Ia dipancarkan secara langsung menerusi saluran suka ramai TV3.
Dalam majlis yang julung kali dianjurkan itu, Alif akan bergandingan dengan pengacara 8TV Quickie serta penyampai Fly FM, Tham Zher Peen.
Menariknya, My Kids Awards mempertandingkan tujuh kategori iaitu Penyanyi Kanak-Kanak Lelaki Popular, Penyanyi Kanak-Kanak Perempuan Popular, Pelakon Kanak-Kanak Lelaki Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Perempuan Terbaik, Watak Animasi Paling Comel, Pengacara Paling ‘Cool’ dan Program TV Paling Hebat.
Manakala Anugerah Khas My Kids Awards 2011 pula ialah bagi kategori Idola Terhebat, Atlit Idola, Pengacara Paling Hot dan Artis Paling ‘Cool’.
Anugerah ini antara lain bertujuan bagi memartabatkan bakat si kecil Malaysia sambil menggalakkan lebih ramai bakat baru muncul.
Menurut Alif yang sinonim sebagai pengacara program remaja dan kanak-kanak seperti Remaja, Siapa Pintar dan Idola Kecil, anugerah petang esok adalah satu langkah terbaik bagi menyuntik semangat kepada anak-anak muda Malaysia menyumbang sesuatu kepada bidang seni dan hiburan negara.
“Saya terkejut sebaik diberitahu akan menjadi hos bersama Zher. Mungkin saya dipilih sebab sejak dulu lagi saya banyak mengendalikan program bercorak remaja.
“Saya akan mengendalikan majlis itu dalam bahasa Melayu manakala Zher pula bahasa Inggeris. Saya yakin sebagai titik permulaan, majlis ini satu platform yang baik kepada industri hiburan,” katanya.
Rakannya Zher juga gembira mendapat peluang menjayakan majlis itu. Inilah pertama kali Zher mengacarakan sebuah majlis besar dan sangat teruja mengendalikannya bersama Alif.
Sebelum ini Zher, 26, memulakan tugas di TV3 di bahagian Pembangunan Kandungan. Dia yang tidak lekang mengukir senyuman mengakui berdebar untuk melangkah ke pentas utama majlis itu nanti.
“Setakat ini, saya dan Alif sudah duduk berbincang mengenai perjalanan majlis itu nanti. Kami sudah fikirkan gimik sesuai bagi memeriahkan majlis itu nanti. Maklumlah ia sebuah anugerah untuk kanak-kanak, jadi kami ingin jadikan ia sebuah gelanggang yang penuh keceriaan dan warna-warni,” katanya.
Difahamkan, pemenang anugerah itu ditentukan berdasarkan jumlah undian tertinggi yang diterima menerusi laman web www.tv3.com.my/mykidsawards dan laman facebook My-Kids-Awards-TV3-Kids sepanjang tempoh undian bermula 23 Mei 2011 sehingga 10 September 2011.
Majlis penganugerahan itu akan diserikan dengan persembahan yang menghiburkan dari Aizat, Harris (Idola Kecil 3), Dayana (Idola Kecil 2), Prince of Pop (P.O.P.), Caprice & Nik Irfan dan kumpulan tarian The Leeleesm.
Sementara itu, Alif berkata, drama 13 episod lakonannya, Cuak kini sedang ditayangkan di Astro Ceria. Dia juga masih sempat ke pentas program realiti kanak-kanak, Idola Kecil bagi musim keempat yang kini dalam proses uji bakat.
Dia turut mempertaruhkan lagu terbarunya Lelaki Seperti Aku yang kini hangat diputarkan di radio selepas diminati dengan lagu Jangan Nakal.
“Siapa sangka, walaupun hanya bertapak dalam program OIAM, pintu rezeki saya mula terbuka luas.
Saya selalu dihujani tawaran untuk menjadi pelakon dan mengacara beberapa
program TV.
“Semua itu adalah satu pengalaman yang baik untuk kerjaya seni saya dan menjadi proses pembelajaran untuk memperbaiki mutu persembahan. Bagaimanapun fokus
utama saya masih kepada bidang nyanyian yang menjadi minat sejak kecil lagi. Alhamdulillah jika melihat pada aspek kerjaya nyanyian saya, ia meningkat dengan sangat baik.
“Insya-Allah Oktober depan, album penuh kedua saya terbitan Sony Music Entertainment akan dipasarkan. Kelainannya berbanding album pertama dulu adalah dua lagu Inggeris akan dimuatkan iaitu There We Go serta sebuah lagu duet bersama penyanyi remaja Filipina, Julia Abueva berjudul Timeless.
“Justeru saya mengharapkan agar peminat akan terus menyokong dan mendapatkan album kedua saya itu nanti,” katanya.
Meskipun jarang berbual dan bekerjasama, pada pertemuan itu, rupa-rupanya Alif dan Zher pernah belajar di sekolah menengah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas.
Zher pernah mengendalikan program bual bicara popular, Malaysia Hari Ini (MHI) selama lebih kurang enam bulan terus sibuk di konti Fly FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam hingga 10 malam mengendalikan segmen Fly 30 Countdown Show.
“Saya memang suka bercakap dan berbual. Justeru kerjaya pengacaraan dan penyampai radio adalah satu cabang karier yang memberikan kepuasan.
“Saya sangat seronok melayan pendengar dan menghiburkan mereka selama tiga jam setiap malam di Fly FM. Selain memutarkan lagu-lagu dalam carta, saya juga berpeluang bersembang dengan pendengar,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan