Perjalanan Scotty sudah bermula
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
|
|
ANAK muda ini sememangnya menjadi calon kegemaran untuk menjuarai American Idol musim kesepuluh yang sudah pun melabuhkan tirainya minggu lalu.
Kali pertama Scotty McCreery melantunkan vokalnya untuk lagu Your Man pada sesi uji bakat di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat, dia sudah berupaya memukau juri iaitu Randy Jackson, Jennifer Lopez dan Steven Tyler.
Bagi mereka, Scotty memiliki suara yang begitu unik dan luar biasa untuk remaja berusia 17 tahun sepertinya.
Memang tidak dinafikan, ada segelintir pihak yang berpandangan skeptikal dengan bakat Scotty sehingga ada yang berpendapat dia tidak mampu untuk bertahan lama dalam program realiti paling popular di dunia itu.
Malah, sewaktu minggu persembahan di Hollywood di mana setiap peserta yang disenarai pendek diberi tugasan untuk membentuk kumpulan dan membuat persembahan di hadapan juri, tidak ramai yang yakin dengan bakat Scotty dan ditolak mentah-mentah.
Sehinggakan, dia perlu ‘mengemis’ untuk mencari teman sepasukan dalam melunaskan tanggungjawabnya sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Namun, takdir penentu segala-galanya. Siapa sangka dalam usianya yang begitu muda, dia sudah mencipta kemasyhuran dalam masa yang begitu singkat.
Terima kasih kepada American Idol yang telah menonjolkan bakat besar Scotty kepada hampir 270 juta penduduk Amerika Syarikat yang sebulat suara memilihnya sebagai juara American Idol musim kesepuluh.
Dengan bakat besarnya itu, memang tidak mustahil untuk Scotty pergi jauh dalam industri sekali gus mencatatkan kejayaan yang cukup gemilang dalam meniti perjalanan sebagai penghibur.
Biarpun ramai yang meramalkan pencabar Scotty iaitu Lauren Alaina akan menggenggam gelaran idaman ramai itu, namun, rezeki sudah menjadi milik remaja yang kini menjadi kegilaan ramai itu.
“Kemenangan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana saya berada di sini adalah untuk menonjolkan kepada khalayak siapakah saya yang sebenarnya.
“Saya harus berterima kasih kepada tuhan kerana semuanya telah ditentukannya. Jika bukan kerananya, saya tidak mungkin ada di sini,” ucap Scotty dalam nada terharu sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai juara oleh pengacara, Ryan Seacrest.
Scotty juga mencipta rekod sendiri apabila menjadi penyanyi lelaki country pertama yang dinobatkan sebagai juara pertandingan itu dan penyanyi country kedua selepas Carrie Underwood yang menggenggam gelaran itu pada tahun 2005.
Pada malam kemuncak itu, Scotty telah mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Gone, Check Yes or No dan I Love You This Big.
Barangkali ramai yang mempersoalkan kemenangan dan apakah keistimewaan Scotty sehingga dia berjaya menjadi juara.
Seperti mana Carrie yang begitu yakin dengan bakatnya untuk menjadi seorang penghibur country, begitu juga dengan Scotty.
Di awal pertandingan lagi, anak muda kelahiran North Carolina, Amerika Syarikat itu sudah yakin bahawa pegangan muziknya adalah country dan minggu demi minggu, muzik itu menjadi pertaruhannya dalam setiap persembahannya.
Hala tuju muzik Scotty itu turut mendapat sokongan ketiga-tiga juri yang memang merasakan Scotty sememangnya dilahirkan untuk menjadi seorang bintang country.
Menyedari peluang hanya akan datang sekali, selama 10 minggu beraksi di pentas American Idol, Scotty telah memberikan persembahan yang cukup konsisten.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan program itu dari mula sehingga akhir pasti akan bersetuju Scotty telah menunjukkan peningkatan yang cukup mendadak baik dari segi persembahan mahupun tahap keyakinannya.
Kelebihan yang ada pada Scotty bukan hanya terletak kepada suaranya tetapi pesona, karisma dan imejnya yang mampu memikat hati pengundi dari semua golongan baik yang muda mahupun tua.
Sementelah, muzik pop dan rock kerap mendominasi pentas American Idol sejak 10 tahun lalu, pastinya kehadiran Scotty dan Lauren selaku naib juara, telah mengubah senario itu.
