Marcell dahulukan Malaysia

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



MARCELL mengakui kini lebih bebas berkarya.



SELEPAS berjaya mengukir nama dengan empat buah album sebelum ini, penyanyi Marcell kini kembali menghangatkan lagi dunia seni suara dengan kemunculan album kelimanya, And The Story Continues.

Menariknya, ia dilancarkan terlebih dahulu di Malaysia berbanding Indonesia. Menurut Marcell atau nama sebenarnya, Marcellius Kirana Hamohangan Siahan, 33, dia tidak mahu masalah kelewatan promosi atau pemasaran albumnya di Malaysia berulang lagi seperti album sebelumnya.

"Memang ada yang bertanya mengapa saya lancarkan album di Malaysia lebih cepat daripada di Indonesia. Sebenarnya isu tarikh album ini di pasaran sama sahaja kerana ia akan dipasarkan pada awal Jun.

"Memang saya mahu album ini dilancarkan lebih cepat di sini. Saya tidak mahu peristiwa terlewat memasarkan album menjadi isu memandangkan sebelum ini sudah berlaku banyak kali.

"Ada ketikanya album itu sudah hampir setahun di Indonesia, tapi baru menemui peminat di sini, sedangkan lagu-lagu saya sudah popular di sini. Kali ini saya mahu ia dipasarkan serentak bagi menggembirakan peminat di Malaysia dan Indonesia," ujarnya.

Marcell yang merupakan suami kepada aktres dan pengacara kelahiran Singapura Rima Melati itu menjelaskan, dia kini mempunyai lebih banyak kebebasan untuk mencorakkan perjalanan albumnya berbanding sebelum ini ketika masih terikat dengan Warner Music Indonesia.

"Album baru ini diterbitkan oleh E-Motion Entertainment, memang lebih bebas. Bagi saya tidak perlulah kita mengenang perkara lepas.

"Memang saya akui sebelum ini saya pernah berasa seperti tidak dihargai kerana album saya lambat dipasarkan di Malaysia dan beberapa masalah lain. Namun, saya cuba melihat setiap apa yang berlaku dari sudut positif.

"Album kelima ini sesuatu yang cukup istimewa sepanjang kerjaya saya dan memberi kepuasan kerana 11 buah lagu yang terkandung di dalamnya mendapat sentuhan Andi Rianto dan ia lebih bersifat peribadi kerana menggambarkan diri dan hidup saya," ucap penyanyi yang berasal dari Bandung, Indonesia itu yang turut mendedikasikan cinta pada isterinya menerusi lagu yang diberi judul Melati.

Dalam pada itu, meskipun dia kini sudah popular, namun Marcell tidak pernah melupakan hasrat hatinya yang ingin bergelar seorang peguam sejak zaman kuliahnya. Justeru, graduan Fakulti Undang-Undang, Universiti Katolik Parahyangan itu bakal mengambil peperiksaan pada hujung tahun ini bagi membolehkannya bergelar seorang peguam.

"Saya memang ingin menjadi peguam sebelum aktif dalam bidang muzik, tetapi niat itu sering tergendala disebabkan kesuntukan waktu. Namun, ia tidak menghalang saya untuk teruskan impian yang sudah lama dipendam kerana rugi rasanya sudah belajar undang-undang dan tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin," ungkapnya yang juga seorang pemain drum dalam band Konspirasi.

Jelasnya, dia bertekad untuk menjadi peguam dalam bidang hiburan dan sukan kerana melihat sendiri ramai anak seni tidak menyedari hak mereka dan ditipu sewenang-wenangnya.

"Bidang hiburan dan bidang sukan memang menjadi kesukaan saya. Saya mahu kedua-dua bidang ini berjalan dalam suasana yang aman dan bersih. Ramai artis yang tidak tahu hak mereka.

"Soal kontrak contohnya, mereka perlu tahu apa yang terkandung di dalamnya sebelum menandatanganinya, kerana ramai yang hanya baca sekali imbas," ujarnya.

Tegasnya lagi: "Ramai artis yang tidak ambil berat mengenai hal ini. Apabila sudah terjadinya masalah, siapa yang rugi. Sudah pasti pihak yang membikin kontrak tidak akan rugi apa-apa, yang ruginya artis itu sendiri. Menjadi anak seni bukan satu pekerjaan yang main-main. Ini pekerjaan profesional yang sama taraf dengan yang lain, saya rasa terpanggil untuk menghalang masalah ini daripada terus berlaku.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top