Semua sudah tahu Iqa, Shiha dan Salma bakal berentap untuk merebut gelaran juara Mentor musim ke lima (M5), Ahad ini di Stadium Malawati, Shah Alam yang akan disiarkan secara langsung di TV3 mulai pukul 9 malam.

Iqa

TV3 ada alasan tersendiri memasukkan Salma, protege Erra Fazira ke peringkat akhir bersama Iqa dan Shiha yang diumumkan pada pertandingan separuh akhir kedua minggu lalu, walaupun ia menimbulkan cakap-cakap dan rasa tidak puas hati.

Penerbit Eksekutif dan Pengarah M5, Muhamad Sufian Isa berkata, kemasukan Salma berdasarkan banyak faktor termasuk menilai corak persembahannya sepanjang minggu dan beberapa perbincangan lain.

“Sejak awal memang telah ditetapkan dua peserta akan ke peringkat akhir berdasarkan markah tertinggi yang dikumpul. Bagaimanapun, bukan menjadi satu kesalahan kalau ada tiga peserta akhir,” kata Sufian.

Salma atau nama penuhnya, Salma A. Asis, 21, dikatakan dipilih masuk bukan atas dasar kasihan atau sekadar memenuhi kuota tetapi kemampuan yang ditonjol. Selain itu kehadirannya dilihat dapat memberi saingan sengit kepada Iqa dan Shiha.

Tidak dinafikan persembahan Shiha, protege Datuk Sharifah Aini memang konsisten setiap minggu sejak M5 dimulakan Mac lalu. Namun, kehadiran Salma tidak boleh dipandang remeh.

Dengan kehadiran Salma, ia bukan sahaja menjadikan pertandingansengit tiga penjuru, malah dikatakan mampu menggugat peluang Iqa walaupun persembahannya minggu lalu mengatasi Shiha yang pernah disebut-sebut akan bergelar juara.

“Saya perlu meningkatkan usaha kerana saingan saya bukan seorang tetapi dua. Untuk pertandingan akhir ini, kami perlu mencari sesuatu yang baru,” kata Shiha.

Memang sesuatu di luar jangkaan apabila protege Edry Abd. Halim mengatasi Shiha dan Salma pada pertandingan separuh akhir kedua, namun Iqa telah membuktikan kebolehannya tidak boleh dipandang rendah.

Bak kata Edry, Iqa ada peningkatan setiap minggu. Jika Iqa mampu mengekalkan prestasinya pada peringkat akhir, tidak mustahil gelaran juara menjadi miliknya.

“Pertandingan ini seperti marathon. Pada peringkat awal, mungkin kita perlahan dan kita akan melipat ganda di penghujung garisan. Itulah yang akan kami lakukan.

“Selagi Iqa boleh menyanyi dengan penuh jiwa, saya yakin dia mampu mendapat kedudukan yang terbaik. Apa-apa pun kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” kata Edry.

Salma ketika separuh akhir kedua minggu lalu telah melakukan kesilapan besar apabila salah masuk key ketika mendendangkan lagu Nirmala dan Mimpi Laila.

Menurut juri tetap M5, Datuk Ramli M.S, kesalahan Salma itu tidak boleh dimaafkan kerana sudah berminggu peserta itu membuat persembahan.

“Jika peserta terus melakukan kesalahan yang sama terutama asas menyanyi, sudah pasti mereka tidak akan berjaya.

“Saya juga ingin nasihatkan pada mentor jangan cuba buat eksperimen kerana ini bukan masanya. Pilihlah lagu yang sesuai dengan genre protege,” katanya.

Kini hanya tinggal dua hari sahaja lagi bagi Iqa, Shiha dan Salma mempertingkatkan kemampuan daripada segi vokal dan mental untuk meraih gelaran juara kerana masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Pada pertandingan akhir, setiap protege akan mendendangkan tiga lagu iaitu solo, berduet dengan mentor dan sebuah lagu baru.

Seperti biasa format permarkahan dibagi kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian sistem pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus daripada juri awam.

Juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Chevrolet Cruze tajaan Chevrolet.

Mentor setiap protege juga layak menerima hadiah wang tunai RM100,000 jika anak didik mereka berjaya menjadi juara.

Sementara itu, tempat kedua akan mendapat wang tunai RM30,000 untuk mentor dan protege serta sebuah Vespa LX150 tajaan Naza World untuk protege.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top