Karyanya agak mencurigakan apatah lagi Namewee cuba merahsiakan jalan cerita filem arahannya itu ketika ditanya media dalam majlis pelancarannya, baru-baru ini dan mengatakan penghasilannya sebagai hadiah sempena Hari Kemerdekaan yang bakal disambut 31 Ogos ini.
Apakah kita mudah melupakan apa yang dilakukan Namewee atau Weng Meng Chee hingga begitu mudah untuknya berkarya dan apakah jaminan karyanya itu tidak akan mencetuskan kontroversi lagi?
Afdlin ketika dihubungi mengakui tidak menerima bulat-bulat karya baru artis yang pernah mencetus kontroversi yang memberi gambaran buruk kepada negara hingga mendapat perhatian kabinet.
Bagaimanapun, Afdlin yang juga pengarah terkenal dan pernah menang Pengarah Terbaik melalui filem Papadom berkata, dia tertarik dengan kekuatan mesej perpaduan serta semangat sayang negara yang ditunjukkan Namewee hingga membuatkan dia sedia menerima tawaran berlakon dalam filem itu.
“Apabila melihat skripnya, saya dapati jalan ceritanya menarik. Saya tahu dia (Namewee) pernah membuat tindakan keras yang memberi impak buruk kepada Malaysia sebelum ini. Sebelum menerima tawarannya, saya bertanya, menyelami isi hatinya dan mengajaknya memikirkan apa yang kurang jelas, tetapi mahu disampaikan kepada rakyat Malaysia.
“Dia mengakui memang sayang negara dan mahu merancang sesuatu yang memberi gambaran lebih tepat mengenai masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
“Jadi, dia menyuarakan hasrat dan mahu melakukan sesuatu demi kebaikan negara.
Dia mahu melakukan perkara positif yang mampu membuatkan semua kaum faham tanpa persepsi atau gambaran kurang tepat terhadap satu sama lain. Saya sendiri melihat skrip dan jalan ceritanya bagus,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan mungkin karya Namewee bakal mencetuskan kontroversi baru.
Ini kerana Namewee cuba merahsiakan sinopsis Nasi Lemak 2.0 apabila ditanya media ketika majlis pelancarannya, dua minggu lalu. Turut menjayakan filem ini Kenny & Chee, Reshmonu, Karen Kong, tetapi Afdlin, Adibah dan David tidak hadir sewaktu pelancarannya.
Kata Afdlin, dia tidak berlakon dalam keseluruhan filem itu dan hanya tampil dalam beberapa babak mengenai seorang suami berpoligami menjaga keharmonian dengan baik bersama empat isteri dikahwininya.
“Ia bukan satu sindiran atau menjolok adat budaya atau kepercayaan pegangan hidup orang lain. Ia ada jalan cerita cukup membuatkan bangsa satu sama lain memahaminya dengan lebih baik.
“Malah, filem Nasi Lemak 2.0 menggunakan bahasa Mandarin, Kantonis dan Hakka dengan tujuan memberi masyarakat Cina faham mengenai kepentingan semangat perpaduan dan bekerjasama dengan Melayu.
“Mesej Namewee kepada saya, dia mahu orang Cina mendapat gambaran jelas. Filem itu turut menyelitkan penggunaan bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris dengan menceritakan latar hidup masyarakat berbilang bangsa menerusi karakter serta aspek menarik kehidupan seharian dilalui.
“Apabila saya tanya matlamat utama filem ini, katanya mahu memberitahu kita semua duduk satu negara yang memerlukan perpaduan membina sebuah negara kuat dan maju. Kita pelbagai bangsa saling memerlukan untuk mengimbangi kekurangan satu sama lain.
“Bagi saya, kita tunggu saja tayangan Nasi Lemak 2.0 apabila ditayangkan seminggu selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-54,” katanya.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen Adibah gagal kerana tidak dapat dihubungi. Penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu sebelum ini sering berlakon dalam filem arahan Yasmin Ahmad seperti Sepet, Mukhsin dan Talentime.
Sementara itu ketika majlis pelancaran filem itu, Namewee yang juga pencipta lagu latar berkata, filem itu berkisar kepada seorang chef menjadikan nasi lemak sebagai metafora perjalanan hidup menjadi identiti diri.
“Nasi Lemak makanan sarapan popular nasional dan menjadi menu kegemaran rakyat Malaysia pelbagai kaum. Matlamat utama adalah perpaduan dan makanan antara elemen menyatukan kita semua,” katanya.
Namewee juga menafikan judul filem itu ada kaitan dengan perhimpunan haram di sekitar ibu negara, bulan lalu. Katanya, ini bukan gimik baru dan angka 2.0 bermaksud generasi baru komuniti ‘online’.
“Judul sudah mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada April tahun lalu dan turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Filem Nasi Lemak 2.0 arahan sulung Namewee menerusi hasil produksi gabungan Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment.
Tempoh siap filem itu sepatutnya pertengahan 2010, tetapi berlanjutan selama dua setengah tahun akibat isu kontroversi, penarikan diri pelabur serta penaja dan pos produksi.
Apapun, Nasi Lemak 2.0 akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh negara apabila membuat tayangan perdana pada 8 September depan.
0 ulasan:
Catat Ulasan