Ada ketika mereka boleh bercanda saat memberikan komen. Namun, itu bukan bermakna mereka tidak serius dalam kritikan.
Buktinya, kita dapat melihat baik Mamat Khalid, Ahmad Idham mahupun Saiful Apek ada kalanya begitu tegas melontarkan pandangan dan buah fikiran kepada peserta yang menyertai program ulung terbitan Astro Warna itu.
Sebagai seorang yang arif dalam menentukan kualiti persembahan setiap peserta, pastinya Mamat, Ahmad Idham dan Saiful tahu apa yang mereka mahukan.
Umpama kata pepatah lama, hanya jauhari mengenal manikam. Untuk itu, Hits telah bertemu dengan Mamat, Ahmad Idham dan Saiful untuk menyelami apakah misi dan harapan mereka sebagai juri tetap Maharaja Lawak.
Peserta taraf internasional
APABILA Mamat menyatakan peserta Maharaja Lawak sebenarnya sudah mencapai piawaian antarabangsa, ada segelintir yang merasakan angan-angan Mamat terlalu tinggi.
Kata pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Estet itu lagi, dia bukan sekadar omong kosong mahupun hendak menyenangkan hati sesiapa.
Apa yang dilontarkan sebenarnya ikhlas berdasarkan pengamatannya menerusi setiap persembahan yang dipamerkan peserta.
“Sebagai contoh, untuk minggu ketujuh bagi tema komedi senyap, saya dapat melihat peningkatan yang cukup ketara daripada beberapa orang peserta yang mempamerkan kualiti persembahan yang cukup tinggi.
“Kalau kita lihat ketika itu, persembahan Nabil misalnya memiliki ciri-ciri komedi Jacques Tati, seorang pelakon dan pengarah komedi dari Perancis.
“Begitu juga dengan kumpulan Jambu yang begitu tebal dengan inspirasi Monty Phyton manakala Jozan pula dengan aksi komedi Vaudeville. Bukankah itu semuanya bertaraf antarabangsa?
“Tetapi, ada kala saya nampak peserta seolah-olah tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sudah berupaya membuat persembahan berkualiti sekali gus meletakkan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” jelas Mamat sambil memuji kumpulan Sepah yang memiliki kualiti komedi Melayu cukup tinggi.
Dalam masa yang sama, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd. Khalid juga memberitahu, masih terdapat beberapa peserta yang dilihat masih lagi selesa berada di takuk lama sewaktu membuat persembahan.
“Saya tidak menafikan ada di antara mereka yang sudah menunjukkan perkembangan dari minggu pertama sehinggalah sekarang.
“Malah, mereka yang dahulunya kelihatan sungguh selesa di atas pentas nampaknya kini sudah berusaha untuk keluar daripada zon selesa mereka. Ternyata teguran kami sebagai juri diambil dan diterima dengan baik demi kebaikan mereka.
“Buktinya, peminat kini sudah mula bijak menilai persembahan. Atas alasan itu kita sudah dapat lihat pola pengundian kini jauh berbeza daripada minggu pertama Maharaja Lawak disiarkan,” kata pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini lagi.
Mengkritik juga mendidik
APABILA Ahmad Idham dipilih sebagai salah seorang juri, ada juga pihak yang mengerut dahi memikirkan apakah kelayakan pengarah popular itu untuk menduduki kerusi juri.
Kata Ahmad Idham, dia sendiri terkejut apabila ditawarkan peluang itu oleh Astro dan bertanyakan kembali kepada pihak stesen berbayar ulung negara itu apakah mereka membuat pilihan yang tepat.
Ternyata mereka yakin dengan kemampuan Ahmad Idham sebagai seorang pengarah dan genre komedi juga bukanlah sesuatu yang asing untuk pengarah berasal dari Alor Setar, Kedah itu.
“Menerusi Maharaja Lawak ini, kami sebagai juri mahu melihat sesuatu yang baru daripada peserta dan setakat ini, Alhamdulillah, kami menerima dengan penuh terbuka segala yang dipersembahkan oleh mereka.
“Namun, ada juga yang dilihat masih lagi berada dalam zon yang sama dan tidak mahu lari daripada apa yang mereka sudah persembahkan.
“Sebagai contoh, kumpulan Balas yang cukup dikenali dengan lawak berbaur lucah nampaknya berhadapan dengan masalah apabila persembahan mereka tidak diterima baik oleh penonton pada minggu keenam.
“Jadi, di sini kita sudah dapat lihat penerimaan dan kecenderungan masyarakat terhadap kandungan dan penceritaan lawak yang lebih matang serta positif.
