Liyana, Fizz dijerat cinta Twitter
TIBA-TIBA sahaja, nama Liyana Jasmay dan Fizz Fairuz menempah kepanasan sepanjang minggu. Gara-gara bermain kata-kata dan terheret emosi dari lokasi filem Papadom 2 yang kini rancak melakukan penggambaran.
Spekulasi tercetus kononnya dua pelakon popular itu sedang bermain cinta. Semua itu terjadi ekoran kicau-kicau dan sapaan-sapaan manja di antara Liyana Jasmay dan Fizz Fairuz yang tertera dengan jelas menerusi laman sosial Twitter mereka berdua.
Ganti nama 'B' bermaksud 'baby' yang boleh juga membawa erti sayang, menjadi pengganti diri menerusi sapaan Liyana terhadap Fizz.
Perkara itu mudah sahaja disalah erti, terutamanya kepada individu yang tidak kenal personaliti mereka berdua. Begitu juga dengan, ungkapan seperti, 'I miss U', 'I love U' dan 'I love you too' yang mengisi paparan timeline Twitter mereka, membuatkan ribuan pengikut saling tertanya-tanya.
Lebih dramatik lagi, ibu kepada Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Papadom itu, Habsah Simpon, 54, juga terpaksa berdepan pertanyaan media. Dia ditanya tentang sejauh mana perilaku anak gadisnya itu dari kaca matanya sebagai seorang ibu.
"Mustahil untuk mereka berdua bercinta. Mereka memang suka bergurau bahkan seperti adik-beradik," beritahu Habsah.
Terheret rasa ingin tahu, kekasih Fizz Fairuz, Almy Nadia juga tidak terlepas. Kepada sebuah portal hiburan, Almy bercakap dan meluahkan perasaannya.
"Saya rasa terkelu lidah dan tidak tahu macam mana nak jawab soalan tentang hubungan kami. Lebih baik soalan itu ditanya kepada Fizz sendiri," jawab Almy.
Liyana sendiri sudah menerima bahagian yang perlu dijawab. Dia juga tidak terlepas daripada ditanya isu yang sama. Menurut Liyana, mereka sekadar 'tweeting' dan bersembang seperti kawan rapat.
"Pelik la, sebab ia hanya untuk seronok, tak ada apa yang serius. Semua orang percaya bulat-bulat dan ambil serius apa yang tertulis di Twitter.
"Saya hanya ketawa kerana dia dah macam abang saya. Saya dah kenal dia sejak umur saya 16 tahun lagi," respons Liyana, juga kepada sebuah portal hiburan internet.
Semua kekeliruan itu seharusnya reda di situ dan sebagai nama yang turut terbabit dalam kepanasan ciptaan sendiri itu, pastinya tidak adil jika Fizz tidak diberi ruang untuk menjelaskan spekulasi yang terjadi.
Sama juga seperti Liyana Jasmay dan Habsah, Fizz mengakui hubungan antara dirinya bersama Liyana tidak ubah seperti abang dan adik. Sementelah mereka kini berpayung di bawah bumbung produksi yang sama demi komitmen terhadap filem baru, Papadom 2 arahan Afdlin Shauki.
Sensasi Bintang: Apa sebenarnya yang berlaku antara Fizz dan Liyana?
FIZZ FAIRUZ: Tidak ada apa-apa, dia ibarat adik saya dan kami berdua sedang berlakon dalam filem sama, Papadom 2. Kalau boleh, saya memang tidak mahu membesar-besarkan cerita. Biarlah perkara itu habis di situ sahaja.
Ini mesti terbawa-bawa dengan watak dalam filem. Apa yang kalian lakonkan dalam filem berkenaan?
Saya melakonkan watak lelaki yang disukai oleh Liyana Jasmay. Itu sahaja. Jadi, kami sekadar 'tweeting' dalam Twitter. Kira macam promosi awal untuk filem.
Jadi ungkapan-ungkapan itu sekadar satu gurauan, begitu?
Iya. Gurauan sahaja. Antara kami memang tidak ada apa-apa hubungan. Dia sudah macam adik saya.
Tidakkah nanti cara kalian 'tweeting' akan menyakitkan hati dan mencetuskan rasa cemburu di hati Almy Nadia?
Dia (Almy) sudah faham. Selepas apa yang terjadi, saya sudah jelaskan segala-galanya kepada Almy. Setakat ini tidak ada masalah, dia faham.
Apa impak yang Fizz rasai daripada perkara ini?
Sebab itu kalau boleh saya tak mahu panjangkan cerita, nanti orang akan fikir lain, macam saya ini jahat.
Jahat ke? Atau orang akan nampak bahawa Fizz seorang pelakon yang nakal?
Saya tak jahat, mungkin orang nampak saya nakal sebab saya peramah dengan orang. Tapi ramai juga yang salah tafsir. Saya sebenarnya biasa sahaja. Janji saya tahu siapa saya dan bagaimana pembawaan diri saya sebagai seorang artis.
0 ulasan:
Catat Ulasan