Laman Raya Imam Muda disiarkan pada 30 dan 31 Ogos serta 1 dan 2 September, di Astro Oasis, jam 3 petang.

Laman Raya Imam Muda mengisahkan Mursyid program IM 1 dan 2, Asmawi Umar menganjurkan rumah terbuka. Bersesuaian imej program agama berbentuk realiti yang popular itu, Laman Raya Imam Muda juga membicarakan perkara yang sentiasa menimbulkan keraguan dalam agama dan kaitannya dengan sambutan hari raya.

Pembabitan artis terkenal, seperti Wan Aishah Wan Ariffin, Amy Search, Razak Ahmad, ustaz Akhil Hayy dan Ziela Jalil membawa perbincangan lebih mendalam mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam industri seni tanah air. Mereka juga berbincang mengenai perubahan serta penghijrahan artis sekarang ke arah cara hidup yang lebih baik berlandaskan agama Islam yang suci.

Segmen lain, Pengetua IM 1 dan 2, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz datang beraya ke rumah terbuka itu dan memberi nasihat untuk perkara yang dibincangkan bersama tetamu lain.

Hassan berkata, walaupun sebelum menyertai IM 2, dia sudah bersedia di segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan apa saja kemungkinan apabila sudah dikenali ramai. Pun begitu dia tetap rasa terkejut melalui fasa hidupnya kini.
Keluarganya di Air Tawar, Perak, turut terkena tempiasnya.

“Penggambaran Laman Raya Imam Muda ini memenatkan. Saya belum biasa lagi dan ia perkara baru dalam hidup saya. Letih macam mana pun, depan kamera kena ‘maintain’. Apabila saya tanya mereka yang berpengalaman dalam bidang ini, mereka kata inilah kehidupan yang akan dilalui oleh mana-mana personaliti dan selebriti terkenal. Kena terima dan bersedia sepanjang masa.

“Apabila balik kampung, suasana juga dah lain. Jika sebelum ini, orang tidak begitu kenal keluarga saya, sekarang orang bertanya di mana rumah IM Hassan.
Emak pun dah jadi terkenal di kampung.

“Bukan saja saya, keluarga di kampung hendak buat apa saja kena fikir baik buruknya kerana orang memerhati. Insya-Allah tahun ini saya buat rumah terbuka tetapi saya tak pasti besar mana. Kalau buat sedikit, nanti ramai pula yang datang dan tidak cukup makanan,” katanya.

Bercerita mengenai Ramadan lalu, jelas Hassan yang juga Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa di Batu Caves, jadualnya penuh sehingga Oktober ini.

“Bulan puasa saya dijemput menjadi imam dan memberikan tazkirah. Untuk aktiviti selepas raya pula, saya diminta memberikan motivasi kepada remaja. Saya dalam proses menyesuaikan diri.

“Kalau boleh saya mahu terima semua jemputan, bimbang nanti bila ditolak ada yang berasa hati. Jadi saya kena menyusun jadual sebaik mungkin supaya semua jemputan itu dapat saya penuhi,” katanya.

Hassan yang masih bujang adalah imam tetap di Masjid Kemensah Heights, Hulu Klang. Selepas dinobatkan juara IM 2, dia minta kelonggaran dengan pihak Masjid Kemensah Heights agar dapat terima undangan jadi imam di masjid lain terutama di sekitar Lembah Klang. Dia juga sedang menyiapkan pengajian ijazah Sarjana pengkhususan Usuluddin di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Nazrul juga merasai apa Hassan alami. Dia yang sudah berkahwin tentunya memikul tanggungjawab yang lebih untuk menjadikan keluarganya sebagai contoh terbaik kepada masyarakat.

“Bukan saya saja menerima kejutan, isteri saya pun sama dan dengan itu membuatkan kami menjalani kehidupan ini lebih berhati-hati. Masa untuk bersama keluarga juga agak pendek sekarang kerana terpaksa memenuhi banyak undangan.

“Ramadan lalu pun saya masih sibuk di mana saya mengerjakan umrah bersama lapan pemenang Salamfone Sdn Bhd. Kami ke sana pada 13 Ogos dan balik pada 25 Ogos lalu. Sempatlah membuat persediaan Hari Raya untuk anak dan isteri,” katanya yang juga Guru Besar sekolah agama di Perak.

Salamfone antara penaja utama hadiah pakej haji dan umrah untuk juara dan naib juara IM 2. Hassan yang memenangi pakej haji dan umrah, akan mengerjakan haji tahun ini dan umrah pada pertengahan tahun depan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top