“Itulah yang amat saya dan rakan juri yang lain tekankan kepada setiap peserta untuk tampil dengan idea yang segar dan baru sekali gus meninggalkan kesan kepada penonton,” kata Ahmad Idham atau nama sebenarnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri.
Dalam konteks ini, pengarah filem Adnan Semp-it dan Damping Malam itu memberikan contoh kumpulan Jambu yang dilihatnya menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu pertama Maharaja Lawak mula bersiaran.
Bukan mahu menyebelahi kumpulan yang dianggotai oleh Yus dan Taukeh itu tetapi Ahmad Idham merasakan kumpulan Jambu paling konsisten saban minggu.
“Ini membuktikan mereka menerima segala apa yang diperkatakan kami. Daripada situ, mereka belajar lalu memperbaiki segala kelemahan. Buktinya, mereka pernah berada di tangga pertama pada minggu komedi senyap di mana pencapaian itu jarang mereka perolehi.
“Setiap peserta harus sedar bahawa golongan remaja adalah mereka yang paling banyak menyumbang ke arah undian secara SMS dan merupakan penonton setia Maharaja Lawak.
“Untuk itu, mereka harus persembahkan lawak jenaka yang dapat diterima dengan baik oleh semua golongan agar mereka faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh peserta,” kata Ahmad Idham yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia Ke-16 (2003) menerusi filem Mr. Cinderella itu lagi.
Imuniti tetap digunakan
HANYA tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi sebelum Maharaja Lawak melabuhkan tirainya. Untuk itu, ada yang mula mempersoalkan perihal imuniti yang nampaknya masih disimpan kemas oleh juri.
Menjawab soalan itu, Saiful Apek menjelaskan imuniti itu akan tetap digunakan oleh juri Maharaja Lawak tetapi ia adalah untuk mereka yang benar-benar layak sahaja.
“Seperti mana yang kita dapat lihat minggu lalu apabila Nabil berada di kedudukan tiga yang tercorot. Sesungguhnya ia memang mengejutkan kerana sebelum ini Nabil tidak pernah berada dalam kelompok itu.
“Kami tidak mahu memberikan imuniti itu kepada mana-mana peserta tetapi biarlah mereka yang layak
mendapat kelebihan itu,” kata Saiful membuka bicaranya.
Untuk pengetahuan, bukan mudah sebenarnya untuk Astro memujuk Saiful menerima tawaran menjadi juri Maharaja Lawak.
Selepas berfikir semasak-masaknya dan mengenangkan hampir kesemua peserta yang bertanding sudah diibaratkan seperti adik-adiknya, barulah Saiful terbuka hati menerimanya.
“Sebenarnya, sejak dari Raja Lawak musim pertama, Astro sudah menawarkan peluang untuk menjadi juri tetapi saya menolaknya dengan alasan mahu memberi peluang itu kepada mereka yang lebih layak untuk menduduki kerusi itu.
“Tetapi, selepas melihat Maharaja Lawak yang dibarisi oleh peserta yang memiliki pengalaman, barulah saya menerimanya kerana percaya dengan kemampuan setiap peserta.
“Kritikan saya kepada setiap peserta pun lebih kepada seperti nasihat seorang abang kepada adiknya agar ia kelihatan lebih intim.
“Alhamdulillah, setakat ini saya lihat semuanya sudah menunjukkan peningkatan tetapi ada juga yang masih lagi perlu bekerja keras untuk mencapai tahap tertinggi,” jelas nya
Dalam hal ini kata Saiful, memang tidak dinafikan ada peserta yang memiliki sokongan padu daripada peminat mereka sehinggakan mereka muncul di atas pentas sahaja sudah mampu membuatkan peminat ketawa.
Ujarnya lagi, walaupun terdapat kelebihan seperti itu, namun, peserta juga seharusnya memikirkan kualiti kandungan persembahan mereka bagi membuktikan mereka bukan sekadar membuat lawak jenaka kosong semata-mata.
“Kalau kita lihat dari awal Maharaja Lawak, ada yang sudah meramalkan beberapa nama yang dengan mudah menjadi juara. Tetapi, lama-kelamaan trend itu sudah berubah apabila penonton kini sudah semakin bijak menilai.
“Mereka harus sedar bahawa hanya akan ada satu sahaja Maharaja Lawak dan berkemungkinan besar ia tidak akan diwujudkan lagi selepas ini. Kalau ada sekali pun, barangkali ia akan mengambil masa yang lama.
“Jadi, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin bagi membuktikan bahawa anda sebenarnya adalah pelawak yang memiliki kualiti tinggi untuk pergi jauh dalam industri,” ujarnya dalam nada serius.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0 ulasan:
Catat Ulasan