Sweet Charity hargai peminat

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


MASIH berbisa. Sweet Charity masih diminati peminat kerana lagu-lagu malar segar mereka.



TEMPOH 40 tahun jika dihitung bukanlah satu jangka masa yang singkat. Pelbagai kenangan suka duka sebagai sebuah kumpulan rock dilalui sepanjang berada di dalam industri muzik tanah air. Sweet Charity, sebuah kumpulan rock legenda yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat genre rock sejak tahun 1970-an.

Justeru, bagi menghargai peminat yang telah sama-sama menempuh zaman kegemilangan Sweet Charity, kumpulan lagenda ini telah menghasilkan sebuah kenangan yang amat berharga buat peminat yang tidak jemu menyokong mereka selama ini.

Sebuah buku keluaran terhad yang diberi judul 40 Tahun Bagaikan Mimpi Sweet Charity telah diterbitkan dengan hasil kerjasama Rasamusic setebal 64 muka surat berserta cakera padat digital (DVD) dan audio cakera padat (CD)yang mengandungi perjalanan konsert Sweet Charity.

Apa yang menariknya ialah, kebanyakan foto-foto yang dilampirkan di dalam naskhah tersebut adalah hasil daripada koleksi peribadi kumpulan Sweet Charity dan vokalisnya, Ramli Sarip sendiri. Apa yang pasti, semestinya ia sangat istimewa kerana ia tidak dapat diperoleh daripada mana-mana pihak lain.

Dalam naskhah itu juga, dimasukkan kisah perjalanan dan kegemilangan kumpulan Sweet Charity sepanjang berada di dalam industri muzik Malaysia.

"Audio CD Konsert 40 Tahun Bagaikan Bermimpi Sweet Charity yang turut disertakan dengan buku ini adalah merupakan konsert yang telah dirakamkan ketika di Dewan Esplanade, Singapura pada 31 Mei 2009 lalu.

"Pejam celik, pejam celik tanpa saya sedari, Sweet Charity telah pun masuk tahun ke-40 dalam industri muzik tanah air. Saya bersyukur dan gembira kerana sehingga kini masih ramai yang menyokong dan bernafas dengan muzik-muzik kami," ceritanya ketika majlis pelancaran buku tersebut yang berlangsung di Hard Rock Café baru-baru ini.

Ingin menjadikan naskhah ini lebih berharga dan bermakna, buku edisi terhad ini hanya akan dicetak dan dijual sebanyak 2,500 salinan seluruh Malaysia dan jelas Ramli lagi, dia berharap buku ini akan menjadi satu peninggalan sejarah daripada Sweet Charity buat peminat yang sentiasa menyokong dan mengikuti perjalanan seni kumpulan mereka.

"Buku ini adalah sebagai membalas jasa peminat setia kami yang selama ini sentiasa menyokong sehingga berada ke tahap begini dan foto-foto tersebut merupakan hadiah kepada mereka untuk mengabdikannya sampai bila-bila secara eksklusif," tambah Ramli yang dikenali dengan gelaran Papa Rock Malaya.

Tambah Ramli, 40 tahun baginya merupakan satu angka yang cukup matang dan hanya menunggu masa yang sesuai bagi penghasilan buku tersebut.

"Sebelum ini memang kami tidak pernah terlintas di fikiran untuk menghasilkan buku ini sehinggalah pihak Rasamusic Sdn. Bhd. memberikan kami idea untuk meneruskan penerbitan buku 40 Tahun Bagaikan Mimpi Sweet Charity ini," jelas Ramli ketika diaju persoalan mengapa kini baru tercetus idea untuk menghasilkan buku tersebut.

Tambahnya, kesungguhan dan cetusan idea pengarah Rasamusic Sdn Bhd, Juriah Banding memikat hati mereka untuk bersetuju dengan perkara ini.

Buku serta DVD dan Audio CD Konsert 40 Tahun Bagaikan Bermimpi Sweet Charity yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. dan Element Design Studio Pte. Ltd. (Singapura) ini telah berada di pasaran dengan harga RM99.90 setiap naskhah.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top