Rodi pantang langkah gitar
|
SEDIKIT masa nanti, tidak mustahil gitaris kumpulan Kristal ini muncul antara gitaris handalan tanah air. |
KELUAR dengan album ke-10 pada Disember lalu dengan tajuk Luahan Hati, kesempatan bertemu Rodi dan rakan Kristalnya sempena sidang akhbar Hari Himpunan Sejuta Belia 2011 adalah satu temu ramah luahan kecewa mereka.
"Masih ada radio swasta yang tidak mahu memainkan lagu-lagu kami. Alasannya tunggu giliran tetapi entah bila agaknya giliran itu akan sampai.
"Kalau main pun lagu-lagu saduran kami dan bukan lagu baru yang sepatutnya sampai ke pengetahuan peminat kami," ujarnya.
Sudah tidak tahu penyelesaian yang wajarnya dibuat lagi, Rodi, 25, dan teman mengaku bahawa kadangkala semangat mereka hilang kerana masalah itu.
"Kalau asyik buat album lagu-lagu saduran, nanti orang mengata pula. Bila buat persembahan langsung, kalau kami mainkan lagu-lagu baru, peminat jadi terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengarnya. Sudahnya mereka jadi bosan," ujar Kristal.
Perancangan akan datang, kumpulan yang dianggotai oleh Lan, Rodi, Aman dan Acap ini sedang dalam rangka menyiapkan album lagu-lagu saduran tahun 1960-an. Mereka turut merancang untuk berduet dengan artis lama seperti Datuk Jeffry Din dan Datuk A. Rahman Hassan.
LAPAN JAM UNTUK GITAR
Sejak usia 15 tahun, saya menghabiskan masa lapan jam sehari untuk bermain gitar. Waktu itu belum ada komitmen. Tetapi sejak setahun kebelakangan ini, saya hanya dapat berlatih tiga hingga empat jam.
Bila sudah dapat tona bunyi sendiri, saya dapat mengurangkan jam latihan. Dulu saya belajar dengan Man Kidal di rumahnya daripada pukul 8 malam hingga 4 pagi.
Gitar itu ibarat nyawa dan sumber rezeki saya. Pantang betul kalau sesiapa langkah gitar saya. Kini saya gemar memainkan gitar jenis Fender Stratocaster (1979) yang saya beli hasil titik peluh sendiri.
PEMUZIK BERNAMA KRISTAL
Saya melihat Kristal kini sudah hampir menjadi pemuzik profesional. Kami bukan hanya dapat memainkan lagu kami sendiri tetapi lagu-lagu lain kerana sudah terdedah dengan persembahan secara langsung. Gembira bila lihat orang ramai memberi respons yang baik terhadap persembahan kami. Cuma harapan saya agar kami mendapat sistem bunyi yang bagus untuk persembahan.
RAMBUT KINI PENDEK
Dulu memang mahukan rambut panjang sahaja. Tetapi bila sudah meningkat usia, saya rasa rambut sebegini pun orang tahu bahawa jiwa sudah rock. Saya mengambil keputusan untuk menggunting rambut pada tahun 2009 dan selesa di paras begini. Saya akan mencuci rambut saya setiap hari. Kalau ada masa berjalan-jalan di pasar raya, saya akan singgah di salun untuk mencuci rambut. Di sana kalau dipujuk buat pelbagai rawatan, saya akan cuba.
KOLEKSI KASUT
Saya gemar mengumpul kasut. Terkini saya mengumpul kasut Puma Ferrari. Idola saya iaitu gitaris Yngwie Malmsteen yang memiliki kereta Ferrari. Saya ada kasut Ferrari pun jadilah. Ibu saya sudah bising-bising kerana banyak kasut di rumah.
SUKAR BUAT LAGU
Saya seorang yang tidak ada bakat dalam menggubah lagu. Saya lebih gemar menyusun muzik dan menulis lagu-lagu untuk montaj di televisyen. Antara muzik montaj yang pernah saya buat adalah untuk program Siti, Salih Yaacob dan Jangan Tidur Lagi. Muzik montaj tidak perlukan melodi, jadi tidak sukar untuk saya.
0 ulasan:
Catat Ulasan