TAJUK: Rise of the Planet of the Apes
GENRE: Aksi, Pengembaraan, Sains Fiksyen
PENGARAH: Rupert Wyatt
PELAKON: James Franco, Freida Pinto, Andy Serkis, Tom Felton
EDARAN: 20th Century Fox
Ini merupakan filem ketujuh dalam francais Planet of The Apes selepas pertama kali muncul pada tahun 1968. Bukanlah sekuel tapi merupakan reboot kepada keseluruhan jalan cerita francais ini yang membawa dimensi dan sudut berlainan dari segi jalan cerita dan keseluruhan wataknya. Cuma yang dikekalkan ialah plot peperangan antara manusia dan keluarga beruk.
Ulasan Rise of the Planet of the Apes
Berdasarkan trailer dan sipnosis awal, kita sudah ketahui yang ini merupakan reboot, bukannya sekuel kepada remake yang diterbitkan pada tahun 2001 dahulu. Keseluruhan jalan ceritanya diolah semula berbanding tulisan asal yang merupakan adaptasi dari novel karya Pierre Boulle pada tahun 1963.
Pengarah Rupert Wyatt dalam satu temuramah memberitahu yang dia sememangnya ingin memulakan kembali francais Planet of The Apes ke dimensi baru seperti mana francais Batman yang dijayakan Christopher Nolan. Dengan jalan cerita yang original, filem ini menceritakan kembali bagaimana beruk-beruk ini melalui proses evolusi sehingga mampu berfikir dan berkata-kata menjangkau pemikiran manusia.
Filem ini menarik dari pergerakan jalan cerita. Dimulakan dengan eksperimentasi manusia ke atas seekor beruk untuk menguji kepintaran haiwan ini . Kemudian berlaku revolusi dan pemberontakan dari sekumpulan beruk akibat kepentingan manusia sendiri yang bersifat 'imperial', semuanya diolah dengan baik.
Banyak konflik yang disusun atur dengan baik oleh pengarah sehingga timbul persoalan siapa yang bersalah dalam filem ini. Samada manusia yang menganggap beruk-beruk itu adalah haiwan yang tidak mempunyai perasaan lalu melayan mereka dengan teruk, atau beruk-beruk ini yang mencapai tahap kebijaksanaan luarbiasa lalu berdendam dengan manusia?
Dari segi lakonan, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh pelakon utamanya, James Franco yang memegang watak Will Rodman. Mungkin kerana filem ini tidak menyerlahkan potensi sebenar manusia sebaliknya leboh memfokuskan watak cimpanzi, Caesar yang dilakonkan oleh Andy Serkis. Andy Serkis sebelum ini dikenali dengan watak Gollum dalam siri hebat, Lord of The Rings.
Kesan khas yang ditonjolkan ketika beruk-beruk ini melakukan amukan dan revolusi di bandar memang realistik. Jika selama ini kita dipertontonkan tentang apa yang akan terjadi jika sesebuah bandar dihuni oleh zombie, kali ini bayangkan satu bandar dipenuhi keluarga beruk yang terdiri dari cimpazi, orang utan, gorilla, monyet, babun dan segala bagai ahli keluarga makhluk ini. Mereka bukan sekadar sekumpulan beruk liar, tapi beruk yang mempunyai kebijaksaan untuk merangcang plan untuk bertindak memerangi manusia.
Keseluruhan, filem ini menghiburkan. Dari penyudahnya, dapat dijangkakan filem ini akan mempunyai sambungan atau sekuel. Sebagai permulaan ternyata pengarah berjaya membangkitkan nafsu penonton untuk menantikan apa akan terjadi selepas beruk-beruk ini menjadi golongan dominan di atas muka bumi.
Sipnosis Rise of the Planet of the Apes
Demi menjalankan eksperimen mencari penawar untuk penyakit Alzheimer, saintis Will Rodman (James Franco) telah menjalankan ujikaji ke atas seekor cimpanzi untuk melihat kesannya. Hasil penyelidikan sejenis ubatan ke atas cimpanzi itu, cimpanzi ini kemudian mempunyai tahap kepintaran seperti seorang manusia normal. Namun, setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia ke atas cimpanzi ini telah menyebabkannya berdendam dan merancang untuk memerangi manusia demi membalas dendam di atas layanan buruk yang diterima selama ini.
Trailer Rise of the Planet of the Apes
~ Murai
0 ulasan:
Catat Ulasan