BUKAN mudah untuk seseorang itu melaksanakan impian seperti yang diinginkan jika tiada usaha yang gigih.

Lain pula buat pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28. Dalam kamus hidupnya belum pernah ada perkataan 'tidak boleh' atau 'susah' ketika berusaha mengejar cita-citanya itu.

Bak kata temannya, Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair.

Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti dengan setiap perancangan yang dilakukannya.

Kerana semangat dan kecekalannya juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua. Pada Rabu lalu, butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.

"Rasanya, ini adalah permulaan saya dalam menjalani perniagaan DNA dan bersyukur kerana gelaran selebriti yang dimiliki sedikit sebanyak membantu menaikkan nama butik ini.

"Sebenarnya, jika kita lihat zaman sekarang, semakin kurang para ibu yang memberikan susu mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya.

"Dengan rekaan pakaian untuk ibu ini, saya berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran 'ibu' kerana pemakaian yang kurang moden," tuturnya sambil menunjukkan perincian pakaian DNA yang dikenakan.

Tambah ibu kepada Khyra Khalisa yang berusia satu tahun ini, walaupun bergelar ibu, tidak semestinya seseorang itu tidak boleh bergaya sebaliknya perlu bijak memilih fesyen yang sesuai.

Dalam pada itu, bekas pengacara Beat TV ini bersyukur, sehingga kini tawaran kerjaya seni untuknya masih lagi berjalan seperti biasa. Malah, Dynas juga mula menerima tawaran berlakon watak komedi.

"Mungkin ada yang menganggap janggal bila saya menyatakan tentang keselesaan saya menggalas watak-watak komedi.

"Bahkan sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran You Saka pergi Jauh-Jauh untuk slot seram TV3. Ia sangat menyeronokkan," selorohnya.

Sementara itu, Dynas agak kecewa kerana sehingga kini dia tidak pernah tahu siapakah peminat yang sentiasa menyokongnya dalam kerjaya seni.

"Sejak berkahwin dan menerima beberapa anugerah, saya tidak pernah terfikir dan tidak tahu pun siapa peminat-peminat saya. Bukan tak nak ambil tahu, cuma takut jika diri saya berubah menjadi riak sekiranya saya mendapati saya ni ramai peminat.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya gembira sangat kerana masih ada lagi yang ingin melihat saya berada dalam industri seni tempatan lagi," tuturnya.

Memandangkan Dynas kini turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan, dia sedang merancang mengajak orang ramai menyertai aktiviti kebajikan bersama.

Kecantikan

Selain berfesyen, penjagaan kecantikan diri secara luaran dan dalaman juga amat penting buat pelakon ini.

Kata Dynas, bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk dirinya semakin malas dengan penjagaan diri.

Walaupun bergaya moden, Dynas juga tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.

"Sejak kelahiran Khyra, penjagaan diri perlu diutamakan lebih-lebih lagi bergelar seorang selebriti.

"Saya masih muda dan kalau boleh saya tak mahu menggalas watak-watak wanita berusia. Bagaimanapun kalau bukan seorang selebriti sekalipun, saya tetap akan menjaga kecantikan diri dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

"Lebih-lebih lagi selepas kelahiran anak, kita wajib berpantang dengan betul dan ia sangatlah mustahak kerana tanpa penjagaan rapi, kesan-kesan penuaan akan berlaku apabila lanjut usia," tegasnya.

Ujar graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, pada tahun lalu, dia turut mengamalkan berpantang cara Cina dan India.

Selain itu, Dynas juga tidak lokek mengeluarkan sejumlah wang untuk pergi ke pusat pelangsingan badan, Kunzense.

"Alhamdulillah, melalui Kunzense, berat badan saya telah turun dari 71 kilogram (kg) kepada 59kg. Dan kerana itu saya ditawarkan menjadi duta kepada pusat pelangsingan badan tersebut.

"Bagi saya, kita tidak boleh menyerah kalah jika ingin mendapatkan bentuk tubuh badan yang ideal dan pada masa yang sama kita perlu berfikiran positif. Saya percaya, semua wanita mahu kelihatan cantik," tuturnya.

Dalam pada itu Dynas turut mempraktikkan cara pemakanan yang sihat agar penghasilan susu badan turut mempunyai zat yang secukupnya buat anaknya itu.





0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top