TDC bersatu dalam muzik

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

BERMULA sebagai pemuzik jalanan yang sentiasa menghiburkan hujung minggu pengunjung Tugu Negara, Tugu Drum Circle (TDC) yang dianggotai oleh sekumpulan pemain drum dan perkusi mengangkat kepakaran mereka bermain alatan berkenaan demi memupuk perpaduan melalui semangat komuniti yang kuat.

Bagi kumpulan yang ditubuhkan sekitar Mac 2002 itu, muzik dilihat sebagai satu suntikan dalam mengukuhkan semangat bersatu tanpa mengira latar belakang mahupun kebudayaan.

Berlandaskan kepada sebuah ensembel yang berkhidmat untuk komuniti, TDC membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mempelajari dan mendalami teknik asas dan skill bermain drum di samping mencipta irama baru melalui sebuah kumpulan muzik.

Melalui TDC, semua ahli bersatu hati dalam berkongsi pengalaman muzik, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki melalui kerjasama serta kolaborasi dalam kumpulan.

“Itu adalah matlamat kami. Berkongsi dan mengajak orang ramai untuk bersama bermain drum dan perkusi selain mengetengahkan bakat yang ada.

“Namun, kami bukan sebuah kumpulan dan keahlian kami terbuka kepada mereka yang sudi bersama kami mengalunkan muzik setiap hujung minggu di Plaza Tugu, berhampiran Tugu Negara.

“Bagaimana pun sebelum diambil menjadi ahli seseorang itu perlulah bermain muzik bersama kami sekurang-kurangnya tiga kali,” kata pengasas TDC, Paul Lau ketika ditemui pada sidang akhbar Gegaran TDC di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini.

Tambah Paul, matlamat TDC adalah untuk mengajak orang ramai bersama bermain alat muzik selain mewujudkan keserasian di kalangan semua ahli dan peminat.

Hari ini 30 Mei, TDC bersama 57 ahlinya buat pertama kali diberi peluang untuk beraksi di DFP membuat persembahan selama sejam dalam usaha memperkenalkan diri mereka kepada masyarakat.

“Biarpun sebelum ini kami ada membuat persembahan di tempat lain seperti di Kuala Lumpur Infrastructure Universiti Cologe (KLIUC), Bukit Jelutung, Shah Alam dan di Johor, DFP adalah pentas yang terbesar bagi kami,” jelas Paul.

Bagi Paul, kesudian DFP membuka ruang pentas kepada TDC adalah satu penghormatan.

Katanya, sepanjang sembilan tahun penubuhan TDC tidak pernah terfikir akan diberi peluang beraksi di pentas ternama itu.

Menyentuh mengenai persembahan mereka itu nanti, Paul berkata, antara lagu yang bakal mereka persembahkan adalah seperti Bomba, Calypso, Bhangra, Masquenada, Samba dan lagu-lagu tradisional.

Selain itu persembahan TDC malam itu juga diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan seperti Steve Thornton, White Percussion Unit, Drum Sifoni dan Wadaika Syo.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top