Malah nama Pening Lalat bagai mengembalikan nostalgia kisah kerajinan masyarakat kampung dalam kisah Ahmad Albab lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Penduduknya juga ramai, malah antara yang tinggal di situ ialah Pak Maun dan anak perempuannya, Siti. Di situ juga tinggal tiga anak muda nakal - Syawal, Rejab dan Syaaban yang suka menyakat Pak Maun dan cuba mengurat Siti.
Keletah mereka menjadi hiburan seluruh penduduk kampung. Di rumah Pak Maun pula ada banyak aktiviti untuk hiburan penduduk. Ada sukaneka, persembahan artis dan acara rumah terbuka yang meriah. Tidak hairan Kampung Pening Lalat meriah setiap kali tibanya Aidilfitri.
Senario itu sebahagian kemeriahan yang cuba ditampilkan dalam komedi sitkom yang menggandingkan Datuk Siti Nurhaliza dan Saiful Apek, dua nama besar dalam bidang hiburan masing-masing. Lebih kecoh apabila Juara Maharaja Lawak, Sepah turut memeriahkan suasana dengan jenaka tidak kering gusi mereka.
Gandingan Sepah dan Saiful Apek sememangnya satu gandingan mantap yang tidak ada tolok bandingnya. Ibarat Do Re Mi ciptaan P Ramlee bertemu Mr Bean ciptaan Rowan Atkinson.
Bergegar riuh dek ketawa dan sorakan penonton yang membanjiri Auditorium Perdana Angkasapuri pada sesi rakaman program Gegar Raya Kampung Pening Lalat yang memakan masa hampir tiga jam di kompleks penyiaran RTM pada 30 Julai lalu.
Program dua jam buat siaran hari raya keempat nanti ini turut menampilkan Dayang Nurfaizah, Azlan & The Typewriter, pakar motivasi Profesor Izzi Haji Ali dan bakat cilik, Mia Sarah.
Sketsa bermula dengan kemunculan Pak Maun (Saiful Apek) yang merindui kepulangan anaknya, Siti yang bertugas di perbatasan. Pada masa sama, Syawal, Rejab dan Syaaban yang dilakonkan Jeff, Shuib dan Mamat kasihan melihat keadaan Pak Maun dan cuba menghiburkannya.
Seluruh penonton bukan saja dihiburkan dengan lawak jenaka mereka, malah kedua-dua personaliti itu turut berduet menyampaikan medley lagu Pulang Di Hari Raya, Selamat Berhari Raya dan Selamat Hari Raya.
Sebaik saja mereka menyampaikan lagu itu, penonton dikejutkan dengan kemunculan penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza yang tampil lengkap beruniform celoreng diiringi lapan anggota tentera berkawad masuk ke dalam auditorium sambil menyampaikan lagu Balik Kampung yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Menariknya, program ini bukan saja dilatari dengan suasana keraian Aidilfitri, sebaliknya diselitkan babak dan lagu berunsur patriotik sempena Hari Kemerdekaan ke-54 yang turut disambut hujung bulan ini.
Untuk segmen itu, Siti menghiburkan penonton dengan lagu Bahtera Merdeka dan Radio Malaysia, termasuk lagu raya wajib Nazam Lebaran serta Sesuci Lebaran.
Pada malam itu, Siti turut memberi persembahan bertenaga melalui lagu Falling In Love diiringi penari latar.
Kemunculan Dayang turut mendapat perhatian ramai apabila dia mendendangkan lagu Setahun Sekali. Malah Azlan yang tampil dengan vokal mantap secara bersahaja menyampaikan lagu Cahaya di Aidilfitri.
Penonton yang hadir turut diundang menyertai acara sukaneka seperti Acara Pukul Telur, Anyam Ketupat, Lipat Songket dan Pecah Belon Raya.
Sebagai penutup, lagu Tanggal 31 dan Selamat Hari Raya yang dipopularkan Allahyarham Puan Sri Saloma dinyanyikan semua artis yang menjayakan program. Gegar Raya Kampung Pening Lalat akan disiarkan pada 2 September ini pada jam 9 malam di TV1.
0 ulasan:
Catat Ulasan