MEMBELI sambil menderma. Lebih menarik sekiranya barang yang dibeli berupa hasil kreativiti artis kesayangan anda. Bagi mereka yang berminat menghiasi ruang tamu dengan perabot menarik, kini boleh mendapatkan sofa yang direka khas beberapa selebriti tempatan.
Pengeluar barangan hiasan rumah dan perabot Macy menganjurkan jualan sofa istimewa kepada pelanggannya, di mana ia berupa hasil rekaan selebriti tempatan seperti Vanidah Imran dan suaminya Rashidi Ishak, Dynas Mokhtar, Harith Iskandar, Amber Chia, Jojo Struys, Daphne Iking, Ash Nair, Dennis Lau, Joey G, Patricia Sue Lin Knudsen dan Hannah Lo.
Selain memperoleh barangan yang dihasilkan artis pujaan, keuntungan diperoleh akan disalurkan kepada Rumah Nursalam dan Yayasan Chow Kit yang memberi tumpuan kepada kebajikan anak-anak terbiar di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.
Idea ditampilkan Macy dengan kerjasama selebriti terbabit ternyata menarik dan ketika majlis pelancaran mengenainya diadakan baru-baru ini, wakil media hadir turut dibawa melihat sendiri sofa yang dipamer hasil rekaan artis popular ini. Malah mereka nampak begitu bersungguh sewaktu menerangkan mengenai identiti atau pilihan corak juga warna sofa dihasilkan.
Begitupun paling menarik perhatian adalah sofa yang dihasilkan Dynaz Mokhtar
untuk ibu mengandung dan warnanya dan hiasan ditampilkan pasti mampu menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya.
Jelas Dynaz, idea diperoleh selepas melahirkan anak sulung dan katanya apabila peluang diberikan Macy dia terus terfikir untuk menghasilkan sofa khas untuk para ibu yang mahu menyusukan anak. Memilih latar warna ungu, ia turut dihiasi dengan fabrik corak bunga dirasakan mampu memberikan keselesaan.
"Keselesaan adalah kata kunci utama kepada saya untuk menghasilkan sofa ini. Pada peringkat awalnya saya memikirkan untuk menghasilkan kerusi empuk, tetapi ia terlalu kecil. Sofa yang dihasilkan ini tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Sesuai untuk ibu yang mahu menghabiskan masa bersama anak baru dilahirkan. Mereka boleh bersandar mahupun berbaring diatasnya.
"Selain itu kerusi ini turut disediakan bantal kecil (nursing pillow) di mana bagi ibu yang menyusu boleh meletakkan tangan di atas bantal ini yang diletakkan di paha. Ia menjadikan proses menyusu lebih selesa. Apa yang saya idamkan dapat dizahirkan oleh Macy dengan baik. Corak dan bentuknya lebih kontemporari dan cantik," katanya.
Sementara itu pasangan suami isteri, Vanidah dan Rashidi menghasilkan sofa sesuai untuk keluarga yang tinggal dalam kediaman mempunyai ruang sederhana.
"Sewaktu diberikan peluang untuk mereka sofa, saya dan Rashidi puas memikirkan bentuk dan corak bagaimana sesuai agar ia mampu menawan hati bakal pembeli. Apatah lagi ia dilakukan dengan tujuan kerja amal. Kalau boleh biarlah dibeli peminat atau peminat sofa dan hasilkan dengan banyaknya.
"Kami cuba menghasilkan sofa yang begitu praktikal. Ia tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Sesuai untuk seisi keluarga yang sederhana. Untuk menghasilkan sesuatu yang besar masalahnya bimbang nanti tidak muat untuk pembeli mahu meletakkan di dalam rumah atau ia terlalu banyak makan ruang," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai usaha dilakukan Pengarah Eksekutif Macy, Choong Kar Weng menjelaskan kempen untuk mengutip derma bagi mengisi tabung Yayasan Chow Kit menerusi hasil jualan sofa terbabit sudah pun bermula 25 Mei lalu. Mereka berminat boleh melihat sendiri kreativiti selebriti tempatan menghasilkan bentuk sofa yang dipamerkan di Ikano Power Centre dan juga Wisma Minlon.
"Hasil jualan sofa yang dibeli seratus peratus akan diserah kepada Yayasan Chow Kit, ia juga diadakan bersempena dengan Festival Sofa dan Langsir Macy bermula 20 Mei hingga 12 Jun ini," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan