“KMJ digarap berdasarkan jalan cerita dan lagu-lagu yang diperdengar merupakan elemen untuk melengkapkan penceritaan. Tidak seperti teater Suzanna@60 yang saya arah pada 2006, di mana lagu-lagu merupakan tunjang cerita.

“Melihat pada komitmen pelakon, saya berpuas hati kerana setiap daripada mereka menghayati watak yang diberi. Kami akan pastikan sepanjang persembahan, penonton tidak akan merasa bosan sebaliknya terhibur dengan setiap gerak tari dan lagu yang dipersembah,” katanya.

Kombinasi pelakon baru dan lama yang dibuat oleh Lokman amat menarik kerana setiap daripada mereka mempunyai pengikut tersendiri dan sekali gus mampu mengumpul penonton daripada golongan muda dan tua.

Selain itu, kemunculan Latif Ibrahim yang melakonkan watak Rey masa kini yang mendendangkan lagu Kalau Berpacaran sebagai pembuka tirai pementasan sungguh menarik.

Tanpa penyanyi asal, Sohaimi Mior Hassan, Latif berjaya mendendangkan lagu tersebut dengan gaya tersendiri dan tidak mengecewakan para penonton.

Lain-lain pelakon yang menjayakan KMJ adalah Saida AF (Rose), Halil Chik (Azizan-2011), Liza Abdullah (Cik Puan Latifah), Radhi Khalid (Prof. Samad), Iqbal Mazlan (Azizan-60-an), Kenji Sawahi (Ah Kow), Jeganathan (Sammy), Saiful Azmi Jamsari (Rudy) dan A. Efendy Zasdar (Pak Mat).






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top