2AM macam anak patung!


hi 03.1

(DARI kirI) Seulong, Changmin, Jo Kwon dan Jinwoon bergambar berlatarkan peminat Malaysia.



COMEL! Licinnya kulit dia! Macam 'mannequin'! Komen-komen itu tidak putus-putus keluar dari mulut para peminat 2AM di Malaysia yang menyaksikan empat jejaka itu secara dekat pada 21 Mei lalu.

Wartawan hiburan S3, Khadijah Ibrahim, yang menyaksikan DiGi Live K-pop 2AM Showcase di Wisma MCA bersama-sama penulis pun tidak henti-henti memuji kulit Changmin dan Jo Kwon yang putih mulus.

Cukup tentang rupa paras mereka. Bercakap tentang 2AM sebenarnya kumpulan ini bukan dikenali di Korea kerana kesegakan dan wajah kacak sebaliknya Changmin, Jo Kwon, Seulong dan Jinwoon mempertaruhkan kehebatan suara – terutamanya ketika menyanyikan lagu-lagu berirama balada – genre yang sememangnya cukup sesuai dengan cita rasa peminat muzik di Malaysia.

Ini tidak pula bermakna mereka tidak kacak. Namun berbanding anggota kumpulan lelaki Korea lain yang hanya menyanyi sebaris dua atau sekadar menjadi suara latar dalam lagu mereka, setiap anggota 2AM berkesempatan mempamerkan kekuatan vokal masing-masing.

Sungguhpun Jinwoon mungkin agak terkilan kerana belum pernah berpeluang menyanyikan bahagian korus, seperti yang dipaparkan dalam klip video semasa showcase mereka minggu lalu, anggota termuda 2AM itu mempunyai kelebihan tersendiri sebagai satu-satunya penyanyi rap dalam kumpulan itu. Lagipun matanya yang tersenyum menjadi keistimewaan jejaka tinggi lampai ini yang mendapat sorakan kuat para peminat setiap kali wajahnya muncul dalam paparan klip video sepanjang satu setengah jam showcase berlangsung.

Cuma dari segi aksi, Jo Kwon memang juara! Bukan sahaja anggota 2AM lain malah di Korea sekali pun, belum ada artis yang dapat mengatasi gaya 'berlebihan' Jo Kwon. Buktinya di Wisma MCA minggu lalu, aksi John Travolta dalam Saturday Night Fever yang digayakan Jo Kwon menyaksikannya mendapat sorakan paling bingit lantas membolehkan peminatnya memenangi segmen meniru gaya anggota kumpulan itu.

Yang pastinya, para peminat 2AM di Malaysia cukup terhibur dengan persembahan mereka ditambah dengan sikap sporting ketika segmen permainan. Walaupun Seulong pada awalnya nampak kurang ceria – mungkin sedikit terganggu dengan masalah alat pembesar suara yang digunakannya – respons memberangsangkan daripada para peminat Malaysia cepat merubah moodnya.

Lebih istimewa, kejutan lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Korea dan Melayu yang dinyanyikan oleh para peminat untuk tiga anggota 2AM – Changmin, Seulong dan Jinwoon – yang menyambut ulang tahun dalam bulan Mei , sudah pasti menjadi kenangan manis persembahan sulung mereka di negara ini.

Lagipun rasanya tidak mudah untuk 2AM melupakan kuasa 147,000 peminat menyahut cabaran DiGi dalam laman sosial Facebook sehingga membawa mereka ke mari – mendahului kumpulan penyanyi lelaki yang lebih popular termasuk 'kembar' mereka 2PM.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top