Maharaja Lawak riuh-rendah

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my


LAWAK. Kumpulan Jambu semakin mendapat perhatian peminat.



WALAUPUN dibarisi nama-nama besar dalam industri tanah air namun ia belum cukup kuat buat kesemua peserta-peserta Maharaja Lawak bergelar Maharaja apabila setiap peserta seperti ketandusan idea bagi mempersembahkan sesuatu pada minggu kelapan yang lalu.

Jika sebelum ini mereka perlu beraksi mengikut tema yang ditetapkan oleh juri namun apabila diberi kebebasan memilih pengisian persembahan buat diri sendiri membuatkan mereka hilang kebijaksanaan bagi menyampaikan sesuatu yang segar dan baru.

Membuka gelanggang pada malam itu ialah Nabil yang tampil bersahaja dengan menjadikan perkataan-perkataan popular masa kini seperti OMG dan Whatever lengkap dengan slanga Inggeris berbunyi Melayu sebagai pusat jenakanya.

Penonton masih mampu untuk ketawa dengan usaha Nabil dan ia turut dipuji oleh Mamat Khalid yang meletakkan persembahan Nabil sebagai satu persembahan yang mempunyai kelas tersendiri.

Suasana dewan bertukar riuh rendah apabila pendahulu undian, Jambu mengambil tempat di pentas. Kolaborasi Yus dan Taukeh sememangnya tidak pernah menghampakan penonton dan peminat-peminat mereka.

Sketsa robot mereka mencuit hati ramai orang dan turut diakui oleh Ahmad Idham yang menyanjungi konsistensi Jambu serta berharap gandingan ideal itu terus mengekalkan momentum sebegitu sehingga peringkat akhir.

Kumpulan R2 yang pernah tersingkir daripada pertandingan itu pada minggu ketiga kembali menghangatkan pentas Maharaja Lawak apabila menerima undian masuk tertinggi daripada orang ramai menerusi laman sesawang Facebook.

Pasangan popular, Jozan berterusan membuatkan penonton pecah perut dengan lakonan sebagai doktor dan pesakit.

"Kekuatan Jozan ialah pada ekspresi wajah mereka dan tenaga yang dimiliki mereka ketika berada di atas pentas tetapi secara keseluruhan saya agak kabur dengan kandungan persembahan mereka malam ini," ulas Ahmad Idham yang bertindak sebagai juri tetap rancangan tersebut.

Juara Raja Lawak 5, Man kelihatan tidak bersemangat ketika melakukan persembahannya seperti mengetahui itu akan menjadi persembahan terakhirnya di pentas Maharaja Lawak.

Keputusan yang diumumkan di akhir rancangan seperti sudah dijangka apabila Man secara rasmi menamatkan perjuangannya dalam pertandingan itu apabila sekadar mencatatkan 29 markah.

Satu-satunya peserta yang berjaya mencuri tumpuan sepenuhnya orang ramai malam itu ialah kumpulan Sepah. Kerjasama Mamat, Shuib dan Jep sememangnya menjadi dan kebolehan mereka membuatkan penonton ketawa hingga berair mata tidak boleh disangkal lagi.

"Ini merupakan lawak Melayu yang paling Melayu pernah saya tengok dan Sepah kamu semua telah berjaya meninggalkan kesan kepada semua penonton dan yang penting kami semua terhibur," lancar sahaja komen Saiful Apek kepada peserta yang mendiami tangga kedua itu di belakang Jozan dan Jambu yang berkongsi kedudukan pertama.

Pentas malam itu diakhiri dengan persembahan kumpulan Balas yang dianggotai Fendi dan Shuk. Persembahan 'budak sekolah' mereka dikategorikan sebagai lawak biasa oleh Mamat Khalid namun tidak menolak usaha berani mereka yang menitipkan mesej buat orang dewasa dalam jenaka mereka.

Secara keseluruhan, Ahmad Idham memberitahu bahawa rata-rata persembahan pada malam itu tidak memuaskan hati juri-juri kerana ia tidak meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya mereka berada.

Bagi mengembalikan semangat mereka, setiap peserta bakal bergabung dengan pelawak-pelawak 'otai' tanah air pada minggu kesembilan nanti.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top