Filem Zookeper tidaklah menampilkan sebuah kisah yang bakal diingat buat waktu lama, teknologi imejan janaan komputer (CGI) ditampilkan di dalamnya membuatkan penonton kagum dan teruja. Usahlah dibandingkan Rise of the Planet of the Apes yang lebih bersifat drama, serta lebih sesuai untuk tontonan peminat dewasa, Zookeeper bercorak lebih santai dengan kisah menggeletek jiwa. Tentu sekali penampilan haiwan dalam kedua-dua filem ini jauh berbeza.

Poster Zookeper

Namun, menonton haiwan yang mampu bercakap seperti manusia, memang sangat menyeronokkan, apatah lagi penonton muda. Mana tidaknya, haiwan seperti zirafah, gajah, singa, monyet, serigala, beruang dan gorila dapat bercakap dan melakukan pergerakan seolah-olah mereka berupaya mengikut skrip disediakan, tidak ubah sebuah gambaran yang haiwan terbabit dalam karakter masing-masing.

Dengan riak wajah dan pergerakan tubuh badan dipaparkan, seolaholah haiwan terbabit mengerti apa diperkatakan. Sangat sukar mencari kesilapan pada teknologi digunakan. Mereka tampil meyakinkan, berkomunikasi mirip seperti manusia.

Filem arahan Frank Coraci ini mengisahkan penjaga zoo di Franklin Park Zoo, Griffin Keyes (lakonan Kevin James) yang sangat mencintai haiwan. Griffin menghadapi masalah bagi menambat kembali hati bekas kekasihnya, Stephanie (Leslie Bibb). Prihatin dengan nasib Griffin, haiwan dalam zoo berusaha membantunya mendapatkan semula kekasihnya, dengan memberi pandangan dan petua.

Pelbagai kaedah digunakan Griffin termasuk teknik memikat cara haiwan bagi mendapatkan kembali Stephanie, termasuk menjadikan teman sekerjanya, Kate (Rosario Dawson) sebagai pasangan menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan. Usaha Griffin berhasil, namun pada masa sama Griffin terpaksa meninggalkan tugasnya sebagai penjaga zoo demi wanita berkenaan. Griffin juga tidak menyedari Kate turut menyimpan perasaan terhadapnya.

Filem ini memaparkan pelbagai aksi lucu dan mencuit hati, bermacam-macam gelagat haiwan yang tidak dijangka, terutama si monyet yang berusaha membantu lelaki terbabit. Meskipun filem ini dimonopoli haiwan, ia berjaya menghasilkan jalan cerita menarik dan tidak membebankan fikiran penonton.

Lebih istimewa, ia menggunakan suara pelakon hebat untuk menjayakan watak haiwan seperti Cher sebagai Janet (singa betina), Adam Sandler sebagai Donald (monyet), Sylvester Stallone sebagai Joe (singa jantan) dan Judd Apatow sebagai Barry (gajah). Mereka turut dibantu Jon Favreau dan Faizon Love sebagai Jerome dan Bruce (beruang), Richie Minervini (burung kasawari), Maya Rudolph sebagai Mollie (zirafah) dan Bas Rutten sebagai Sebastian (serigala).

Filem membabitkan kos AS$240 juta terbitan Sandler's Production dan Happy Madison Productions ini memulakan tayangan di seluruh Malaysia sejak 11 Ogos lalu.

Carta pecah panggung

1. RISE OF THE PLANET OF THE APES

2. CAPTAIN AMERICA: THE FIRST AVENGER

3. HARRY POTTER AND THE DEATHLY HALLOWS PART 2

4. I LOVE WING CHUN

5. TRANSFORMERS: DARK OF THE MOON

6. THE LOAN SHARK

7. LOVE IS MY ANSWER

8. THE HANGOVER 2

9. DEIVA THIRUMAGAL

10. WU XIA


Ulasan Muhamad Fairoz Azizan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top