Berat cabaran bersuamikan penagih dadah. Kalau lemah semangat, tentu rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu akan porak peranda. Dalam memulihkan keadaan suami yang bagaikan bangkai bernyawa, bukan sedikit air mata Julia Bachok, 49, yang tertumpah. Seksanya menahan sedih dan kecewa apabila melihatkan suami tercinta terpaksa bergantung hidup kepada benda haram itu.

Mana hendak menjaga dan memulihkan suami, mana lagi terpaksa mendengar kata penghinaan orang terhadapnya. Julia sanggup berkorban apa saja demi Saleem. Dia lancarkan perintah berkurung buat Saleem, tidak boleh berkawan dengan siapapun. Justeru dia dicap suka 'control' suami. Dia juga dikatakan bongkak selepas bersuamikan artis popular.

Namun tahukah mereka, payahnya hidup Julia bersuamikan Saleem? Pantang lepa, pasti Saleem akan masuk perangkap semula. Sehari 24 jam dia perlu berkepit dengan Saleem. Atas dasar kasih sayang, Julia terpaksa berkorban jiwa raga.

Kedatangan Ramadan ini, Julia boleh tersenyum lebar kerana dia 'menemui' Saleem yang dulu. Hasil pernikahan mereka 10 tahun lalu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Mohd Amirul Mukminin, 7.

Bersama wartawan Selebriti, NOR AKMAR SAMUDIN, Julia menjelaskan apa yang ditanggungnya selama ini. Mulanya bimbang juga untuk bertanyakan perkara paling peribadi dalam jaluran hidupnya tetapi rupa-rupanya Julia sangat peramah dan tidak habis-habis melemparkan ketawanya, terutama tatkala dia melihatkan suaminya yang macam cacing kepanasan menunggu gilirannya untuk sesi fotografi. Sejak muda, satu-satunya sifat yang tidak boleh ditinggalkan Saleem, dia tidak suka menunggu.

Mungkin perubahan sikap Julia itu berkaitan dengan Saleem yang sekarang sudah sihat semula dan keadaan itu tentu saja membahagiakan hati seorang isteri sepertinya.

APA orang tak kata pada saya... sombong, berlagak, tak sedar diri, 'control' suami dan lupa daratan. Tahukah mereka, betapa susahnya saya hendak menjaga suami penagih dadah. Bukan saya tak bagi orang jumpa Saleem tetapi keadaannya ketika itu tidak stabil. Saya mahu dia 'sihat' semula seperti dulu dan dapat hidup seperti orang lain.

Sebab itu saya terpaksa mengawal semua aktivitinya dan kena pantau siapa orang di sekelilingnya. Orang macam ini senang digoda. Berapa banyak air mata saya tumpah selama saya berkawan dan menjadi isterinya. Orang boleh berkata apa saja tetapi saya yang menempuhnya. Saya pun tak sangka bertemu jodoh dengannya. Ini semua kehendak Allah SWT dan saya terima apa saja dugaan yang datang. Jika ini 'bahagian' saya, saya terpaksa menerimanya.

Siapa hendakkan suami penagih dadah? Namun jodoh kami sangat kuat dan Alhamdulillah selepas bertahun-tahun mengharungi detik hitam dalam hidup kami, akhirnya Saleem sekarang sudah sihat semula.

Saya ibu tunggal dan tidak pernah terfikir untuk berkahwin semula, apatah lagi dengan artis. Segala yang berlaku sudah suratan takdir. Hari itu saya ke pejabat seorang kenalan yang kebetulan Saleem dan kawannya pun ada di sana. Di pejabat itu juga ada bilik karaoke dan mereka berdua ke sana untuk berkaraoke bersama kenalan saya tadi. Di situlah kami berkenalan iaitu pada 1996. Kami bertukar-tukar nombor telefon dan sempat berpesan padanya kalau ada masalah boleh datang jumpa saya di pejabat saya di Hotel Dynasty Kuala Lumpur. Saya pernah berniaga kecil-kecilan.

Setahun kemudian kami mula rapat kerana pada masa sama, saya sangat memahami masalah dihadapinya.

Boleh dikatakan setiap kali berjumpa, saya belanja dia makan kerana Saleem jarang ada duit. Dia kerap datang berjumpa saya dan lama-kelamaan terbit rasa sayang. Apabila dengar yang hubungan kami semakin rapat, kawan menasihati saya putuskan hubungan dengan Saleem kerana masalah ketagihan dadahnya. Mereka juga tanya saya berapa lama saya boleh tahan hidup dengan orang macam itu. Saya kata pada mereka, saya akan cuba atasi apa jua masalah Saleem dan masalah kami berdua.

