Yoo Ah In kunci kisah peribadi
SEJAK di bangku sekolah lagi, aktor Yoo Ah In menyedari dia ditakdirkan untuk menjadi seorang aktor. Perjalanan kariernya bermula apabila dia terpilih selepas menjalani uji bakat yang diadakan di pintu pagar sekolah tingginya ketika itu.
Waktu itu Ah In yang merupakan pelajar di sebuah sekolah seni baru mencecah angka 18 tahun. Meskipun masih muda, Ah In yakin dengan jalan yang dipilihnya.
Demi kerjaya lakonannya, Ah In meninggalkan kampung halamannya Daegu dan menetap di Seoul.
"Sebagai remaja terlalu banyak perkara yang ingin saya teroka terutama minat saya terhadap dunia lakonan. Waktu itu saya fikir sistem persekolahan tidak sesuai dengan saya dan lebih baik saya berlakon kerana melalui lakonan saya boleh tunjukkan apa yang ada dalam diri saya," katanya.
Perkara pertama yang berubah apabila dia bergelar aktor adalah namanya. Nama sebenarnya adalah Uhm Hong Shik, bagaimanapun nama itu ditukar kepada Yoo Ah In oleh pihak pengurusannya ketika itu kerana nama itu lebih sedap didengar dan disebut.
"Ketika itu saya masih muda, bila pihak pengurusan menukar nama, saya ikut sahaja. Sebenarnya tidak ada sebab yang kukuh untuk menukar nama, kata mereka, nama baru saya lebih sedap.
"Tetapi saya rasa ramai peminat saya yang memanggil saya dengan nama Hong Shik, saya tidak kisah mereka nak panggil saya dengan nama apa pun," katanya yang menghabiskan usia remajanya dengan berlakon drama dan filem daripada belajar di sekolah.
Ah In menjangkakan yang dia akan seronok dengan kehidupan barunya, namun, akuinya dia kadangkala menangis apabila terlihat sekumpulan pelajar memakai uniform sekolah.
Disebabkan pengalaman itu, Ah In berazam untuk menjalani kehidupan mengikut kehendaknya. Ujarnya: "Saya mahu hidup tanpa penyesalan."
Sama seperti artis yang lain, dia pada mulanya gembira apabila namanya disorak oleh peminat, namun lama kelamaan, perangainya itu berubah sehingga dia sendiri tidak tahu apa yang dia inginkan sebenarnya.
"Saya tidak suka orang kenal saya sehingga saya pernah terfikir untuk berhenti daripada lakonan. Selepas berfikir saya sedar saya sendiri yang mengambil keputusan untuk menjadi pelakon.
"Sebagai pelakon yang muda, saya tahu yang saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling," balasnya.
WATAK Geol-Oh telah mempopularkan dirinya.
Walaupun sudah lapan tahun berada dalam industri seni, Ah In seorang aktor yang enggan kehidupannya dikawal oleh dunia glamor.
Akuinya lagi, dia didesak untuk menjadi lebih matang daripada usia kerana kerjayanya. Malahan, dia juga tidak ragu-ragu untuk menunjukkan emosinya jika dia tidak selesa dalam satu-satu keadaan.
"Saya tidak kisah orang fikir apa tentang saya kerana saya seorang yang bebas meluahkan apa yang saya rasakan. Memang saya tegas dan agak panas baran dalam membuat sesuatu keputusan kerana saya tahu apa yang saya mahukan. Impian saya adalah untuk menjadi seorang aktor yang bagus bukannya selebriti," tuturnya.
Jatuh hati
Justeru, tidak hairanlah sebelum namanya popular menerusi drama Sungkyunkwan Scandal kerana membawa watak Moon Jae Shin atau Geol-Oh iaitu nama panggilannya dalam drama itu, jarang-jarang berita tentangnya muncul di majalah atau akhbar.
Jika ada pun, pastinya ia berkisar mengenai drama mahu pun filem terbarunya. Tetapi selepas drama Sungkyunkwan Scandal ditayangkan di Korea dan Asia pada tahun lalu, peminat drama terutamanya wanita mula jatuh hati dengan watak Geol-Oh.
Watak lakonannnya merupakan seorang pelajar universiti di zaman dinasti Joseon yang tidak suka mengikut peraturan, mahir dengan seni mempertahankan diri serta sering mendedahkan badannya antara faktor yang menyumbang kepada popularitinya.
"Semasa menjalani penggambaran, saya tahu yang watak Geol-Oh akan berjaya. Saya diminta untuk mendedahkan sedikit badan walaupun saya tidak memiliki badan sasa.
"Jadi saya bersedia dengan melakukan sedikit senaman. Geol-Oh pula sering melindungi wanita yang dicintai dalam diam menyebabkan ramai wanita suka dengan watak ini," beritahunya yang merupakan graduan Universiti Konkuk, Seoul dalam jurusan filem.
Sambung anak bongsu daripada tiga beradik ini lagi, walaupun namanya semakin popular, dia masih merasakan dia merupakan Ah In lapan tahun dahulu.
"Tiada apa yang berubah, saya masih orang yang sama dan lakonan merupakan karier saya. Hanya umur saya yang meningkat.
"Bila lihat balik lakonan saya ketika kecil, saya tersenyum sendirian dan rasakan yang diri saya comel juga," ucapnya dalam tawa.
0 ulasan:
Catat Ulasan