Perjuangan ke final Mentor 5

Oleh ALIF ABU BAKAR
acipalif@yahoo.com



IQA membuat kejutan dengan melayakkan diri ke final Mentor 5 impak nyanyian yang menurut mentornya, Edry merupakan persembahan yang penuh jujur.



SELEPAS mengharungi pusingan pertama separuh akhir dengan penuh debaran, keempat-empat peserta Mentor 5 kembali menghangatkan pentas separuh akhir kedua minggu lalu dengan tenaga luar biasa.

Menyedari persembahan mereka pada malam itu bakal menentukan nasib mereka bagi menempah tiket ke peringkat akhir, masing-masing tampil 'garang', bagi menambat hati juri dan penonton-penonton.

Peserta pilihan ramai, Salma membuka tirai persembahan malam itu dengan rangkaian lagu etnik kreatif, Nirmala dan Mimpi Laila. Meskipun mendapat tepukan gemuruh audiens di auditorium MBSA Shah Alam, ia bukan penggalak buat juri profesional memberikan pujian terhadap persembahan Salma.

"Salma menyanyikan lagu Nirmala dengan tempo yang salah dan itu cukup membuatkan keseluruhan persembahannya sumbang. Genre yang sesuai dengan Salma ialah pop adult rock dan untuk peringkat akhir nanti dia perlu mempersembahkan sesuatu yang bersesuaian dengan dirinya.

"Begitu juga dengan peserta-peserta lain, pentas akhir bukan lagi tempat untuk bereksperimen malah mereka perlu menunjukkan kelebihan yang dimiliki" jelas Datuk Ramli MS selaku ketua juri usai konsert pada malam itu.

Bagi menebus kesilapan persembahan pertama, Salma kembali menguasai pentas dengan menyampaikan medley lagu Fenomena dan Opera Hidup bergandingan dengan juara Mentor musim lalu, Mohd.

Protege kepada Afdlin Shauki, Ratnah juga tidak menghampakan dengan persembahan lagu Hollaback Girl dan Debu Liar. Bakat tariannya dipraktikkan sehabis baik menerusi persembahan tersebut.

Sketsa persembahan kedua Ratnah yang menampilkan pasangan duetnya, Adi sebagai angkasawan serta karakter seorang bomoh nyata menarik perhatian ramai. Menyampaikan lagu Hanya Memuji dan Akhirnya Kini Pasti memberikan kelebihan buat Ratnah apabila juri awam memberikan markah penuh.

Turut mendendangkan lagu rentak etnik kreatif ialah Shiha dengan rangkaian lagu Dondang Dendang dan Layar Battuta.

Namun persembahan keduanya lebih menyerlah apabila bergandingan dengan juara sulung Mentor iaitu Pija menerusi lagu Sedetik Lebih.

Sebagai pemenang konsert separuh akhir pertama dengan mencatatkan 58 markah, Shiha juga memperoleh kepercayaan juri awam apabila diberikan 20 markah penuh bagi persembahannya malam itu.

Peserta terakhir yang melakukan persembahan malam itu ialah Iqa.

Berbeza dengan tiga pesaingnya yang lain, Iqa tampil sederhana dengan persembahan lagu Awan Yang Terpilu.Memasuki persembahan kedua, Iqa berduet dengan Fiq mempersembahkan lagu Sampai Syurga. Walaupun kedua-dua persembahan Iqa tampak biasa namun emosi dan ekspresi Iqa berjaya mencuri hati semua pihak pada malam itu.

Kepercayaan yang diberikan mentornya, Edry buat Iqa memilih sendiri lagu yang ingin dipersembahkan sememangnya memberi kelebihan apabila Iqa menjuarai konsert separuh akhir kedua dengan 69 markah.

"Iqa menyanyi daripada hatinya dan ia satu persembahan jujur yang tidak dibuat-buat. Tiada siapa dapat menandingi orang yang menyanyi dari hati," luah Edry.

Shiha menjadi peserta pertama layak ke peringkat akhir malam itu dengan markah keseluruhan sebanyak 119 markah meninggalkan Ratnah di belakang dengan 88 markah dan Salma 113 markah.

Mengejutkan apabila Iqa yang selama ini tidak pernah memenangi konsert mingguan mencatatkan markah keseluruhan sebanyak 126 markah dan melayakkannya ke peringkat akhir.

Mengikut keputusan asal yang dibuat produksi Mentor 5, hanya dua peserta akan berentap di peringkat akhir.

Namun, keputusan malam itu diubah apabila Salma menjadi penggenap kepada tiga peserta yang bakal bertanding di peringkat akhir.

Peringkat akhir Mentor 5 bakal bersiaran 29 Mei ini pada pukul 9 malam di Stadium Malawati Shah Alam. Kesemua finalis akan bertanding bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Chevrolet Cruze.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top