Kalau hati sudah sayang, tiada apa yang dapat menghalang cinta kami. Lalu saya minta pandangan emak dan ayah. Mereka yang memahami kehendak hati saya memberi sokongan. Sehubungan itu kami berusaha mengubati Saleem.

Orang tua saya bawa Saleem berubat kampung dan pada masa sama saya juga ada melihat perkembangan artis lain yang pernah terjerumus dalam najis dadah.

Emak dan ayahlah memberi kekuatan untuk saya membina hidup bersama Saleem. Kata mereka, kalau kita membantu orang macam Saleem, kita akan dapat pahala. Saya pula suka melakukan kerja yang mencabar untuk mengutip pengalaman baru.

Apapun bagi saya, apa yang berlaku ditetapkan Allah SWT dan saya kena menanggung apa saja risiko apabila sanggup menjadi isterinya.

Lalu pada 2000 kami bernikah dan bermulalah cerita baru dalam hidup saya. Ombak yang melanda pantai rumah kami memang besar dan bukan senang menjaga orang macam Saleem. Setiap masa saya perlu bersamanya. Ketika kami berkahwin, Saleem masih penagih tegar, di mana dia belum boleh meninggalkan benda itu yang sudah bermaharajalela dalam tubuhnya.

Sebagai langkah untuk mengawal pengambilannya, perlu diberi secara sukatan dan sukatan itu dikurangkan dari semasa ke semasa. Hati isteri mana tak sedih. Saya mahu tengok dia sihat dan cergas seperti dulu. Dia masih menyanyi tetapi banyak masalah yang timbul kerana dia sukar menepati waktu.

Untuk memastikan segala usaha saya berjaya supaya dia meninggalkan benda jahanam itu, segala pergerakannya dan dengan siapa kawannya, saya kena pantau. Maka disebabkan itulah saya dikatakan 'control' suami.

Saya pegang semua duitnya dan tidak pernah bagi padanya lebih daripada RM10. Orang macam ini mudah didekati oleh sesiapa saja dan sebab itu dia tidak boleh pegang duit banyak. Kalau di tempat persembahan pun, saya pastikan dia sentiasa berada depan mata saya. Kalau tidak, dia akan 'hilang' berjam-jam. Kalau dia tak cari (orang), orang pula akan cari dia. Saya memang tidak boleh lepaskan dia dan sampai sekarang saya terus menemaninya ke mana saja dia pergi. Dia juga tak mahu orang lain temankannya.

Bagi membantunya mengatasi masalah berat itu, kita tidak boleh berkeras dengannya dan kena tahu pemikirannya. Kita tak boleh lawan cakap dia, sebaliknya kena ikut kehendaknya. Kita juga tidak boleh terus melarang dia ambil dadah. Manalah saya tak 'tension'. Orang di luar sana mana tahu apa yang saya hadapi setiap hari?

Terpaksalah saya bersabar kerana sudah terlanjur menyayanginya. Pernah juga saya rasa bosan dan mahu tinggalkannya. Namun kalau saya buat begitu, keadaannya akan jadi lebih teruk.

Satu keputusan yang sangat sukar namun berkat doa emak dan ayah, saya harungi juga hidup ini bersamanya. Ketika keadaannya masih kronik, memang payah orang hendak buat janji temu dengannya. Alhamdulillah, keadaannya sekarang bertambah baik. Sudah rajin bersenam dan dapat menepati waktu. Saya pun dah berani bagi dia duit tiga empat ratus. Pinta saya, jangan pandang rendah orang macam ini kerana dia memang mahu berubah.

Bagaimanapun, saya masih tidak benarkan dia berkawan kerana sukar sekali untuk menentukan siapa kawan dan siapa lawan. Saya beruntung dalam hal ini kerana Saleem dengar cakap saya.

Dia tahu saya mahu buat yang terbaik untuknya. Biarlah orang hendak kata apa pun, paling penting saya mahu tengok Saleem sihat.

Cuma satu sifat dia yang saya tak boleh ubah iaitu dia tak suka menunggu. Itu memang sifat dia dari dulu. Untuk menjaga suami macam Saleem, mental saya kena kuat, kalau tidak kami sama-sama akan 'tumbang'. Siapa mahu bersuamikan penagih dadah tetapi sudah jodoh saya. Sudah puas saya menangis, tetapi tiada siapa yang faham.

Mereka hanya tahu mengata saya. Demi kebahagiaan keluarga, saya rela berkorban sampai bila-bila. Selama 10 tahun kami hidup bersama, berjuang menentang gejala dadah dan kini Saleem sudah sihat. Hidup kami lebih gembira dan ceria. Pun begitu, bagi memastikan Saleem 'selamat', saya akan terus mengawasinya."

Oleh Nor Akmar Samudin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top