Afif & Aida jaga stamina

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


hi 02.1

AIDA dan Afif meluangkan masa bersama berjoging di Taman Tasik Bandar Seri Permaisuri, Cheras untuk menjaga stamina.



TATKALA bertemu di Taman Tasik Bandar Seri Permaisuri, Cheras baru-baru ini, keletah bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Aida cukup menggelikan hati.

Manakan tidak, kelincahan gadis kecil molek itu yang diselang-seli dengan hilai tawa amat menarik perhatian penulis serta rakan seangkatannya, Afif.

Ternyata, Aida merupakan seorang yang agresif dan aktif. Dia dilihat mempunyai tenaga ekstra yang membolehkannya melompat ke sana ke sini ketika jurufoto S3 merakamkan dia sedang berjoging bersama Afif.

Menurut anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu, senaman adalah cara terbaik baginya untuk menjaga stamina kerana Aida mengakui, dia tidak minat bersukan selain berenang dan bermain boling.

"Ia termasuklah berjogging. Sekurang-kurangnya, saya akan berlari sejauh satu kilometer setiap hari.

"Lazimnya, saya akan berjoging pada waktu petang sebab semasa itu cuaca agak redup dan taman rekreasi adalah lokasi pilihan untuk berjogging," kata kakak kepada Fina AF9 itu.

Beralih kepada bekas ketua kumpulan nasyid Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2, Afif memberitahu, dia adalah seorang yang aktif bersukan.

Selain melibatkan diri dengan pelbagai jenis sukan seperti bola sepak dan sepak takraw, Afif juga sering mewakili sekolah dalam sukan olahraga.

Ujar jejaka kelahiran Pekan, Pahang itu, di samping menjamin kecergasan tubuh badan dan stamina, sukan juga boleh merapatkan ikatan silaturahim apabila bertemu dengan rakan-rakannya yang lain.

"Tetapi, kalau saya kesuntukan masa atau tiada kawan-kawan untuk bersukan, saya akan menggunakan masa yang terluang dengan berjogging di tepi taman tasik.

"Sambil menikmati udara segar yang nyaman, ia boleh menenangkan fikiran apabila melihat kehijauan taman di samping mendengar kicauan burung yang berterbangan," katanya berseloroh yang disusuli dengan gelak tawa Aida yang berada di sisinya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top