Anggota kumpulan Sepah, Shuib mengakui terkilan dengan kontroversi kononnya mereka akan berpecah selepas memenangi pertandingan Maharaja Lawak lalu.

Jelasnya, apa yang dimaksudkan dengan berpecah adalah tiada halangan untuk menerima tawaran secara berseorangan dalam mana-mana persembahan atau lakonan.


“Pertama sekali saya ingin terangkan bahawa kami tidak berpecah, saya rasa ada salah faham dari kenyataan yang dikeluarkan daripada salah seorang anggota Sepah.

“Apa yang cuba mereka sampaikan ialah kami boleh berpecah-pecah jika mendapat tawaran persembahan pentas atau berlakon dan bukan semestinya bertiga,” jelasnya ketika ditemui di rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.

Kata Shuib, disebabkan khabar angin tersebut dia menerima beberapa panggilan daripada peminat tidak dikenali yang meluahkan rasa kecewa mereka.

“Lebih terkilan apabila ramai peminat yang telefon saya untuk meluahkan rasa kecewa mereka kerana telah berhabis duit mengundi kumpulan kami dalam Maharaja Lawak lalu.

“Saya rasa bersalah dengan mereka kerana mereka ingin melihat Sepah terus berada di industri ini secara berkumpulan bukan secara solo.

“Jujurnya, saya akui kami tidak akan kuat jika bergerak sendiri tanpa salah seorang daripada kami,” tuturnya.

Dalam pada itu, Shuib akui ada beberapa tawaran yang tidak dapat dipenuhi ketiga-tiga mereka atas sebab-sebab tertentu.

“Kami sudah berkawan lama dan berjanji tidak akan menyekat rezeki masing-masing.

“Jika salah seorang daripada kami sibuk dan tidak dapat menyertai, kami tetap akan meneruskan persembahan biarpun berdua atau seorang,” katanya.

Oleh KEMALIA OTHMAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top