Setelah dua kali gagal dalam perkahwinannya, Noraniza Idris sudah bersedia memulakan hidup baru untuk berumah tangga.

Ratu etnik tradisional itu akan menamatkan zaman jandanya pada 29 September depan di kawasan tumpuan umum di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru.

Insan baru hadir dalam hidup mengisi taman hatinya bukanlah calang orang. Ini kerana lelaki pilihan yang berjaya menambat hatinya, Jeffri Hudi, 52, adalah bilal masjid yang banyak membuat kerja amal di Singapura.

Menceritakan kisah cinta berputik tahun lalu, Noraniza, 43, atau mesra dengan panggilan Kak Ani berkata, Cinta mereka bermula dengan jualan kuih tart tradisional sayang yang dijual di bazar Ramadan adiknya. Mereka bertemu sewaktu Jeffri mengunjungi bazar terbabit di Johor.

"Kebetulan dengan duit jualan amal, saya berurusan dengan seorang ustaz dari Johor yang memperkenalkan saya dengan (ustaz) Jeffri dari Singapura. Sejak itu, beliau beberapa kali menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memberi doa dan surah yang bagus untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Sikapnya itu juga membuatkan saya terfikir dan berasakan Jeffri memang mengambil berat dan sukakan saya. Sejak itu, kami berkenalan dan terus mengikat tali pertunangan pada 22 April tahun ini. Apapun, tarikh perkahwinan ditetapkan abang ipar sendiri.

"Hati saya terbuka menerimanya kerana beliau seorang lemah-lembut, ada diplomasi dan susah hendak melihatnya marah. Mungkin sebab pembawaan saya keras serta banyak bergaul manakala beliau dengan elemen yang lebih tenang membuatkan kami serasi.

"Memang susah menerima seseorang baru dalam hidup kerana ada sejarah yang membuat serik melalui bahtera perkahwinan memandangkan fokus hampir 100 peratus terhadap kerjaya. Jadi, pertemuan ini bukan gaya bercinta orang muda atau 'cintan-cintun' kerana ia cinta orang berumur, tetapi tidak kurang romantiknya,"


Jeffri Hudi seorang duda.

Katanya, dia menduda selama 13 tahun dan mempunyai empat anak lelaki berusia 26, 25, 16 dan 17 tahun hasil perkongsian hidup perkahwinan pertama.

"Bersyukur kerana jodoh pertemuan bersama Noraniza hingga ke peringkat mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, dapat bertemunya. Saya tidak mahu ambil cerita lalu dalam mengenali hati kerana seseorang boleh berubah dan kami melihat masa depan.

"Saya anggap hubungan dengan Noraniza sebagai serius. Saya pernah menangis penuh emosi sewaktu membayangkan pengalaman pernah dilaluinya.

"Bagi saya, kecantikan akan pudar dalam jangka panjang, tetapi kami ada matlamat sama iaitu pendekatan membentuk keluarga bahagia walaupun pernah mengalami kegagalan.

"Malah, saya tidak menghalang kerja seni Noraniza dan memberi sokongan terhadap kerjaya seninya. Ia satu anugerah Allah kepada Noraniza.

"Hubungan anak saya dengan dua anak lelaki Noraniza juga baik dan mereka tidak menghalang hasrat kami mendirikan m masjid. Apa saya mahukan adalah kebahagiaan serta kerukunan rumah tangga harmoni, penuh kasih sayang dan hormat menghormati," katanya.

Majlis pernikahan Jeffri dan Noraniza akan diadakan bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

Noraniza, terkenal dengan lagu popularnya seperti Endang Endong, Dikir Puteri dan Zapin Pusaka pernah mendirikan rumah tangga dua kali sebelum ini.

Perkahwinan pertama bersama Fareez Tajudin dikurniakan dua anak lelaki, Mohd Alif Haikal, 19, dan Mohd Alfeq Haikal, 15. Fareez dan Noraniza bercerai pada Mei 2006 sebelum perkahwinan kedua bersama usahawan, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, tetapi hanya bertahan beberapa bulan yang juga berakhir dengan perceraian beberapa tahun lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top