Hakikatnya, perjalanan Scotty atau nama sebenarnya Scott Cooke McCreery itu baru saja bermula dan tidak sampai 24 jam dinobatkan sebagai juara, Scotty sekali lagi mencipta rekod baru.
Lagu baru yang akan menjadi single pertamanya, I Love You This Big telah menduduki tangga pertama dalam carta iTunes sebagai lagu yang paling banyak dimuat turun ketika ini.
Scotty sendiri bagaikan tidak percaya apabila mendapat berita itu.
“Benarkah lagu saya menjadi juara? Saya rasa seperti bermimpi. Jujurnya, saya amat menyukai lagu itu sebaik sahaja mendengarnya buat kali pertama.
“Lagu tersebut begitu indah dan saya sendiri menahan sebak sewaktu mendendangkan lagu itu pada malam akhir selepas saya diumumkan sebagai juara.
“Perjalanan hidup saya sudah bermula dan saya benar-benar mahu mengembangkan karier saya sebagai seorang penyanyi dan penghibur,” kata Scotty yang dilahirkan pada 9 Oktober 1993 itu penuh optimis.
Biarpun menepati ramalan ramai pihak akan bergelar juara, tetapi dengan penuh rendah diri Scotty mengakui laluan itu bukan mudah.
Lebih-lebih lagi kata Scotty, selepas Lauren memberikan persembahan yang cukup hebat terutama untuk lagu Like My Mother Does yang disifatkannya sarat dengan emosi.
“Walaupun setiap minggu orang meramalkan saya akan menjadi juara dan merupakan peserta kegemaran, saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius.
“Saya percaya bukan hanya saya seorang tetapi peminat tegar American Idol juga pastinya bersetuju apabila musim kesepuluh ini semuanya memiliki bakat yang cukup hebat.
“Saya tidak mahu terus larut dengan pujian sebaliknya saya membina keyakinan diri setiap minggu untuk memberikan persembahan terbaik,” kata pemuja Elvis Presley ini yang sudah pun merakamkan lagu kedua untuk album sulungnya.
Ternyata Scotty cukup teruja saat membicarakan tentang album sulungnya yang kini sedang rancak menjalani rakaman.
Baginya, dia tidak mahu buah tangan pertamanya kelak akan mengecewakan peminatnya yang telah berpenat lelah mengundinya sehingga dia menjadi juara.
“Saya memang sudah tidak sabar lagi untuk membawa muzik saya di dalam industri dan saya berani mengatakan, album sulung saya akan menjadi sebuah produk yang bagus.
“Saya juga diberi peluang untuk memilih beberapa buah lagu dan ini yang saya mahu lakukan untuk peminat-peminat saya.
“Sekarang menjadi tugas saya untuk memilih muzik yang mereka mahu dengar dengan memuatkan lagu-lagu terbaik dalam album saya kelak.
“Malah, saya juga teringin untuk berduet dengan Lauren yang sudah saya anggap seperti adik saya sendiri,” ujarnya yang menafikan mempunyai perasaan cinta dan sayang terhadap gadis berusia 16 tahun itu.
Pentas akhir American Idol yang berlangsung di Nokia Theatre LA Live, Los Angeles, Amerika Syarikat minggu lalu menyaksikan satu lagi rekod luar biasa telah tercipta.
Dengan menampilkan dua peserta paling muda sebagai finalis dalam sejarah penganjuran American Idol, sebanyak 122 juta undian diterima untuk persembahan kemuncaknya.
Secara keseluruhan, musim kesepuluh juga telah mencatatkan rekod dunia apabila sebanyak 750 juta undian telah diterima sepanjang ia berlangsung sejak tiga bulan lalu.
Bukan itu sahaja, rating untuk malam kemuncak juga menunjukkan peningkatan sebanyak lima juta penonton apabila seramai 29 juta telah menontonnya berbanding tahun lalu.
Barangkali semuanya ada kaitan dengan populariti barisan persembahan oleh penghibur terkenal seperti Beyonce, Lady Gaga, Carrie, Tony Bennett, Tom Jones, Gladys Knight, Marc Anthony, Judas Priest, Steven Tyler, Jack Black dan Jennifer Lopez.
0 ulasan:
Catat Ulasan