Tema ‘3 Dimensi’ dipilih sempena Melodi Raya 2011 tahun ini, sejajar dengan gabungan konsep berteraskan tiga elemen iaitu nyanyian, komedi dan temu bual sensasi.
Memastikan penonton dapat melihat dengan jelas konsep yang diketengahkan, berserta bahan bakal dipaparkan menerusi program khas itu, rakaman Melodi Raya 2011 dipecahkan kepada dua bahagian.
Penerbitnya, Azman Ghaffar berkata, paparan episod pertama memberi fokus kepada nyanyian dan persembahan sketsa manakala episod kedua pula, menumpukan pada temu bual sensasi.
“Apa yang menarik mengenai episod kedua yang akan disiarkan pada raya ke-13 nanti, dikendalikan oleh Wahid dan Dira Abu Zahar, dan dua pengacara jemputan cukup hebat iaitu bekas pengacara Melodi, Raja Azura yang bergandingan dengan Sharifah Shahira.
“Fokus isunya juga berbeza apabila episod kedua Melodi Raya memaparkan temu bual serta luahan hati dua aktres jelita yang memegang status ibu tunggal, Natasha Hudson dan Maria Farida dalam segmen Artis Ibu Tunggal.
“Segmen S.A.M.A.N (Selesai Apa Masalah Artis Negara) pula memberi peluang kepada kumpulan Meet Uncle Hussain bersama bekas vokalis mereka, Lan The Typewriter termasuk Iqam Dinzly dan Arja Lee untuk mengubah persepsi penonton terhadap masalah atau gosip yang mencalar imej mereka sebagai anak seni,” katanya.
Rakaman Melodi Raya 2011 episod satu ini diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Rabu lalu, membabitkan hampir 400 artis dari pelbagai cabang seni dan ini diakui Azman mencipta sejarah tersendiri buat Melodi.
Antara selebriti yang hadir Man Bai, Zarina Zainudin, Elly Mazlein, Siti Sarah, Raja Farah, Adam, VIP, Arja Lee, Zoey, Siti Nordiana, Ana Dahlia, Farahdhiya, Erry Putra, Azwan Ali, Kilafairy, Eina Azman, Ajai dan ramai lagi.
Majlis yang dianjurkan oleh stesen TV3 dengan kerjasama PWTC, turut mengadakan majlis berbuka puasa bersama 40 anak yatim dari Rumah Amal Belaian Kasih (Rabeka), Ampang.
Anak yatim yang terbabit turut mendapat sumbangan duit raya dan cenderahati daripada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh dan Ahli Lembaga PWTC, Datuk Mohd Hafarizam Harun sambil diiringi Ketua Pegawai Ekserkutif PWTC, Maxson Abdullah H Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima, Ahmad Izham Omar.
Rakaman di PWTC, turut menampilkan persembahan daripada artis terkenal antaranya Hattan yang menyampaikan lagu Duit Duit, Senario (Puasa & Raya), Alyah (Kisah Hati), Datuk M Nasir (Hati Emas), Hafiz (Awan Nano dan Noktah Cinta), Mirwana (Itu Ini Begitu Begini), Fauziah Latiff (Selamat Hari Raya), Black (Leia) dan Awie Rafael (Pulanglah).
Tidak hanya persembahan secara solo, rakaman ini turut menampilkan kolaborasi antara penyanyi baru dan lama. Fauziah Latiff (Jee) dan Alyah buat pertama kalinya berkongsi pentas menyampaikan lagu Dia.
Hattan dan Black, dua penyanyi rock yang memiliki vokal luar biasa berganding menyampaikan lagu, Gerhana. Sementara Satu Hari Di Hari Raya, ‘masterpiece’ kepunyaan M Nasir berkumandang sebagai penutup persembahan yang menghimpunkan semua yang terbabit di pentas.
Seiring tema 3 Dimensi yang menggabungkan tiga elemen, nyanyian, komedi dan temu bual sensasi, persembahan sketsa daripada Saiful Apek dan Johan Raja Lawak yang berjudul, Penyanyi Pujaan manakala Akibat Main Mercun disampaikan bersama Zizan.
Juara Maharaja Lawak, Sepah pula mempersembahkan dua sketsa, Bergaduh Nak Balik Kampung serta Tak Puasa. Manakala kumpulan Senario juga menghiburkan penonton menerusi dua sketsa, Puasa & Raya serta Raya Apa Yang Paling Seronok.
0 ulasan:
Catat Ulasan