Tarikh 11.11.11 semakin hampir. Buat insan lain barangkali ia sekadar angka menarik namun berbeza dengan penyanyi, Ezlynn apabila pada tarikh itulah dia bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihan sekaligus mengucapkan ‘bye, bye’ kepada zaman solonya.

Sejak tahun lalu sememangnya penyanyi lagu lagu Hi! Hi! Bye, Bye itu secara terbuka sudah memilih tarikh untuk hari keramatnya cuma hingga kini masih belum bersedia mendedahkan siapa bakal suaminya.

Gambar penyanyi ezlynn ariffin

Puas memujuk, si jelita yang bakal menyambut ulang tahun ke-30, September ini masih berahsia malah mengakui hanya bersedia merungkai segala persoalan sebaik kad undangan perkahwinan siap.
Adakah si dia jejaka yang sentiasa berada di sisinya sejak dulu atau Ezlynn sudah menemui insan baru? Hanya tawa kecil kedengaran sebaik persoalan demi persoalan diajukan kepadanya.

“Ya! Perancangan ke arah (kenduri) itu sedang berlangsung sebab harinya sudah semakin hampir. Saya bersyukur mempunyai ahli keluarga banyak membantu terutama ibu yang menjadi perancang utama majlis.

“Begitupun, siapa bakal suami akan saya perkenalkan kemudian... apabila segala-galanya sudah dipastikan nanti terutama kad jemputan,” katanya ketika ditemui selepas majlis peragaan fesyen hari raya di sebuah pusat beli belah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Hadir bersendirian, Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin terus rancak berkongsi cerita terutama tatkala menyentuh filem terbaru, Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit yang juga kesinambungan daripada Zombie Kampung Pisang.

Masih kekal dengan watak Mon, kali ini karektor gadis yang akrab dengan Husin, peranan yang ditunjangi Awie itu dikembangkan sejajar kehendak plot kisah komedi seram arahan Mamat Khalid itu.

“Tentunya saya seronok dapat bertemu semula dengan rakan-rakan dari Kampung Pisang apatah lagi bekerja semula dengan Abang Mamat yang punya idea di luar kotak sekali pun nampak merapu.

“Dalam filem ini saya berubah menjadi separuh pontianak dan separuh manusia. Kisahnya memang menarik malah saya sendiri tak sabar menunggu ia muncul di pawagam,” katanya mengenai filem yang selesai menjalani penggambaran April lalu.

Mengimbas semula pengalaman di Kuala Kangsar, Perak selaku lokasi kegemaran sutradaranya, Ezlynn mengakui agak takut kerana kebanyakan babaknya berlangsung pada waktu malam.

Biarpun ramai kru di sekelilingnya, penyanyi dan pelakon yang masih dikekalkan dalam trilogi berkenaan berkata, dia tidak mampu menyembunyikan rasa gelisah apabila bulu roma berdiri tatkala terpaksa ‘terbang’ di tengah malam.

“Memang ini pengalaman baru. Sebagai pontianak saya perlu terbang dan menunggu di atas pokok. Dalam kedudukan yang tinggi, saya boleh nampak bumbung rumah kampung dan tidak semena-mena saya rasa takut yang amat sangat.

“Itulah detik yang saya masih ingat hingga kini. Saya sendiri tidak tahu kenapa tetapi dek tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan, saya tidak berani melihat ke mana-mana arah selain Abang Mamat yang memberi arahan di bawah,” katanya lagi.

Dalam kesibukan merencana kerjaya lakonan, jauh di sudut hatinya masih tersimpan hasrat merakamkan single ke dua selepas single terdahulu, Tic Tac Toe ciptaan Noh Hujan mendapat sambutan ramai.

Menyelak repertoire lalu, selepas album sulung berjudul Ehmm... yang diedarkan pada 2003 disusuli Psst... setahun kemudian dan selepas itu dia hanya muncul bersama single.

“Hasrat menerbitkan album fizikal memang saya idamkan sejak dulu, cuma masa dan ketikanya belum sesuai. Saya akui muat turun lagu menjadi trend semasa tetapi sebagai penyanyi kita lebih puas mempunyai album fizikal.

“Tunggulah, jika peluang seperti itu hadir, saya tidak akan lepaskan. Sekarang pun saya masih mencari dan mengumpul bahan untuk rakaman akan datang,” katanya yang dijangka masuk studio selepas Syawal.

Mengenai persiapan hari raya, Ezlynn lebih senang bersederhana dalam segala hal kerana baginya paling utama adalah diberi kesempatan untuk berhimpun seisi keluarga serta saling bermaafan.

Sebagai anak jati Perak, katanya paling meriah sudah tentu tradisi pulang ke kampung di Ulu Kinta serta Sitiawan mengunjungi sanak saudara yang sudah lama tidak ditemui.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top