BARU enam bulan beroperasi, hasrat TV AlHijrah (TVAH) untuk ditonton penduduk negara ini secara menyeluruh akhirnya menjadi kenyataan apabila program stesen itu akan disiarkan di saluran 114 (Astro) bermula 1 Jun nanti. Kini, ia nyata bukan sekadar impian.

Diumumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Pusat Penyiaran Digital TVAH, baru-baru ini, memaklumkan dengan kerjasama dijalin, TVAH akan dapat diikuti lebih 13 juta penonton yang melanggan Astro.

"Oleh itu, TVAH juga secara tidak langsung menambah waktu siarannya dari 72 jam kepada 100 jam seminggu untuk memenuhi kehendak penonton. Malah, siaran hujung minggu juga bermula lebih awal iaitu jam 7 pagi, manakala Isnin hingga Khamis, jam 12 tengah hari.

"Apapun, bagi operasi permulaan ini TVAH akan bersiaran sehingga jam 12 tengah malam. Namun, yang pasti saya sangat gembira kerana penonton yang selama ini tertunggu-tunggu mahu menyaksikan siaran TVAH di Astro kini menjadi kenyataan.


"Seiring dengan tagline Segalanya Bermula Di Sini, TVAH menjanjikan program yang menarik untuk penonton termasuk pengisian mantap sepanjang Ramadan nanti. Malah, TVAH juga akan memperkenalkan program realiti TV baru pencarian pendakwah wanita, Solehah.


"Sesi uji bakat peserta yang berminat menonjolkan bakat mereka akan dilakukan sekitar Jun ini, manakala penyiarannya pula pada September depan. Sehubungan itu, ini adalah masa yang sesuai untuk TVAH menyediakan kandungan program Islam lebih kreatif," katanya.

Menurut Jamil Khir peluang TVAH disiarkan di Astro takkan dipersiakan dan stesen itu pastinya berusaha menyediakan rangkaian program terbaik yang merangkumi aspek keagamaan dan pembangunan rohani di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Mengulas mengenai program Solehah, beliau berkata pemilihan peserta berdasarkan kepada pengetahuan dalam bidang agama, pengetahuan am, kepetahan bercakap, ketajaman fikiran dan tinggi budi bahasa. Katanya penyertaan turut dibuat kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berminat.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Bukhari Che Muda. Apapun, sebagai salah satu stesen TV percuma, dengan keluasan liputan siaran TVAH tidak lagi hanya dapat ditonton di Terengganu, Pahang, Lembah Klang, Utara Johor, Sabah dan Sarawak, tetapi bermula Jun ini tentunya ke seluruh negara tanpa sebarang halangan.

Sehubungan itu, antara program menarik disediakan TVAH bermula Jun ini ialah Madrasah ALHijrah yang akan menemui penonton pada 3 Jun, jam 7 pagi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad yang memperjelaskan aspek akidah, akhlak, syariah, al-Quran dan sunnah.

Tidak terkecuali, program Khidmat Syariah yang menyingkap soal hukum hakam agama yang mungkin kurang difahami masyarakat Islam sebelum ini akan disiarkan mulai 2 Jun, jam 9.30 malam. Bukan itu saja, program untuk kanak-kanak turut tidak dilupakan.

Mulai 3 Jun, program animasi kanak-kanak Miniscule akan disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, pada jam 5.20 petang. Namun, program Baby Khalifah lebih dulu disiarkan iaitu jam 5.15 petang. Tidak ketinggalan, program kanak-kanak My Three Daughters.

Drama bersiri menarik tempatan pula ialah Kitab Cinta yang disiarkan mulai 1 Jun, jam 8.30 malam setiap Rabu Khamis dan Jumaat. Diikuti drama Alauddin bermula 4 Jun ini, jam 8.30 malam serta Keluarga Adab pada 26 Jun, jam 8.30 malam.

Manakala, filem pula ialah Children Of Heaven pada 7 Jun, jam 9 malam. Selain itu, filem menarik lain seperti Ketika Cinta Bertasbih 1 disiarkan pada 14 Jun, jam 9 malam, Ketika Cinta Bertasbih 2 (21 Jun, 9 malam) dan Marathon (28 Jun, 9 malam).

Bagi program hiburan dan majalah ialah Studio Muallaf mulai 11 Jun, jam 10.30 malam. Diikuti, KL Bersalawat pada 12 Jun, jam 9.30 malam. Dokumentari menarik, Treasure Of The World – Heritage Of Mankind disiarkan setiap Jumaat, jam 10.30 malam dan program Reflection menemui penonton mulai 9 September, jam 1.30 petang.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top