MENGENAKAN maskara hitam, bergincu tebal dipadan fesyen rambut tocang ke atas dan berbikini, mungkin dianggap pelik pada wanita normal.

Namun, imej sebegitu menjadi 'trademark' penyanyi popular Lady Gaga hingga menarik perhatian ramai.

Mula aktif menyanyi pada 2005, popularitinya melonjak selepas kehadiran album debut, The Fame pada 2008 yang menyaksikan single, Just Dance dan Poker Face meraih sambutan hebat peminat.

Genre pop dance dibawa penyanyi berusia 25 ini digemari ramai peminat berbanding sekadar mempertaruhkan wajah jelita semata-mata.


Segelintir peminat berpandangan imej pelik penyanyi ini yang suka melakukan eksperimen dengan gaya berbeza depan khalayak membuatkan ramai peminat mahu mengenalinya lebih dekat.


Enam tahun membina karier sebagai penyanyi, Gaga dapat berbangga dengan pencapaian seninya.

Menerusi album debutnya itu, dia menduduki tempat kedua carta Billboard 200 di Amerika Syarikat manakala menjadi Top 10 di seluruh dunia.

Penerimaan positif peminat terhadapnya terbukti dengan pengiktirafan majlis anugerah berprestij, Grammy. Album The Fame berjaya merangkul kategori Album Elektronik/Dance Terbaik manakala single, Poker Face diangkat Rakaman Dance Terbaik pada tahun lalu.

Begitu juga, kejayaan Gaga di pentas Grammy pada tahun ini masih hebat selepas menerima tiga anugerah, Album Vokal Pop Terbaik untuk album 'extended play' (EP), The Fame Monster.

Single, Bad Romance berjaya meraih Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik dan 'Short' Terbaik kategori video muzik.

Lebih setahun tanpa album baru, Gaga kembali dengan buah tangan terbaru, Born This Way yang berada di pasaran sejak 23 Mei lalu.

Album ini yang diedarkan Universal Music Malaysia di pasaran tempatan dijangka mencatat album terlaris yang membuat peminat ternanti.

Khabarnya, dua kedai muzik online mencatatkan jualan album ini sebanyak 250,000 hingga 350,000 unit dalam tempoh 24 jam dipasarkan.

Penggiat industri muzik antarabangsa menjangkakan jualan album ini akan meningkat dalam minggu seterusnya.

Memberi tarikan, kulit muka depan album studio kedua di bawah label Interscope Records ini menampilkan wajah ganas penyanyi itu dengan rambut mengerbang bercantum dengan badan motosikal.

Gaga mempertaruhkan lagu Born This Way sebagai single diikuti Judas dan The Edge of Glory.

Dalam temubual bersama media antarabangsa, Gaga yang mempunyai berjuta peminat terhadapnya menyatakan dia percaya masih ada segelintir pihak yang tidak senang hati melihat dia terus berjaya.

Gaga atau nama sebenar, Stefani Joanne Angelina Germanotta menyatakan begitu selepas single Born This Way dituduh meniru lagu Express Yourself nyanyian Madonna yang pernah dihasilkan pada 1989.

"Ada orang yang mahu saya gagal hingga tersungkur. Berita baik sebaliknya mereka tahu saya seorang yang berani. Jika anda budak baik di sekolah, tidak semestinya kehadiran anda tidak dialukan.
"Pada mereka yang berasakan diri dibuli atau kelihatan naif, saya berusaha jadikan mereka seperti juara. Namun, saya tidak meminta mereka membenci orang baik yang lain.

"Semua perkara mengenai bagaimana merapatkan jurang dan membawa mereka menjadi rapat. Itu maknanya muzik pop boleh bersatu," katanya.

Bercerita mengenai album baru ini, Gaga menyatakan dia ingin jujur terhadap diri sendiri dalam berkarya dan menyanyi.

Gaga mentafsir album ini seperti perkahwinan antara genre elektronik muzik dengan genre lain seperti epik, metal, rock n roll dan pop.

"Saya mahu jadi diri sendiri. Kita harus tampil dengan identiti sendiri dan mencintai serta berbangga dengan apa yang dilakukan. Ketika di sekolah dulu, saya suka memakai topeng setiap hari. Begitu juga, sampai hari ini saya memakainya dengan rasa bangga," katanya.

Di sebalik semangat Gaga turun padang mengadakan promosi album barunya ini, dia masih sempat mencetuskan kontroversi mengenai penampilan diri.

Ketika ditemu bual media di Toronto, Kanada beberapa hari lalu, stesen TV tempatan di sana terpaksa mengaburkan sebahagian besar buah dadanya yang terdedah kerana berpakaian jarang dan hanya menutup putingnya dengan pelekat.

Aksi yang sama ditunjukkan ketika Gaga hadir menjayakan sidang media albumnya itu yang diadakan di Mexico pada awal bulan ini.

Dia tanpa segan silu menayangkan imej seksi yang sama menampakkan seolah dia berbogel depan kamera.

Dalam sesi promosi berbeza, Gaga diberi kesempatan berkongsi pandangan mengenai isu kesamaan dan individu bersama akhbar antarabangsa, Metro di London baru-baru ini.

Menariknya, dalam kunjungan itu Gaga dilantik Global Guest Editor-in-Chief yang memberi peluang padanya menyunting edisi akhbar itu untuk terbitan di 20 negara dari ibu pejabat di London.

Satu muka surat penuh, Gaga menyatakan ucapan penghargaan yang diterbitkan pada 23 Mei lalu.

Di Amerika Syarikat, Gaga terbabit menjayakan program Saturday Night Live yang dihoskan penyanyi Justin Timberlake dan muncul sebagai tetamu program bual bicara popular, The Late Show With David Letterman.

PROFIL

NAMA: Stefani Joanne Angelina Germanotta
NAMA KOMERSIAL: Lady Gaga
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1986
USIA: 25 tahun
ASAL: New York
GENRE: Pop, dance
KERJAYA: Penyanyi, penulis lirik, producer dan ahli perniagaan
ALBUM: The Fame (2008), The Fame Monster (2009) dan Born This Way (2011)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top