Dunia Yusof Haslam di rumah


hi 01.1

MENTERNAK angsa dan itik bukan sekadar hobi Yusof Haslam tetapi memberi ketenangan buat pengarah dan penerbit filem itu.



BAGAIMANAPUN, pelakon, pengarah dan penerbit filem berusia 57 tahun ini menyifatkan dunia sebenarnya adalah di rumahnya, Darul Haslam yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Menurut penerbit syarikat produksi, Skop Production ini, jika tiada urusan dia lebih suka berada di rumahnya yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuklah padang badminton dan kebun buah-buahan.

“Dalam hidup saya sekarang ini, rumah adalah keutamaan saya yang mana tiga per empat daripada masa saya dihabiskan di rumah. Selepas itu barulah saya akan berada di pejabat dan restoran milik saya.

“Saya pula tiada masalah untuk berulang-alik dari rumah ke pejabat kerana jaraknya lebih kurang 10 minit berkereta. Apabila di rumah jiwa saya lebih tenteram kerana banyak perkara boleh dilakukan.

“Apa gunanya tapak rumah saya yang seluas kira-kira satu hektar itu saya penuhi dengan pelbagai kemudahan kalau ia tidak digunakan?” soalnya sewaktu S3 berkunjung ke kediamannya itu baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak dan datuk kepada tiga cucu ini menggunakan keluasan tanah yang ada di sekeliling rumahnya itu untuk berkebun buah-buahan dan menternak ayamkampung, angsa dan itik bagi mengisi masa lapangnya.

“Buat masa ini saya menternak lebih kurang 50 ekor ayam kampung. Dulu saya ada membela beberapa ekor kambing tetapi saya tidak tahan baunya yang sampai masuk ke dalam rumah. Jiran-jiran pun ada yang merungut.

“Kalau tidak sibuk biasanya saya akan turun ke kebun dua kali seminggu. Mula-mula rasa penat juga kerana kalau diikutkan ketinggian lereng di sekeliling rumah saya ini hampir tujuh tingkat rumah tingginya.

“Tetapi lama kelamaan saya sudah biasa dan tidak terasa penat. Selain itu, saya juga membina gelanggang badminton di bahagian bawah rumah. Saya memang suka bermain badminton.

“Kalau tidak ada orang untuk diajak bermain badminton saya akan ajak tukang kebun atau pengawal rumah bermain bersama saya,” kata Yusof sambil tersenyum memandang isteri tercinta, Datin Fatimah Ismail.

Yusof sekeluarga tidak setakat bertuah kerana mempunyai kawasan persekitaran rumah yang luas tetapi turut menggunakan tanam-tanaman dan haiwan ternakan untuk keperluannya sekeluarga.

“Biasanya sebulan sekali kami sekeluarga akan menyembelih dan makan sendiri ayam-ayam kampung yang kami pelihara itu. Begitu juga dengan buah-buahan dan tanaman lain juga kami gunakan sepenuhnya.

“Walaupun saya boleh mendapatkan semua itu di pasar tetapi kepuasan memakan tanaman sendiri lain rasanya. Kalau ada lebih biasanya saya sedekahkan kepada sesiapa yang datang ke rumah,” jelasnya.

Selain menghabiskan masanya di kebun, Yusof juga gemar menggunakan kawasan persekitaran rumahnya yang sunyi dan menghijau untuk berehat serta mencari ilham seperti menulis skrip filem serta drama terbitannya.

Beliau kini sedang membina sebuah rumah kecil di lereng bukit rumahnya untuk kegunaaan beriadah sambil mencari ilham menulis skrip pada waktu yang terluang.

“Saya juga mahu gunakan rumah itu sebagai penginapan kalau ada saudara mara yang datang untuk bermalam di sini. Saya merancang membina sebuah lagi rumah di kawasan ini.

“Ia khusus untuk anak-anak dan menantu saya. Kalau boleh saya tidak mahu berpisah dengan mereka terutama tiga orang cucu saya. Apabila dekat senanglah saya berjumpa dengan mereka setiap hari,” jelasnya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top